Sunday, September 5, 2010

Aida Aris Sah Bergelar Isteri Husfarid

Published: Sabtu September 4, 2010 MYT 2:13:00 PM
Updated: Sabtu September 4, 2010 MYT 2:20:46 PM

Aida menerima mas kahwin daripada Husfarid selepas sah bergelar suami isteri. - Foto oleh LOW LAY PHON

HULU KELANG: Dengan sekali lafaz, aktres Aida Aris, 38, sah bergelar isteri kepada Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain, 38, di kediaman pengantin perempuan pada pukul 10.45 pagi di Taman Sierra Ukay, di sini, Sabtu.

Kedua mempelai dinikahkan oleh Ustaz Daim Jajuli, pegawai tadbir dan pendaftar kanan dari Pejabat Agama Islam Gombak Timur, Keramat berwalikan abang Aida, Amiruddin Mat Aris, 42, dengan mas kahwin RM330.

Menurut Amiruddin, bapa Aida, Mat Aris Janor, 83, tidak boleh mewalikan pernikahan anak perempuannya itu kerana uzur.

Aida turut menerima hantaran berupa sebentuk cincin daripada pihak lelaki dan membalas kepada pasangannya dengan hantaran yang sama.

Aktres yang popular menerusi drama bersiri Awan Dania ini akui lega, gembira dan terharu selepas diijabkabulkan.

Bergambar bersama-sama ibu bapa kedua-dua belah pihak dan anak-anak Husfarid.

"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan baik walaupun dalam keadaan tergesa-gesa. Selepas kami mendapat kebenaran dari pejabat agama pada minggu lalu, terus kami menetapkan tarikh perkahwinan dan membuat persiapan dalam masa seminggu.

“Kalau boleh, memang saya nak beraya dengan suami pada tahun ini,” kata Aida yang anggun mengenakan pakaian potongan kebaya moden berwarna kelabu rekaan Arefen Zaidin.

Jika mengikut perancangan, mereka mahu disatukan sebelum bulan Ramadan tetapi disebabkan mempunyai masalah dokumen perkahwinan di pejabat agama, maka perkahwinan itu terpaksa ditangguhkan.

Ceria bersama-sama ibu bapa Aida.

Kira-kira 50 orang hadir dalam majlis sederhana itu termasuk bapa Aida, ibu Aida, Siti Khadijah Abu Sujah, 72, ibu Husfarid, Maznah Jaafar, 63, bapa Husfarid, Shaikh Hussein Shaikh Ibrahim, 72, dua orang anak Husfarid iaitu Farish Nasha, 9, dan Danish Hazin, 7, serta pelakon Sharifah Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican Naina.

Sementara persalinan baju Melayu kelabu Husfarid turut direka oleh Arefen Zaidin. Selain itu, pelamin rekaan Butik Pengantin Inspirasi Cinta yang ditaja oleh pelakon Sharifah Shahira serta solekan oleh Su Cantik.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah pelakon Sharifah Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican Naina.

Majlis resepsi mereka akan berlangsung pada malam ini di kediaman Aida dengan bertemakan warna merah dan putih. Arefen Zaidin juga bertindak selaku pereka persalinan untuk resepsi kedua-dua mempelai. Seramai 200 tetamu yang dijemput meraikan mempelai terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.

Buat sementara ini, mereka tidak pasti sama ada akan mengadakan majlis kenduri besar-besaran selepas ini.

Aida dan Husfarid telah melalui tempoh perkenalan sejak 17 Februari tahun ini selepas berjumpa di majlis hari jadi Aida. Husfarid merupakan Ketua Pramugara MAS dan telah hidup menduda selama tiga tahun. Hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak.

Bagi Aida yang menjanda selama lima tahun, ini merupakan perkahwinan keduanya dan tidak dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan produser program, Bob Azrai.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/4/mstar_hiburan/20100904141225&sec=mstar_hiburan

Wanita Lepas Tanpa Bebas Tuduhan Subahat Sebabkan Kematian Suami

Sabtu September 4, 2010

SHAH ALAM: Seorang ibu kepada dua anak dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan bersubahat menyebabkan kematian suaminya selepas abangnya mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ekoran perbuatan mangsa yang sering mendera adiknya.

Jubaitha Theen Mohamed, 35, menangis teresak-esak dan memeluk abangnya, Mohamed Ismail, 37, sebaik sahaja mendengar keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Alim Abdullah pada Jumaat.

Abdul Alim juga memerintahkan supaya Mohamed Ismail yang merupakan tertuduh kedua untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 18 Julai 2007 bagi kesalahan tersebut.

Peguam M.V Stanislaus yang mewakili tertuduh memaklumkan, kejadian berlaku selepas seorang abang mahu membela nasib adik kandungnya yang sering didera oleh mangsa, seorang penyelia kilang, Hamsah Hussein, 35, untuk jangka masa yang lama.

“Jubaitha ada memberitahu abangnya bahawa dia sering dipukul dan dilayan dengan teruk oleh mangsa. Pada hari kejadian, Jubaitha menghubungi abangnya selepas bertengkar dengan mangsa.

“Tidak ada mana-mana abang yang akan meletakkan parang pada adik ipar sendiri jika perkara seperti itu tidak pernah berlaku,” kata Stanislaus yang merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan.

Fakta kes menyatakan, kejadian berlaku semasa mangsa membawa isteri dan anaknya pulang ke rumah bapanya yang terletak di Dengkil, dekat sini.

Pasangan itu bagaimanapun bertengkar sehingga menyebabkan Jubaitha menghubungi Mohamed Ismail untuk datang menjemputnya dengan segera.

Setibanya Mohamed Ismail di situ, dia telah menarik leher baju mangsa dan menumbuk mangsa sehingga berlaku pergelutan yang mana mangsa akhirnya dilihat jatuh di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

Keterangan ibu mangsa pula menyatakan, dia melihat Mohamed Ismail memegang sesuatu sambil sebelah lagi tangannya menarik Jubaitha untuk beredar daripada tempat kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital dan bedah siasat menunjukkan terdapat tujuh kesan tikaman iaitu disekitar bahu kanan, lengan, dagu, rusuk kiri dan tengah dada.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini berhadapan dengan hukuman mati mandatori atas tuduhan membunuh sebelum pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan, iaitu kerana menyebabkan kematian mangsa kepada mereka.

Pertuduhan baru itu dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa menyebabkan kematian mangsa pada antara pukul 11 dan 11.30 malam, 23 April 2007 di bawah garaj berbumbung hadapan rumah nombor 17, Jalan 6, Taman Air Hitam Permai, Kampung Datuk Bakar Baginda, Dengkil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Jubaitha sebelum ini pernah membuat permohonan supaya dibebaskan dengan jaminan atas alasan perlu menjaga anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin menolak permohonan itu selepas berpuas hati bahawa kebajikan kanak-kanak tersebut terpelihara. Namun begitu, beliau membenarkan perbicaraan kes itu diberi keutamaan.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/4/mstar_mahkamah/20100903171950&sec=mstar_mahkamah

Henti guna minyak sapi QBB


MOHD. MUSTAFFA menunjukkan logo halal yang masih digunakan pada tin minyak sapi QBB Pure Ghee di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Masyarakat Islam dinasihatkan menghentikan penggunaan minyak sapi jenama QBB Pure Ghee (gambar) keluaran syarikat QBI Packaging Sdn. Bhd. ekoran penarikan balik status halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 19 Ogos lalu.

Nasihat itu dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas pemantauan Jakim mendapati produk tersebut mengandungi elemen-elemen yang meragukan dari segi status halalnya.

Menurut Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah, penarikan balik produk itu di pasaran perlu dilakukan serta-merta bagi mengelak kekeliruan di kalangan pengguna.

"PPIM juga menyeru agar syarikat terbabit menarik semula produk tersebut yang berada di pasaran manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jakim pula mesti memantau produk itu dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Ayam sembelih tak putus urat

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/04

KUALA LUMPUR: Tiga pusat penyembelihan ayam di pasar Chow Kit, di sini yang mengedarkan ayam sembelihan ke pasar raya dan pasar di Lembah Klang didapati menyembelih ayam secara tidak sah menurut hukum Islam selepas didapati urat halkum ayam disembelih tidak putus seperti disyaratkan.

BUKTI...Amri (kanan) menunjukkan urat leher ayam yang tidak disembelih secara sempurna, semalam.
BUKTI...Amri (kanan) menunjukkan urat leher ayam yang tidak disembelih secara sempurna, semalam.
Lebih menyedihkan pemilik pusat itu sanggup mengupah tukang sembelih warga asing serta tidak bertauliah menyebabkan ayam yang disembelih itu ibarat ‘bangkai’ kerana ia turut dilemaskan dalam tong besar berisi air.

Ini terbukti dalam satu operasi khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke pasar berkenaan awal pagi semalam.

Dalam operasi bersepadu kira-kira jam 5 pagi itu, seramai hampir 30 pegawai dan anggota dari Jakim, Jawi, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak melakukan pemeriksaan mengejut terhadap tiga pusat penyembelihan ayam di pasar terbabit yang disyaki melakukan pelanggaran syarak.

Operasi terbabit turut disertai Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Zainal Abidin Jaafar dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah bagi melihat sendiri masalah berhubung isu halal di kalangan pengusaha ayam tempatan.

Namun kehadiran pihak berkuasa seolah-olah dihidu apabila seorang penyembelih ayam yang tidak mempunyai tauliah lari lintang pukang dan gagal diberkas selepas pusat penyembelihan ayam di kawasan itu digempur.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah yang turut menyertai operasi itu terkejut apabila empat dari ayam yang baru disembelih didapati tidak putus urat halkum.

Ayam itu yang masih belum diproses disembelih menggunakan pisau tumpul sebelum dicampakkan ke dalam tong besar berisi air.

Amri berkata, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya sukar memastikan sama ada ayam berkenaan mati akibat disembelih atau lemas akibat disumbat ke dalam tong berisi air berkenaan.

Menurutnya, keadaan ini menimbulkan isu ‘syubahah’ atau curiga sama ada ia halal dimakan atau sebaliknya berikutan pernah berlaku peniaga melemaskan ayam yang baru disembelih ke dalam tong besar berisi air atau menindihnya dalam tong bagi mempercepatkan proses kematian sebelum diproses dan dijual kepada orang ramai.

“Bagaimanapun pemeriksaan mendapati kebanyakan ayam disembelih dengan cara tidak sempurna, malah lelaki yang ditugaskan menyembelih ayam berkenaan adalah pendatang asing Indonesia yang tidak mempunyai surat kebenaran menyembelih dari Jawi.

“Agak menghairankan apabila empat pekerja penyembelih tempatan yang mempunyai surat kebenaran Jawi sebaliknya, tidak bertugas dan berada di pusat penyembelihan berkenaan. Rata-rata pekerja yang ditemui hanyalah warga Bangladesh dan Indonesia yang digaji untuk menyembelih dan memproses ayam terbabit,”
katanya.

Friday, September 3, 2010

Lembu bertanduk tiga di China


GAMBAR menunjukkan seekor lembu bertanduk di Hebei, China baru-baru ini.


HEBEI, China - Seekor lembu yang memiliki tanduk seperti kuda unikorn menjadi tarikan utama para pelancong di sebuah ladang di wilayah Hebei, China baru-baru ini.

Pemiliknya yang juga seorang petani, Jia Kebing memberitahu dia menyedari terdapat satu benjolan kecil di dahi lembunya ketika ia dilahirkan dua tahun lalu.

Namun, Jia tidak menjangka ia akan tumbuh menjadi tanduk sepanjang 20 sentimeter (sm).

"Ladang saya menjadi popular disebabkan oleh lembu ini. Orang ramai datang ke sini semata-mata untuk melihatnya," kata Jia yang berasal dari Baoding. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Gambar bogel hakim wanita di Internet





WINNIPEG, Kanada - Seorang hakim kanan wanita di Manitoba, Lori Douglas (gambar) akan dikenakan pendakwaan selepas gambarnya dalam keadaan bogel selain aksi seks lain disiar di Internet oleh suaminya tiga tahun sebelum dia dilantik menjadi hakim, lapor sebuah akhbar semalam.

Stesen televisyen CBSmelaporkan bahawa seorang pakar komputer, Alexander Chapman, telah membuat aduan terhadap Lori manakala satu lagi aduan melibatkan suaminya, Jack King.

Dalam aduannya, Chapman mendakwa bahawa pada 2003, Jack yang ketika itu bertugas sebagai seorang peguam perceraian menunjukkan gambar-gambar isterinya melakukan seks oral dan beberapa adegan seks lain.

Laporan CBS menyatakan, peguam King, Bill Gange memberitahu bahawa anak guamnya menghidap penyakit kemurungan pada ketika itu dan Lori pula tidak menyedari bahawa suaminya cuba memujuk seseorang untuk mengadakan hubungan seks dengannya.

Menurutnya, wanita itu juga tidak tahu bahawa suaminya memuat naik gambar-gambar itu ke dalam sebuah laman lucah seks berbilang bangsa.

Wanita itu dilantik sebagai hakim pada 2005.

Apabila ditanya pemberita CBC adakah dia memaklumkan insiden tersebut dalam permohonannya sebagai hakim, Lori menjawab, dia tidak berbuat demikian kerana menganggap perkara itu sebagai isu peribadi.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Kereta Ferrari ditarik balik selepas terbakar


GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta Ferrari yang terbakar di Paris, Perancis.


ROM - Pengeluar kereta terkenal Itali, Ferrari kelmarin menarik balik semua model 458 yang dikeluarkan sebelum Julai lalu di seluruh dunia selepas beberapa buah kereta itu terbakar secara tiba-tiba, lapor sebuah akhbar semalam.

Penarikan 1,248 buah model terbaru itu dengan nilai £212 juta (RM1.02 bilion) dibuat ekoran lima kes kebakaran misteri yang melibatkan kereta tersebut dilaporkan berlaku di California, Paris, Switzerland dan China.

Syarikat pembuat kereta Ferrari itu mula melakukan siasatan pada minggu lalu.

Namun, semalam, ia mengumumkan satu kecacatan dikesan pada lingkungan roda belakang model itu yang dipasang dengan sejenis gam khas sehingga menjadikan ia mudah cair.

Kecacatan itu menyebabkan bahagian kemasan roda yang bersentuhan dengan paip ekzos panas sekali gus mengakibatkan lapisan aluminium pada kereta tersebut cair dan akhirnya berlaku kebakaran.

Pihak Ferrari telah menghubungi pemilik kereta itu dan menawarkan untuk membaik pulih tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Kereta yang rosak teruk akan diganti dengan yang baru secara percuma jika kerosakan berlaku akibat daripada masalah tersebut.

Model 458 dijual pada harga £170,000 (RM816,937). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Bayi tabung uji hadiah Aidilfitri


SALINA (kiri) dan Mastika bersama bayi mereka yang diperoleh menerusi teknik persenyawaan tabung uji di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Dua pasangan suami isteri yang memperoleh bayi menerusi teknik persenyawaan tabung uji (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini menganggap kehadiran insan baru itu sebagai hadiah paling istimewa sempena kedatangan Aidilfitri.

Pasangan Mastika Abd. Aziz, 31, dan Mohd. Fadli, 31, dikurniakan bayi lelaki sulung seberat 2.92 kilogram (kg) yang selamat dilahirkan pada pagi 31 Ogos lalu.

Pasangan Salina Mohamad, 44, dan Fazuri Ishak, 38, pula dikurniakan bayi perempuan seberat 2.81kg pada pukul 9.07 pagi hari yang sama.

Kedua-dua bayi itu yang dilahirkan melalui pembedahan turut mencatat sejarah sebagai bayi tabung uji pertama dan kedua yang dilahirkan menerusi perkhidmatan Teknologi Bantuan Reproduktif (ART) yang dilakukan di HSNZ sejak November 2009.

Bagi Mastika yang juga seorang jururawat di HSNZ, kehadiran bayi lelaki yang diberi nama Mohd. Amar Haziq itu merupakan rezeki daripada Allah selepas empat tahun menanti.

“Tahun ini adalah tahun pertama saya bersama suami dapat berhari raya sebagai seorang ibu dan bapa. Semuanya berkat sokongan yang diberikan oleh suami selain dorongan rakan-rakan di HSNZ,” katanya ketika ditemui di wad bersalin NSNZ di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Rasidi dihukum sebelum Aidilfitri


Rasidi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban semalam.


SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 7 September ini sebagai tarikh keputusan kes Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh dekat sini pada 5 Januari lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung kes tersebut.

Peguam bela Hanif Hassan yang mewakili Rasidi, 32, dalam hujahnya menggesa agar mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh atas empat tuduhan membunuh ahli keluarganya dan mencadangkan agar Rasidi meneruskan rawatan di Hospital Permai, Johor.

Keterangan dan laporan Pakar Runding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Badi'ah Yahya mendapati tertuduh mengalami halusinasi.

"Rasidi juga mempunyai ciri-ciri ketidakwarasan apabila dia juga didapati bercakap seorang diri dan mempunyai perlakuan pelik," kata beliau.

Terdahulu, saksi terakhir, Badi'ah memberitahu mahkamah bahawa hasil laporan kesihatan Rasidi menunjukkan tanda-tanda sebagai pesakit mental.

"Daripada cerita (Rasidi) yang konsisten iaitu perlakuan yang pelik, kami membuat keputusan bahawa dia menghadapi sakit jiwa," kata Badi'ah.

Rasidi dituduh membunuh bapanya, Ismail Awang, 76, datuk, Atan Daud, 87, dan nenek, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 dan pukul 11 pagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Gereja gay pertama


TINDAKAN seorang paderi menjadikan sebuah gereja di pinggir Kuala Lumpur sebagai tempat untuk mengembangkan budaya gay sangat membimbangkan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Seorang paderi di Malaysia, Ouyang Wen Fang mengumumkan bahawa dia sedang menubuhkan gereja gay pertama di negara ini.

Paderi berusia 40 tahun itu turut tidak mengendahkan amaran keras kerajaan supaya menghentikan rancangannya kerana bimbang ia akan menggalakkan gaya hidup homoseks di negara ini.

Amalan tersebut masih dikategorikan sebagai jenayah di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam manakala pelakunya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Namun, gereja gay yang diasaskan bersama oleh paderi itu telah beroperasi secara senyap di sini sejak tiga tahun lalu dengan dikunjungi kumpulan penganut Kristian gay untuk beribadat pada hari Ahad dan mengkaji kitab Injil.

"Kami sedang berusaha untuk menggalakkan lebih ramai orang supaya menyertai gereja ini, kami mahu penganut Kristian gay tampil dan hidup tanpa berpura-pura," katanya.

Ouyang mendirikan rumah tangga selama sembilan tahun sebelum membuat pengakuan terbuka bahawa dia seorang homoseks pada 2006.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Hidap skizofrenia

Oleh Iskandar Shah Mohamed

2010/09/03

SEREMBAN: Hari terakhir perbicaraan semalam menyaksikan seorang pakar psikiatri Hospital Permai, Johor Bahru, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Rasidi Ismail, 32, dituduh membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, awal Januari lalu, disahkan menghidap sakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun lalu.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri hospital itu, Dr Badi’ah Yahya berkata, pihaknya melalui pakar psikiatri, pegawai dan anggota perubatan bertugas sentiasa menjalankan pemeriksaan rapi serta berkala selama 24 jam bagi menentukan keadaan fizikal dan mental tertuduh. Menurutnya yang juga saksi pembelaan, hasil perbincangan dengan semua pakar psikiatri hospital melalui proses pemeriksaan selama dua bulan berkenaan mendapati tertuduh menghidap penyakit jiwa dikenali sebagai ‘skizofrenia’.


“Bagi penyakit berkenaan, tertuduh diklasifikasikan menghidap skizofrenia paranoid’ iaitu berlaku gangguan pada pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kemerosotan fungsi psiko-sosialnya.


“Tertuduh mengalami gejala delusi atau kepercayaan palsu iaitu empat ahli keluarganya meninggal dunia sebelum kejadian berlaku selain turut berhalusinasi melalui suara ghaib didengarnya yang mengarahkan supaya melakukan sesuatu,”
katanya kepada mahkamah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.


Kata Dr Badi’ah, pemeriksaan pihaknya mendapati tertuduh tidak berpura-pura mengalami sakit mental kerana gejala ditunjukkannya sepanjang berada di wad hospital tidak konsisten.


“Tertuduh menunjukkan gejala sakit jiwa sejak 2007 kerana sering bercakap seorang, bertukar tempat kerja dan menangis bersendirian.


“Tiada gejala keganasan ditunjukkan tertuduh yang turut tidak mempunyai masalah keadaan persekitarannya dan jiran,”
katanya. Rasidi sebelum ini diarahkan Mahkamah Tinggi menjalani pemeriksaan mental dua bulan di Hospital Permai sejak 23 Mac lalu selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya.

Dia yang juga seorang penganggur sebelum ini mengaku bersalah melakukan pembunuhan dan mendakwa perbuatan itu dilakukan atas arahan dari langit.


Mengikut pertuduhan, Rasidi didakwa membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.


Dia turut dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 di kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.


Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Berikut antara keterangan Dr Badi’ah kepada mahkamah ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin dan peguam, Hanif Hassan.

Hanif: Apakah akan jadi dengan gejala ditunjukkan tertuduh itu?
Dr Badi’ah: Sekiranya ubat tidak diberikan, gejala itu akan makin bertambah. Tertuduh diberikan ubat anti psikotik untuk merawat sakit jiwa dihidapinya.
Hanif: Apakah hasilnya?
Dr Badi’ah: Selepas dua bulan, gejala berkenaan dilihat semakin hilang.
Hanif: Apakah kamu pasti dengan ubat-ubatan itu?
Dr Badi’ah: Ya. Tertuduh perlu meneruskan pengambilan ubat itu bagi mengelak ia berterusan.
Hanif: Apakah hasil keseluruhan hospital dengan pendakwaan?
Dr Badi’ah: Ketika kejadian, tertuduh tidak siuman dan tidak tahu perbuatannya salah di sisi undang-undang.
Hanif: Adakah laporan penuh perubatan tertuduh dilakukan?
Dr Badi’ah: Ada. Laporan itu dibuat 17 Mei 2010.

Ahmad Nasfy menetapkan tarikh menjatuhkan hukuman, 7 September depan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidapskizofrenia/Article

Lelaki diperintah ke Hospital Bahagia

2010/09/03

KLANG: Seorang penganggur yang menikam anggota polis di sebuah kedai makan, dekat sini, Mac lalu, diperintahkan Mahkamah Sesyen, semalam, untuk dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat perintah itu terhadap Tan Liok Chong selepas berpuas hati tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika melakukan perbuatan itu. Yong Zarida berkata, mahkamah juga memerintahkan Tan ditahan di hospital berkenaan sehingga mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk dibebaskan. “Adalah tidak wajar tertuduh disabitkan dengan pertuduhan itu kerana dia menghidap penyakit mental,” kata Yong Zarida selepas meneliti laporan perbuatan tertuduh.


Mengikut pertuduhan, Tan didakwa menikam Koperal Hasnor Hadi Zainal dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah terhadap mangsa. Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, 27 Mac lalu di sebuah kedai makan di Batu 15, Jalan Klang-Banting, dekat sini.


Tan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil da Aimi Syazwani Sarmin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LelakidiperintahkeHospitalBahagia/Article

Kelar leher

Oleh Suraya Roslan

2010/09/03

AMPANG: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak mengelar leher dan tangannya di sebuah kedai makan di Jalan Watan 8, di sini, selepas marah ditegur isterinya agar pergi ke hospital mental untuk mendapatkan rawatan, petang kelmarin.

Mangsa yang berusia 40-an itu kini dirawat di Hospital Ampang kerana mengalami kecederaan di lehernya, perut dan tangan akibat kejadian itu.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu selepas lelaki kurang siuman itu tidak dapat menerima nasihat isterinya agar ke hospital mental bagi membuat rawatan susulan.


Malah, lelaki itu naik angin apabila pekerja Indonesia kedai makan itu turut menegurnya agar menerima nasihat isterinya itu. “Pertengkaran antara mereka terjadi apabila lelaki yang tidak suka ditegur pekerja itu mengamuk dengan mengambil pisau dan dua bilah parang di dapur sebelum menghiris lehernya sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Ahli keluarga dan pelanggan kedai makan yang cuba mengawal keadaan, kemudian terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan apabila melihat suspek mula mengacukan parang ke arah orang ramai. “Tindakan mengejutkan lelaki berkenaan yang mengkelar leher dan tangan menggunakan pisau dan dua parang itu menakutkan orang ramai sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.


Abdul Jalil berkata, polis terpaksa memujuk lelaki terbabit selama dua jam agar menyerah diri.


“Kira-kira jam 7 petang, polis berjaya memujuknya untuk menyerah diri selepas lelaki itu melihat dirinya berlumuran darah,” katanya.


Bagaimanapun, ketika anggota polis cuba merapatinya, lelaki itu bertindak mengkelar perut, tangan dan dan lehernya hingga orang ramai panik kerana bimbangkan keselamatan dirinya.


“Anggota saya cuba memujuknya supaya bertenang dan meletakkan parang itu, namun dia enggan dan terus berdegil. Nasib baik isteri lelaki itu berjaya memujuknya untuk dihantar ke hospital,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal, lelaki berkenaan mempunyai rekod pesakit mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kelarleher1/Article

Ibu tunggal bersama tiga anak sering ikat perut

2010/09/03

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) merayu bantuan mana-mana pihak bagi membolehkan mereka menyambut lebaran bakal menjelang dengan lebih ceria berikutan tidak mempunyai pendapatan tetap malah hidup dalam kedaifan.

Siti Zawiyah Ali, 40, yang tidak bekerja berkata, dia menjadi ibu tunggal sejak tiga tahun lalu selepas diceraikan suaminya dan terpaksa menanggung tiga anaknya yang masih bersekolah termasuk seorang OKU.


Beliau berkata, dia dan anak-anaknya tidak mampu membeli pakaian raya kerana tiada wang malah kehidupannya kini hanya mengharapkan sumbangan orang ramai selain menerima bantuan beras daripada pihak masjid.


“Saya sebelum ini menolong kakak berniaga nasi lemak di Masjid India dengan pendapatan RM19 sehari tetapi terpaksa berhenti berniaga buat sementara berikutan kedatangan Ramadan. Ada kalanya saya anak beranak terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk membeli makanan sebagai juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui.


Zawiyah yang berasal dari Pahang terpaksa memberikan perhatian kepada anak OKUnya yang tidak dapat menguruskan diri sendiri menyebabkan masanya terbatas untuk mencari pekerjaan.


Dia yang tinggal di rumah setinggan di Gombak berharap ada pihak sudi membantunya untuk membelikan baju raya buat anak-anaknya.


Individu atau syarikat yang ingin membantu Zawiyah bolehlah menghubunginya di talian 019-2182516 atau ke alamat No 847, Batu 4 3/4, Jalan Gombak, 53100, Selayang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibutunggalbersamatigaanakseringikatperut/Article

Amah disyaki dera bayi ditahan

2010/09/03

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang diburu polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi berusia 15 bulan dipercayai didera, ditahan polis di Taman Melawati, Ampang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, wanita itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari sejurus mendapat maklumat orang awam yang melihatnya di kawasan berkenaan.


Katanya, Rita Rohayati, 25, dipercayai pergi ke sebuah rumah di Jalan Permata 1, Taman Permata, untuk meminta bantuan daripada penghuni rumah berkenaan.


“Namun, penghuni rumah itu dipercayai mengecam wajah wanita berkenaan selepas membaca sebuah akhbar tempatan sebelum segera menghubungi Balai Polis Taman Melawati. Pasukan polis peronda bergegas ke rumah berkenaan dan menahan wanita itu.


“Wanita itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu,”
katanya.


Difahamkan, suspek yang berasal dari Majalengka, Jawa Barat menghilangkan diri sejurus mengetahui kematian bayi itu di sebuah pusat perubatan swasta di Pusat Bandar Puchong, kira-kira jam 4.43 petang, Jumaat lalu.


Terdahulu, polis menerima maklumat berhubung kematian Tan Jin Yong daripada seorang kakitangan pusat perubatan berkenaan yang menghubungi polis. Doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia dan mendapati terdapat kesan dera pada mangsa.


Menurutnya, sebaik saja mengetahui bayi itu meninggal dunia, suspek yang bekerja dengan keluarga terbabit sejak setahun lalu menghilangkan diri. Bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat didera.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahdisyakiderabayiditahan/Article

Balik tak ada kerja

Oleh Hayati Ibrahim

2010/09/03

PUTRAJAYA: “Kalau mereka pulang ke sana (Indonesia) pun, mungkin mereka tidak dapat jaminan dari Bendera (Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia) yang mereka akan beroleh pendapatan atau pekerjaan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Koordinator Bendera, Mustar Bona Ventura Manurung supaya kira-kira dua juta rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia supaya pulang demi mempertahankan kehormatan serta kedaulatan negara berkenaan.


Mustar dilaporkan berkata Jakarta perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur selepas semua warga Indonesia pulang.


Muhyiddin berkata, warga Indonesia yang mencari nafkah di negara ini amat menghargai pertolongan yang diberikan kerajaan Malaysia, dan mereka tidak akan sekali-kali terpengaruh dengan seruan Benteng yang meminta mereka meninggalkan negara ini.


“Saya tidak fikir begitu, secara ikhlas saya rasa mereka (warga Indonesia) amat menghargai apa yang kita sudah lakukan untuk mereka, dan kita juga amat menghargai apa yang mereka lakukan untuk kita.


“Atas dasar itu, saya percaya sebahagian besar mereka di sini adalah orang yang menghargai apa yang kita sudah bantu mereka, dan kita di sini amat menghargai pentingnya sumbangan perkhidmatan mereka kepada warga Malaysia.


“Jadi kita saling memerlukan, itu yang patutnya menjadi asas pertimbangan bukan kerana ada seruan pihak di sana,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-63 (MNKT ke-63) di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.


Muhyiddin berkata, kerajaan Malaysia juga tidak mempunyai asas untuk memohon maaf kerana beberapa bentuk bantahan terhadap beberapa kes yang sudah berlaku sudah dibuat menerusi saluran diplomasi.


“Saya fikir kita tak perlu respon kepada segala apa tuntutan mereka, yang penting sekarang kita mahu apa saja isu yang berbangkit antara Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara diplomasi.


“Menteri luar kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat di Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat untuk mencari kata sepakat bagi menyelesaikan masalah ini,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baliktakadakerja/Article

Indonesia tuduh Malaysia pengilang syabu terbesar

2010/09/03

KUALA LUMPUR: Imej negara ini sekali lagi ‘diserang’ apabila pihak polis Indonesia menuduh Malaysia antara pengilang dadah syabu terbesar di dunia susulan penahanan puluhan penyeludup dadah di republik berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Direktorat Reserse Narkoba (Ditreskoba) Polda Kepri (Polis Daerah Kepulauan Riau), Kompol Heru Nugraha melalui akhbar Padang Today kelmarin, yang mendakwa Malaysia pengeluar syabu terbesar berdasarkan sembilan tangkapan tahun ini.


Difahamkan, daripada 10 tangkapan membabitkan penyeludupan syabu di Batam dan Kepulauan Riau sepanjang tahun ini, sembilan daripada suspek berasal dari Malaysia.


Lebih pedih Heru turut mengeluarkan kenyataan seolah-olah generasi muda republik itu akan rosak jika pengedaran syabu dari Malaysia tidak diatasi segera, Sementara itu, Datuk Othman Harun yang baru dilantik sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, semalam menyangkal dakwaan terbabit dengan mendakwa ia isu global.


“Negara kita (Malaysia) bukan pusat pengedaran syabu terbesar dunia. Ia masalah global. Ia bukan saja berlaku di negara kita tetapi di seluruh dunia.


“Sebagai contoh, baru-baru ini, JSJN menumpaskan sindiket cuba membawa masuk syabu satu tan dari negara luar,”
katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJN di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini, semalam.


Terdahulu, serah terima tugas dilakukan antara Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin dan Othman yang dahulunya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman sambil disaksikan Pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IndonesiatuduhMalaysiapengilangsyabuterbesar/Article

Bimbang dihalau sebelum raya

2010/09/03

KUALA TERENGGANU: “Menyambut Aidilfitri dengan meriah memang tidak pernah terlintas di fikiran kerana setiap saat, saya hanya memikirkan kemungkinan dihalau dari pondok yang dibina di atas tanah tumpangan ini,” kata Mohd Riffin Hassan, 47, dari Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, di sini.

Menurutnya, pendapatan sebagai pemandu bot penambang sebanyak RM16 hingga RM18 sehari tidak mampu menampung perbelanjaan isteri dan enam anaknya berusia enam bulan hingga 18 tahun yang masih di bawah tanggungannya.


Katanya, lebih memeritkan mereka sekeluarga, rumah yang dibina di atas tanah milik orang sejak 20 tahun lalu, berukuran lapan meter panjang dan enam meter lebar itu tidak mempunyai tandas dan bilik tidur.


“Sekiranya ingin membuang air, anak lelaki akan ke masjid berhampiran atau ke tepi pantai manakala bagi wanita, mereka ke rumah saudara atau jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Mohd Riffin berkata, lebih menggusarkannya apabila dia tiga kali dimaklumkan oleh tuan tanah supaya keluar dari tanah tumpangan berkenaan.


Malah katanya, untuk mendapatkan bekalan elektrik, dia terpaksa menyambung punca bekalan itu daripada rumah kakak iparnya yang terletak di hadapan pondoknya dan berkongsi membayar bil.


Katanya, telur dan nasi juadah utama mereka sekeluarga berbuka puasa, namun mujur anak-anaknya memahami kesempitan hidup serta pendapatannya yang tidak seberapa sebagai pemandu bot penambang.


Mohd Riffin berkata, Aidilfitri tidak ubah seperti hari-hari biasa kerana dia sendiri tidak mampu melakukan persiapan untuk menyambutnya kerana kesempitan hidup meskipun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyrakat RM400 sebulan dan sekiranya ada sedikit lebihan wang pun, ia akan digunakan untuk perbelanjaan keluarga.


“Bagi anak-anak saya yang kecil, ibu saudara mereka ada membelikan mereka baju raya berikutan saya tidak mampu membelikan untuk semua anak-anak saya,” katanya.


Menurut Riffin, isterinya Che Kembang Mamat, 37, seorang suri rumah dan selain menyara enam anak, dia turut menyara seorang adik isterinya yang bisu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bimbangdihalausebelumraya/Article

Racun kupas kulit



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/03

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat kosmetik terkemuka yang beroperasi sejak 10 tahun lalu diserbu penguat kuasa Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam kerana membawa masuk secara pukal produk kecantikan beracun berkonsepkan ‘kupas kulit.’

RAMPAS...pegawai farmasi KKM merampas losen terbabit.
RAMPAS...pegawai farmasi KKM merampas losen terbabit.
Berdasarkan siasatan, produk kosmetik yang diimport itu dibuat menggunakan bahan kimia berbahaya iaitu hidroquinone dan tretinoin yang diharamkan di negara ini selepas ia didapati boleh merosakkan kulit wajah selain menjadi punca kanser jika dipakai berterusan.

Sumber KKM berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dan serbuan kira-kira jam 11 pagi di semua cawangan di seluruh negara termasuk ibu pejabat syarikat kosmetik terbabit di sini.

“Berdasarkan ujian makmal, produk terbabit mengandungi hidroquinone dan tretinoin dalam kadar peratusan tinggi. Kesannya, pengguna akan mengalami kesan kulit mengelupas dan menjadi kemerah-merahan yang melampau.

“Hasil serbuan, KKM merampas losen yang mengandungi kimia berbahaya terbabit dianggarkan lebih RM100,000,”
katanya.


Menurutnya, hidroquinone dan tretinoin boleh mengakibatkan gatal, perubahan warna kulit dan kulit menjadi terlalu sensitif.

“Bahan kimia itu menyerap ke saluran darah dalam jumlah besar sehingga mendatangkan pelbagai kesan seperti pertuturan yang sukar difahami, muntah, sentakan otot, sakit kepala, sawan dan koma akibat kegagalan sistem pernafasan. Ia juga boleh menyebabkan kesan keradangan dan barah kulit,” katanya.

Sumber itu berkata, kebanyakan pengguna yang memakai kosmetik mengandungi kimia itu biasanya akan terpedaya apabila merasai perubahan pada tona wajah mereka yang semakin cerah selepas beberapa hari memakai krim kosmetik itu.

“Tona kulit mereka akan berubah seolah-olah menjadi putih dan bersih, tapi ia tidak akan kekal lama kerana keadaan itu akibat hakisan lapisan kulit yang belum sempat matang. Dalam tempoh singkat apabila didedahkan kepada cahaya matahari, kulit itu akan menjadi buruk dan terbakar,” katanya.

Menurutnya, pengedar cuba mengelirukan pengguna dengan mendakwa losyen wajah itu dihasilkan daripada bahan semula jadi terpilih.

“Berdasarkan maklumat pada botol produk itu, ia didakwa berupaya menghilangkan kesan jeragat dan jerawat pada wajah pengguna tanpa mudarat.

“Jadi, pengeluar produk itu melakukan kesalahan dan boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25,000 bagi kesalahan pertama atau RM50,000 bagi kesalahan kedua,”
katanya.


Sumber itu berkata, pejabat pengeluar produk terbabit pernah diserbu beberapa kali, namun mereka berdegil.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...