Friday, October 1, 2010

Polis Jamin Siasatan Terperinci Kes Salah Laku Anggota

Khamis September 30, 2010

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan ke atas kes salah laku 10 anggotanya berhubung kes rampasan dadah bernilai RM254 juta di dalam sebuah lori di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas.

Katanya, beliau telah mengarahkan agar siasatan dalaman dapat dijalankan secara terperinci dan tindakan diambil ke atas mereka.

"Siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi," katanya pada sidang berita di Bukit Aman di sini, Khamis.

Beliau mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam atas tuduhan mengedar 753 kilogram syabu bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman,Datuk Akhtar Tahir berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Menurut Akhtar, mahkamah juga dimaklumkan mengenai satu laporan palsu telah dibuat oleh pengadu selain pengakuan beberapa anggota polis yang mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram.

Ismail berkata, beliau kecewa dengan apa yang berlaku kerana kes tersebut telah mendapat pendedahan yang baik tentang kejayaan polis namun akhirnya merugikan apabila ia gagal dibuktikan di mahkamah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun mengesahkan seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib berhubung kes tersebut.

Antara yang dikenakan tindakan tersebut ialah seorang pegawai cawangan narkotik berpangkat Inspektor manakala sembilan lagi merupakan anggota yang menjalankan tugas-tugas am.

"Setakat ini, kesemua anggota dan pegawai terlibat telah diberi amaran dan pergerakan gaji mereka telah digantung. Semua tindakan tersebut telah diambil sebelum kes dibicarakan," katanya.

Othman berkata, siasatan dalaman pihaknya mendapati berlaku kejadian pecah amanah dalam kes tersebut selain pegawai penyiasat yang tidak cekap ketika menjalankan tugas.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/30/mstar_jenayah/20100930205055&sec=mstar_jenayah

7 pelabur rumpai laut failkan tuntutan RM26j

30/09/2010 10:25pm


IPOH 30 Sept — Tujuh pelabur perniagaan rumpai laut yang mendakwa ditipu dan diperdayakan untuk melabur dalam perniagaan itu sejak 2007, hari ini memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan semula wang pelaburan berjumlah hampir RM26 juta.

Tuntutan itu dikemukakan oleh P. William Rajah, 34, Chong Pek Kuon, 36, R. Edwin, 48, Abu Bakar Maidin, 52, S. Nathan, 56, M. Gunaballan, 58, dan P. K Pathmanathan, 58, yang bertindak selaku plaintif.

Kesemua plaintif mendakwa mewakili 2,000 pelabur berbilang kaum di Perak yang menanggung kerugian selepas melabur dalam perniagaan terbabit yang dijalankan di Semporna, Sabah.

Plaintif menamakan enam pihak termasuk empat syarikat iaitu Fresh Palms Sdn Bhd, A K United Sdn Bhd, Genuine Starlight Sdn Bhd dan Loyal Sunrich Sdn Bhd serta dua individu, P.G.P Nathan, 39, iaitu Pengarah Genuine Starlight dan Loyal Sunrich dan Choi Kok Peng, 45, Lembaga Pengarah di Fresh Palms dan A.K United, sebagai defendan.

Tuntutan difailkan melalui Tetuan N.P Ramachandran & Assc di pejabat Pendaftar mahkamah hari ini.

Plaintif mendakwa mereka telah diyakini oleh defendan melalui representasi dan telah melabur sejumlah RM25,826,800 dari Februari 2007 hingga Novemver 2008.

Plaintif menuntut defendan membayar semula wang pelaburan berjumlah RM25,826,800, faedah sebanyak lapan peratus daripada jumlah pelaburan, kos serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. — Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm

Badak air berwarna merah jambu


GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan gambar seekor badak air berwarna merah jambu di Masai Mara, Kenya.

--------------------------------------------------------------------------------


MASAI MARA, Kenya – Seekor badak air jantan yang berwarna merah jambu ditemui di sini pada minggu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dua jurugambar hidupan liar, Will dan Matt Burrard-Lucas dari Britain telah merakamkan gambar badak air itu setelah mendengar berita mengenai haiwan tersebut.

“Haiwan itu keluar ke daratan selama kira-kira 10 minit atau kurang daripada itu. Selepas itu, kami mengesan kepala haiwan itu yang berwarna merah jambu berada di atas permukaan air setiap beberapa minit semasa ia mahu menyedut udara.

“Ia juga amat malu dan selepas mengesan kehadiran kami, haiwan itu bersembunyi di belakang ibunya sebelum hilang ke dalam air,”
kata Will. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Thursday, September 30, 2010

Amuk gila talak

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/09/30

KUANTAN: Mungkin akibat gila talak, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain cedera di kepala, muka dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 37 tahun. Suspek dipercayai tidak puas hati dengan tindakan bekas isterinya berkahwin lain sedangkan mereka baru setahun bercerai.

Suspek turut memijak kaki mangsa yang dikatakan belum sembuh sepenuhnya akibat kecederaan lama menyebabkan kaki lelaki berkenaan cedera semula.

Selain itu, suspek turut bertikam lidah dengan bekas isteri dan keluarga wanita berkenaan sebelum dileraikan beberapa tetamu. Dia kemudian ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Difahamkan, majlis akad nikah itu tetap dilangsungkan selepas suspek ditahan. Biarpun kakinya patah dan mengalami kecederaan lain, mangsa masih mampu menggagahkan diri menyempurnakan pernikahannya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak puas hati dengan bekas isterinya yang bakal melangsungkan perkahwinan, lalu menyerang bakal suami wanita itu dengan topi keledar.

Katanya, lelaki terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tinjauan Harian Metro di rumah pengantin perempuan di Medan Warisan, semalam mendapati ia kosong manakala jiran tidak mengetahui di mana keluarga wanita berkenaan berada.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amukgilatalak/Article

Wednesday, September 29, 2010

Lelaki buat sandwic jumpa bangkai tikus

2010/09/29


LONDON: Sukar bagi sesiapapun menjelaskan bagaimana seekor bangkai tikus (gambar atas) boleh ada dalam sebuku roti yang menggunakan jenama ‘Best of Both’.

Ini berikutan langkah pihak berkuasa Britain menyiarkan gambar membuktikan Stephen Forse tidak bergurau menemui bangkai itu ketika membuat sandwic untuk anak-anaknya. Forse membeli roti itu dari sebuah pasar raya pada 2009.
Beliau mulanya menyangka bahagian hitam pada roti itu mungkin disebabkan tepung yang kurang diuli. Selepas meneliti lebih dekat barulah dia perasan bulu dan terlihat haiwan berkenaan.

Kes itu kemudian dibawa ke mahkamah dan syarikat Premier Foods mengaku bersalah melanggar undang-undang kesihatan.

Syarikat itu yang meminta maaf atas kesalahannya dikenakan denda £16,821 (RM87,469), Jumaat lalu.

Forse berkata, penemuan bangkai berkenaan menyebabkannya rasa kurang sihat dan semakin tidak bermaya selepas pegawai kesihatan mendapati ekor tikus itu juga hilang, berkemungkinan sudah dimakan. – AP/Agensi

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakibuatsandwicjumpabangkaitikus/Article/index_html

Saravanan Diperintah Bayar RM1.6 Juta Kepada Syarikat Kerana Langgar Perjanjian

Rabu September 29, 2010

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan membayar lebih RM1.6 juta kepada sebuah syarikat kerana melanggar kontrak perjanjian berhubung pembekalan barang-barang logam bagi projek menyelenggara lebuh raya.

Hakim Anantham Kasinather juga memerintahkan syarikat Projek Penyelenggara Lebuhraya Berhad (Propel), yang menyelenggara lebuh raya, membayar RM690,000 kepada VPN Marketing (M) Sdn Bhd.

Anantham membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar perbicaraan penuh kes saman yang dikemukakan VPN Marketing terhadap Saravanan dan Propel.

Menurut peguam C. Shanmugaiah yang mewakili VPN Marketing, Hakim itu memutuskan plaintif (VPN Marketing) berjaya membuktikan kes saman tersebut terhadap kedua-dua defendan.

Beliau berkata Hakim itu juga memerintahkan Saravanan membayar RM20,000 sebagai kos guaman dan juga faedah lapan peratus dari November 2007, manakala Propel diperintah membayar kos RM35,000 dan juga faedah kepada VPN Marketing.

Pada tahun lepas, syarikat itu menfailkan saman terhadap Saravanan atas kapasitinya sebagai pengarah dan pengurus syarikat miliknya RMW Manufacturing Berhad.

Syarikat itu kini telah berhenti beroperasi.Mengikut pernyataan tuntutan, syarikat itu menyatakan bahawa pihaknya telah menjual, membekal dan menghantar barang-barang logam untuk pembinaan kepada RMW atas permintaan Saravanan dan ejen serta pekerjanya.

Syarikat itu menyatakan bahawa sejak menjual dan menghantar barang-barang logam tersebut pihaknya dari semasa ke semasa menerima bayaran daripada RMW, tetapi jumlah baki sebanyak RM2,337,557, tidak dijelaskan.

Pada 27 Februari 2006, melalui satu surat penyerahan hak pembayaran telah serah hak kepada VPN Marketing untuk menerima pembayaran baki tersebut daripada Propel yang bersetuju untuk membuat bayaran bagi harga barang itu yang tidak melebihi RM1.5 juta.

Pada 28 November 2007, Saravanan melalui satu surat juga telah memberi jaminan atau berjanji membayar jumlah yang sepatutnya dibayar syarikat miliknya itu.

Berdasarkan surat daripada Saravanan dan juga surat daripada Propel, Saravanan dikehendaki membayar plaintif sebanyak RM1,647,960 manakala defendan kedua membayar RM689,597, iaitu sebagai baki harga jualan barang-barang itu.

Pada 25 Mac tahun lepas, syarikat itu menyatakan pihaknya telah menghantar satu notis kepada Saravanan dan pada 7 September tahun lalu kepada Propel supaya menjelaskan jumlah hutang itu tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Saravanan dalam pernyataan pembelaannya menafikan yang beliau ada membuat jaminan untuk membayar jumlah itu kepada VPN Marketing.

Peguam G. Govind mewakili Saravanan manakala peguam D.Bashkaran mewakili Propel.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/29/mstar_mahkamah/20100929173227&sec=mstar_mahkamah

Los Angeles catat suhu paling panas


SEORANG budak lelaki bermain air di sebuah air pancut di Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES - Bandar raya Los Angeles di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan rekod suhu paling panas iaitu 45 darjah Celsius kelmarin sekali gus memaksa warganya menyejukkan badan di pantai atau tidak keluar dari rumah.

Menurut seorang pakar cuaca dari pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Stuart Seto, suhu di bandar raya itu mencecah 45 darjah Celcius selama beberapa minit sekitar pukul 12.15 tengah hari.

Ia memecahkan rekod suhu setinggi 44 darjah Celsius yang dicatatkan pada 26 Jun 1990.

Catatan bersejarah tersebut merupakan sebahagian daripada catatan suhu melebihi 38 darjah Celsius yang dicatatkan di kebanyakan bandar seperti di Anaheim dan San Luis Obispo yang pada kebiasaannya bercuaca nyaman.

Anggota-anggota bomba terpaksa memadamkan kebakaran kecil di kawasan Thousand Oak akibat cuaca panas. Sementara itu, Sekolah Los Angeles Unified membatalkan semua aktiviti luar, termasuk pertandingan sukan dan latihan.

Gangguan bekalan elektrik turut berlaku.

Lebih 30,000 pelanggan firma bekalan elektrik Southern California Edison terputus bekalan pada pukul 8 malam kelmarin.

Antara bandar yang terjejas kerana bekalan elektrik terputus ialah Santa Monica, Compton, Whittier dan Hollywood Barat di wilayah Los Angeles.

Pihak pengurusan Dewan Bandar Raya Los Angeles menggesa orang ramai menggunakan taman-taman, kemudahan rekreasi, pusat untuk warga emas dan perpustakaan bagi menyejukkan badan. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Bahana berkasih dengan isteri orang

TELUK INTAN - Gara-gara bermalam dengan isteri orang, seorang anggota polis cedera dibelasah penduduk kampung selepas 'dicekup' di dalam sebuah rumah di Batu 3 1/2, Jalan Changkat Jong, dekat sini malam Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, anggota polis itu dikatakan naik angin dan terus memarahi penduduk kampung selepas rumah kekasihnya yang juga ibu kepada 10 anak tersebut diketuk.

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, pelakuan sumbang anggota polis berusia 50 tahun bersama pasangannya, sejak beberapa tahun lalu itu telah menjadi perhatian banyak pihak.

Katanya, sebaik pintu rumah papan itu dibuka oleh wanita berkenaan selepas diketuk berulang kali, anggota polis terbabit yang hanya memakai kain pelikat terus memarahi orang kampung sebelum berlaku satu pertengkaran.

"Penduduk yang malu dengan apa yang berlaku mempertahankan tindakan mereka mengetuk pintu rumah berkenaan dan selepas itu tercetuslah pergaduhan menyebabkan anggota polis terbabit cedera pada bahagian muka," katanya.

Semasa kejadian, tiga kanak-kanak dipercayai anak kepada wanita tersebut berada dalam rumah tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Lelaki dihukum mati

Oleh Mohamad Hussin

2010/09/29

ALOR SETAR: “Saya marah, panik dan terkejut dengan si mati kerana dia cuba meliwat saya, lalu mengambil pisau dan menikamnya,” kata Ismawi Ishak, 25, dalam keterangan membela diri yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam, sebelum menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh seorang model sambilan, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu terhadap tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, Ismawi dituduh membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di sebuah rumah di Jalan Anggerik, Bandar Amanjaya, Sungai Petani pada 4 Mei 2004 antara jam 12.01 tengah malam hingga 7.15 pagi.


Dalam keterangan membela diri, tertuduh mendakwa menikam si mati akibat marah, panik dan terkejut kerana mangsa cuba meliwatnya ketika sedang tidur pada malam kejadian di rumah berkenaan.


Sementara itu, dalam penghakimannya Zamani berkata, ketika memberi keterangan membela diri,
tertuduh gagal membuktikan berlaku kemarahan yang melampau atau cubaan untuk mempertahankan diri.


“Tertuduh mendakwa pada malam kejadian dia tidur di rumah itu sebelum mendapati Azhary memegang perutnya dan merapatkan badan kepadanya hingga dia dapat merasakan ketegangan pada kemaluan mangsa. “Mangsa kemudian melucutkan seluar yang dipakai Ismawi hingga menampakkan bahagian buntutnya menyebabkan tertuduh panik sebelum mengambil sebilah pisau Rambo dan berlaku pergelutan. Tertuduh mendakwa dia tidak sedar apa yang berlaku ketika itu.


“Laporan bedah siasat mendapati terdapat 27 kesan kecederaan pada badan si mati termasuk dua kesan tikaman pisau Rambo pada dada mangsa,”
katanya.


Zamani berkata, tertuduh juga
mendakwa tidak menyedari berapa kali dia menikam mangsa dan terus ke tandas untuk membasuh tangan dan mengambil beg kecil bagi meletakkan dompetnya.


“Tertuduh kemudian keluar dengan memandu kereta Proton Satria kepunyaan si mati untuk berjumpa rakannya di Kepala Batas sebelum kembali semula ke Sungai Petani,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini.


Ismawi yang berseluar hitam dan berkemeja-T putih menundukkan muka selepas hakim menjatuhkan hukuman berkenaan.

Tertuduh diwakili peguam C P Ang manakala pendakwaan oleh Ketua Unit Pendakwaan. Datuk Razali Che Ani.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakidihukummati/Article

Penganggur bunuh model ke tali gantung

ISMAWI dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh Azhary (gambar kecil).


ALOR SETAR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam apabila dia didapati bersalah membunuh seorang model sambilan di Sungai Petani enam tahun lalu.

Ismawi Ishak, 25, dituduh membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 32, pada 4 Mei 2004 di antara pukul 12.01 hingga 7.15 pagi di rumah bernombor 180, Jalan Anggerik 1/7, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani.

Ketika Hakim Datuk Zamani A. Rahim membacakan keputusan tersebut, tertuduh dilihat menundukkan kepala dan kelihatan tenang manakala kakak tertuduh pula menangis teresak-esak.

Pendakwaan terhadap Ismawi dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata, semasa tertuduh memberi keterangan membela diri, dia gagal membuktikan dia berada dalam kemarahan yang melampau atau tindakannya itu kerana cubaan untuk membela diri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Petunjuk di lokasi baru

KUALA LUMPUR - Polis semalam mengesahkan menemui beberapa lokasi baru yang dipercayai mempunyai bukti-bukti berkaitan dengan kehilangan dan pembunuhan mangsa-mangsa lain di sebuah ladang ternakan di Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin yang tidak mendedahkan lokasi-lokasi tersebut berkata, daripada siasatan, pihaknya percaya beberapa lokasi baru yang ditemui itu boleh membantu siasatan bukan saja membabitkan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya tetapi juga kes-kes orang hilang dan bunuh lain.

"Kita menyiasat dua aspek. Pertamanya, kes pembunuhan Sosilawati bersama tiga rakannya dan yang kedua berkaitan kes kehilangan dan pembunuhan mangsa-mangsa lain," kata beliau.

Menurut beliau, pasukan polis forensik masih meneruskan usaha mencari bahan-bahan bukti di seluruh ladang itu dan memberi tumpuan di beberapa lokasi baru yang ditemui.

"Kita mengesyaki terdapat beberapa bukti yang dibuang atau ditanam di kawasan tersebut," kata beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Pemandu lori ditipu rakan RM1.7j


MICHAEL (berdiri dua dari kanan) menunjukkan senarai hutang yang terpaksa ditanggung oleh Seik Kuang (kanan sekali) selepas ditipu oleh rakannya di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori berpendapatan Rm2,500 sebulan mendakwa dirinya berhutang sebanyak RM1.7 juta selepas ditipu seorang kenalan lelakinya yang berjanji menjadikan dia usahawan buah-buahan kira-kira dua tahun lalu.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, Lim Seik Kuang, 51, ditipu rakannya yang dikenali sebagai Ah Hock sejak 2008 selepas mendakwa diminta menandatangani dua dokumen perjanjian yang kononnya diperlukan untuk membuat pinjaman perniagaan.

"Seik Kuang yang tidak tahu berbahasa Inggeris hanya menandatangani dokumen tersebut tanpa bertanya kandungan dokumen itu.

"Ah Hock menipu Seik Kuang dengan mengatakan dokumen itu bagi tujuan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan," kata beliau kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Micheal berkata, Seik Kuang turut diminta supaya menukar alamat dalam kad pengenalan kononnya bagi memudahkan proses pinjaman tersebut.

"Lelaki itu menyuruh Seik Kuang menukar alamat di kad pengenalan yang baru dengan alasan setiap pinjaman bank yang ingin dibuat mesti disertakan dengan maklumat latar belakang," kata beliau.

Lelaki itu juga memberikan Seik Kuang antara RM200 hingga RM300 setiap kali lelaki itu menandatangani dokumen di bank dan ini menyebabkan dia mempercayai lelaki tersebut.

Seik Kuang hanya menyedari dirinya ditipu setelah menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) dari sebuah bank pada 20 September lalu kerana dikatakan terlewat membayar ansuran bulanan kereta sedangkan dia tidak memiliki kenderaan berkenaan ketika itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Main kutu haram di Malaysia

Oleh SUHANA VERU, KU RIDZUAN KU ABDUL RAHMAN dan YUNUS YAKKUB
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Aktiviti main kutu yang popular di Malaysia dan banyak dianjurkan secara kecil-kecilan di kalangan masyarakat di negara ini sejak dahulu lagi rupa-rupanya salah di sisi undang-undang.

Ramai yang tidak menyedari hakikat itu. Mengikut undang-undang, tidak ada individu mahupun syarikat di negara ini dibenarkan menganjurkan pelaburan wang kutu termasuk aktiviti mengutip wang orang lain bagi tujuan membina rangkaian perniagaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah berkata, kegiatan itu dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

"Pelaburan itu sama sekali tidak dibenarkan memandangkan ia menimbulkan kekhuatiran berlaku penyelewengan yang akan merugikan pelaburnya.

"Skim kutu diharamkan. Jika sabit kesalahan individu terbabit bakal berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 akta yang sama,"
katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Lelaki cuba noda teman baik

2010/09/29

AMPANG: Menggunakan alasan pergi beraya di rumah rakan, seorang lelaki bijak memperdayakan seorang remaja perempuan yang juga teman baiknya sebelum dia cuba merogol mangsa di sebuah flat di Jalan Ampang, di sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri daripada menjadi mangsa teman baiknya itu yang turut membawa bersama empat rakannya sebelum meminta pertolongan seorang penduduk di flat itu.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam dan remaja perempuan terbabit pada mulanya menerima pelawaan rakannya itu pergi beraya.


“Mangsa bekerja di sebuah restoran makanan segera dan memang mengenali lelaki terbabit yang dikatakan pernah bekerja di tempat sama sebelum ini.


“Mereka berdua berkawan baik namun mangsa tidak pernah menganggap rakan lelakinya itu sebagai kekasih dan melayannya seperti teman sekerja yang lain,”
katanya.


Menurutnya, mangsa tidak mengesyaki suspek mempunyai niat buruk ketika mengajak dia pergi beraya di sebuah rumah rakannya.


“Mangsa dibawa ke tingkat lima sebuah flat di Jalan Ampang dan dia langsung tidak mengetahui yang rakannya itu sebenarnya sudah merancang untuk merogolnya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakicubanodatemanbaik/Article

Sahabat jahat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/09/29

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan menjadi mangsa rogol abang tiri rakan baiknya sebaik dibawa ke rumah lelaki itu kononnya untuk makan malam.

Di rumah itu, mangsa turut dirogol tiga lelaki lain yang juga rakan suspek secara bergilir-gilir. Tidak cukup dengan itu, perbuatan kejam berkenaan turut dirakam seorang daripada suspek menggunakan telefon bimbit dipercayai untuk koleksi peribadi.

Kejadian bermula kira-kira jam 4 petang kelmarin, apabila mangsa pergi ke rumah rakan sekelasnya di Segambut, di sini, untuk keluar makan bersama.


Menurut sumber, sebaik tiba di rumah rakannya itu, mangsa dibawa ke sebuah rumah di Kepong, di sini, yang kononnya didiami abang tiri kepada teman baiknya itu berusia awal 20-an.


“Rakan sekelas mangsa kemudian meninggalkan rumah berkenaan selepas menyerahkan mangsa kepada abang tirinya.


“Mangsa yang terpinga-pinga kemudian ditenangkan suspek sebelum lelaki terbabit memperkenalkan remaja malang itu kepada tiga lagi rakannya berusia lingkungan 20-an,”
katanya.


Sumber berkata, mangsa yang bimbang keselamatannya merayu berulang kali supaya dihantar pulang namun tindakannya itu menyebabkan mangsa dimarahi.


“Mangsa kemudian diheret ke dalam sebuah bilik sebelum pakaiannya dilucutkan suspek,” katanya.


Tersentak dengan itu, mangsa menjerit dan meronta minta dilepaskan sebelum dia dipukul dan diugut seorang daripada suspek.


Sumber berkata, mangsa dirogol bergilir-gilir.


“Selepas selesai merogol mangsa, seorang daripada suspek kemudian menghantar semula mangsa ke rumah rakan baiknya di Segambut.

“Mangsa pulang ke rumahnya di Batu Caves, sebelum tampil membuat laporan di balai polis berhampiran,”
katanya.


Difahamkan, polis menahan dua daripada suspek selepas menerima laporan mengenai kejadian berkenaan manakala dua lagi rakannya sedang dikesan.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.


Menurutnya, kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sahabatjahat/Article

Padah buang bayi

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

2010/09/29

MELAKA: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara dua tahun, manakala teman wanitanya (seorang juvana) diperintah ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 20 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membuang seorang bayi perempuan dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi hari pertama Ramadan lalu.

Majistret Mohd Fairuz Johari membuat keputusan hukuman itu selepas meneliti fakta kes, syor pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, hujah pendakwaan dan rayuan Mohd Zolhalmi Khamis, 18, serta juvana berusia 17 tahun 11 bulan itu.

Beliau juga menasihati pasangan itu yang bekerja di kilang sama dan berasal dari Felda Jelai 2, Negeri Sembilan, dengan panjang lebar supaya mengambil iktibar hukuman itu serta insaf dan bertaubat.

“Mengapa kamu (Mohd Zolhalmi) terfikir letak bayi itu dalam tong sampah? Bagaimana (keadaan bayi) kalau tiada orang nampak? Dan kamu (juvana) sepatutnya ketika mengandung dah insaf dan bukan selepas dituduh di mahkamah.

“Mengapa kamu tidak berterus-terang kepada keluarga? Saya percaya jika tidak kamu tidak akan didakwa di mahkamah,”
katanya.

Katanya, tertuduh harus faham akibat perbuatan mereka tidak berfikir panjang dan mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang.

“Umur muda bukan alasan melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman ringan. Sekarang di Mahkamah Melaka banyak kes juvana curi motosikal, rogol dan sebagainya.

“Kesalahan kamu serius dan kamu harus tahu sebab itu polis menuduh kes membuang bayi mengikut Seksyen 302. Kamu bernasib baik dalam kes ini bayi ditemui masih hidup,”
katanya.
Sementara itu, Mohd Zolhalmi berkata, dia meletakkan bayinya dalam tong sampah kerana bimbang dilihat pekerja kilang yang bersahur.

Dia juga mendakwa mahu menyelamatkan ibu bayi itu apabila masuk semula ke kilang, selain bercadang membawa bayi berkenaan ke hospital, namun ditangkap polis.

Pesalah juvana itu pula mendakwa takut berterus-terang kepada keluarganya bahawa dia mengandung.

Mereka tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md Nor. Mereka didakwa bersama-sama membuang bayi perempuan itu di kawasan Kilang Daibochi, Ayer Keroh, kira-kira jam 5.10 pagi pada 11 Ogos lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kira-kira 4.15 pagi pada hari kejadian, mereka duduk di kaki lima kilang berdekatan pondok pengawal.

Juvana itu kemudian berasa sakit hendak bersalin dan memberitahu Mohd Zolhalmi yang menyuruhnya ke tandas dan melahirkan anak kira-kira lima hingga 10 minit kemudian.

Dia kemudian menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Zolhalmi supaya menghulurkan beg makanan yang dibawanya melalui tingkap dan memasukkan bayi itu ke dalamnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahbuangbayi/Article

Gadis hilang ditemui di KL

2010/09/29

JASIN: Tempoh 17 hari yang cukup meresahkan seorang ibu apabila anak gadisnya hilang tanpa khabar berita sejak Aidilfitri kedua lalu, akhirnya membawa kepada khabar ceria apabila anaknya itu ditemui di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Remaja terbabit Nurul Dinah Jamal, 23, didakwa ditemui oleh anggota polis di KL Sentral ketika dia merayau-rayau dan berada dalam keadaan kebingungan.

Remaja terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran, sebelum pemeriksaan menemui rekodnya dicatat sebagai orang hilang dan keluarganya dihubungi kira-kira jam 9.30 malam Ahad lalu.


Ibu kepada remaja terbabit, Habsah Mohd Diah, 54, berkata, dia amat bersyukur apabila dihubungi mengenai penemuan anaknya itu sebelum dimaklumkan beliau boleh mengambil anaknya di Kuala Lumpur.


“Saya kemudian memaklumkan berita gembira ini kepada anak lelaki saya, Mohd Nor Fadhil, 27, sebelum kami bergegas ke Kuala Lumpur bersama menantu dan adik saya.


“Bagaimanapun, sejurus tiba di rumah, Nurul muram dan tidak banyak bercakap.


“Sehingga hari ini perwatakannya tidak berubah dan masih menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap,” katanya, di sini, semalam.


Akhbar ini Jumaat lalu melaporkan keresahan seorang ibu apabila anak gadisnya menghilangkan diri sejak hampir dua minggu lalu.


Dalam laporan itu, Nurul Dinah dari Jalan Pengkalan Samak, Merlimau, dekat sini, dilaporkan menghilangkan diri dari rumahnya pada 11 September lalu.


Habsah berkata, dia tidak menolak kemungkinan anaknya itu dipukau dengan perubahan sikapnya yang mendadak itu.


“Dia tidak mahu menceritakan apa yang berlaku pada dirinya dan hanya menyatakan dia tidak tahu bagaimana boleh berada di sana,” katanya.



Sementara itu, Nurul Dinah ketika ditanya bagaimana dia boleh menghilangkan diri, mendakwa dia keluar rumah seperti biasa sebelum menaiki teksi.


“Saya tak ingat macam mana saya boleh ada di sana (Kuala Lumpur) dan tak tahu siapa yang bawa saya ke sana,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GadishilangditemuidiKL/Article

Ghaib sebulan sebelum bernikah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

2010/09/29

PENDANG: “Anak saya sepatutnya bernikah awal bulan depan dan segala persiapan termasuk pakaian sudah ditempah tetapi dia pula hilang sampai sekarang tidak dapat dikesan,” kata Salmah Hasan.

Salmah, 49, berkata anak perempuannya, Siti Rohani Abidin, 21, dipercayai hilang sejak 20 September lalu di rumah mereka di Kampung Keda Tanjung Setul, Bukit Jenundi sini, dipercayai mengikut dua lelaki.

Katanya, anak ketiga daripada enam beradik itu bertunang dengan lelaki pilihannya pada Aidilfitri pertama lalu.


“Saya syak dua lelaki yang datang ke rumah kami pada hari raya lalu, melarikan Siti Rohani kerana sebelum ini mereka menasihatkan dia berulang kali supaya jangan berkahwin muda.


“Kami bercadang melangsungkan perkahwinan Siti Rohani dengan tunangnya awal bulan depan dan sudah membeli sebahagian kelengkapan untuk majlis itu,”
katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Salmah berkata, anak perempuannya itu bekerja di sebuah kilang bersama tunangnya di Prai, Pulau Pinang, dan menyewa sebuah rumah di Sungai Petani.


Katanya, Siti Rohani pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri serta melangsungkan pertunangannya dan dijangka pulang ke rumah sewanya beberapa hari kemudian.


“Sebelum kehilangannya, anak saya pernah memberitahu dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun itu menghalang kereta dipandu tunangnya di tengah jalan ketika dia dan tunangnya keluar makan di Pendang.


“Dia mendakwa dua lelaki itu turut mengugutnya dengan pelbagai ugutan sebelum membenarkan mereka pergi. Anak saya juga mendakwa seorang daripada mereka turut menghantar SMS berbaur ugutan tetapi dia sudah memadamnya,” katanya.


Salmah berkata, pada malam kejadian, anaknya mendakwa tidak boleh tidur dan kerap mundar-mandir seorang diri di dalam rumah manakala dua kakak dan tiga adiknya yang lain tidur di ruang tamu.


Bagaimanapun, dia hanya menyedari anaknya hilang kira-kira jam 5 pagi ketika terjaga dari tidur dan mendapati baju dalam almari anaknya sudah tiada manakala tilamnya berselerak.

“Saya mengesyaki mungkin anak saya dipaksa dua lelaki itu mengikut mereka dengan ugutan atau dipukau.


“Kami sudah puas mencarinya tetapi gagal mengesannya dan mengesyaki dia disembunyikan,”
katanya.


Berikutan itu, Salmah dan suaminya, Abidin Othman, 56, membuat laporan kehilangan Siti Rohani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.


Salmah berharap mereka yang menemui atau mengetahui di mana anaknya berada supaya menghubunginya di talian 04-4721897.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ghaibsebulansebelumbernikah/Article

Peniaga kalah judi tipu isteri diculik along

2010/09/29

BATU PAHAT: Angkara ketagih judi, seorang peniaga berusia 37 tahun yang asyik bertaruh di sebuah kasino di Pahang sanggup memperdaya isteri kononnya dia ditangkap ceti haram atau along dan meminta wang RM25,000 untuk membayar hutang sebelum dibebaskan.

Permintaan itu dibuat melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isterinya, kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu.

Bimbang dengan SMS diterimanya, isteri lelaki itu yang juga pekerja kilang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari sama.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu sebenarnya cuba menipu bagi mendapatkan wang dipercayai selepas kalah berjudi di kasino itu.


“SMS itu berbunyi: ‘Saya sudah kena tangkap dengan along, tolong masukkan RM25,000 ke dalam akaun saya cepat’.


“Selepas SMS pertama itu, lelaki terbabit berkali-kali menghantar SMS meminta wang dimasukkan segera ke dalam akaunnya menyebabkan wanita berkenaan bimbangkan keselamatan suaminya,” katanya, semalam.


Menurut Ibrahim, hasil siasatan sepasukan anggota dari IPD Batu Pahat bergegas ke kasino di sebuah pusat peranginan itu pada jam 1 pagi Ahad lalu, sebelum menemui lelaki terbabit sedang bertaruh di meja judi dan ditahan untuk membantu siasatan.


Katanya, siasatan masih dilakukan dan sebaik kertas siasatan lengkap, polis akan mengajukannya kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mencadangkan lelaki terbabit dikenakan tindakan kerana melakukan pemerasan.


“Kami memandang serius kes ini kerana setiap laporan polis akan disiasat secara profesional dan tindakannya cuba memperdaya isteri kononnya dia berada di dalam genggaman individu tertentu salah di sisi undang-undang,” katanya.


“Berikutan laporan itu, polis perlu menjalankan siasatan dan menggunakan banyak masa serta tenaga sedangkan ia bukanlah kes sebenar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peniagakalahjuditipuisteridiculikalong/Article

Peguam tak tahu bila pelanggan didakwa

2010/09/29

KUALA LUMPUR: Peguam Ravi Nekoo (gambar) yang mewakili peguam adik-beradik yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain mendakwa tidak tahu bila anak guamnya itu serta enam lagi suspek didakwa.

“Perintah tahanan reman mereka berakhir Sabtu ini. Jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat atau polis mungkin memutuskan memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret,” katanya.

Menurutnya, dia akan menulis kepada pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Omar Mammah bagi membolehkan pihaknya mempunyai akses kepada anak guamnya berusia 41 dan 38 tahun itu.


“Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.


“Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami, namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini dinafikan sejak kunjungan pertama lagi,” katanya.


Beliau berkata, polis mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti atau mereka bimbang suspek melarikan diri.


“Mereka mempunyai lebih daripada 14 hari mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami,” katanya yang meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan peluang bertemu peguam mereka.


Ravi berkata, pada masa ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu, manakala seorang lagi peguam, D P Vijandran belum memutuskan sama ada menyertai mereka atau tidak.


Sebelum ini, peguam terbabit membuat laporan polis mendakwa anak guamnya didera mental dan fizikal oleh anggota polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamtaktahubilapelanggandidakwa/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...