Wednesday, September 29, 2010

Gadis hilang ditemui di KL

2010/09/29

JASIN: Tempoh 17 hari yang cukup meresahkan seorang ibu apabila anak gadisnya hilang tanpa khabar berita sejak Aidilfitri kedua lalu, akhirnya membawa kepada khabar ceria apabila anaknya itu ditemui di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Remaja terbabit Nurul Dinah Jamal, 23, didakwa ditemui oleh anggota polis di KL Sentral ketika dia merayau-rayau dan berada dalam keadaan kebingungan.

Remaja terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran, sebelum pemeriksaan menemui rekodnya dicatat sebagai orang hilang dan keluarganya dihubungi kira-kira jam 9.30 malam Ahad lalu.


Ibu kepada remaja terbabit, Habsah Mohd Diah, 54, berkata, dia amat bersyukur apabila dihubungi mengenai penemuan anaknya itu sebelum dimaklumkan beliau boleh mengambil anaknya di Kuala Lumpur.


“Saya kemudian memaklumkan berita gembira ini kepada anak lelaki saya, Mohd Nor Fadhil, 27, sebelum kami bergegas ke Kuala Lumpur bersama menantu dan adik saya.


“Bagaimanapun, sejurus tiba di rumah, Nurul muram dan tidak banyak bercakap.


“Sehingga hari ini perwatakannya tidak berubah dan masih menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap,” katanya, di sini, semalam.


Akhbar ini Jumaat lalu melaporkan keresahan seorang ibu apabila anak gadisnya menghilangkan diri sejak hampir dua minggu lalu.


Dalam laporan itu, Nurul Dinah dari Jalan Pengkalan Samak, Merlimau, dekat sini, dilaporkan menghilangkan diri dari rumahnya pada 11 September lalu.


Habsah berkata, dia tidak menolak kemungkinan anaknya itu dipukau dengan perubahan sikapnya yang mendadak itu.


“Dia tidak mahu menceritakan apa yang berlaku pada dirinya dan hanya menyatakan dia tidak tahu bagaimana boleh berada di sana,” katanya.



Sementara itu, Nurul Dinah ketika ditanya bagaimana dia boleh menghilangkan diri, mendakwa dia keluar rumah seperti biasa sebelum menaiki teksi.


“Saya tak ingat macam mana saya boleh ada di sana (Kuala Lumpur) dan tak tahu siapa yang bawa saya ke sana,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GadishilangditemuidiKL/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...