Wednesday, September 29, 2010

Padah buang bayi

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

2010/09/29

MELAKA: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara dua tahun, manakala teman wanitanya (seorang juvana) diperintah ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 20 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membuang seorang bayi perempuan dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi hari pertama Ramadan lalu.

Majistret Mohd Fairuz Johari membuat keputusan hukuman itu selepas meneliti fakta kes, syor pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, hujah pendakwaan dan rayuan Mohd Zolhalmi Khamis, 18, serta juvana berusia 17 tahun 11 bulan itu.

Beliau juga menasihati pasangan itu yang bekerja di kilang sama dan berasal dari Felda Jelai 2, Negeri Sembilan, dengan panjang lebar supaya mengambil iktibar hukuman itu serta insaf dan bertaubat.

“Mengapa kamu (Mohd Zolhalmi) terfikir letak bayi itu dalam tong sampah? Bagaimana (keadaan bayi) kalau tiada orang nampak? Dan kamu (juvana) sepatutnya ketika mengandung dah insaf dan bukan selepas dituduh di mahkamah.

“Mengapa kamu tidak berterus-terang kepada keluarga? Saya percaya jika tidak kamu tidak akan didakwa di mahkamah,”
katanya.

Katanya, tertuduh harus faham akibat perbuatan mereka tidak berfikir panjang dan mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang.

“Umur muda bukan alasan melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman ringan. Sekarang di Mahkamah Melaka banyak kes juvana curi motosikal, rogol dan sebagainya.

“Kesalahan kamu serius dan kamu harus tahu sebab itu polis menuduh kes membuang bayi mengikut Seksyen 302. Kamu bernasib baik dalam kes ini bayi ditemui masih hidup,”
katanya.
Sementara itu, Mohd Zolhalmi berkata, dia meletakkan bayinya dalam tong sampah kerana bimbang dilihat pekerja kilang yang bersahur.

Dia juga mendakwa mahu menyelamatkan ibu bayi itu apabila masuk semula ke kilang, selain bercadang membawa bayi berkenaan ke hospital, namun ditangkap polis.

Pesalah juvana itu pula mendakwa takut berterus-terang kepada keluarganya bahawa dia mengandung.

Mereka tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md Nor. Mereka didakwa bersama-sama membuang bayi perempuan itu di kawasan Kilang Daibochi, Ayer Keroh, kira-kira jam 5.10 pagi pada 11 Ogos lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kira-kira 4.15 pagi pada hari kejadian, mereka duduk di kaki lima kilang berdekatan pondok pengawal.

Juvana itu kemudian berasa sakit hendak bersalin dan memberitahu Mohd Zolhalmi yang menyuruhnya ke tandas dan melahirkan anak kira-kira lima hingga 10 minit kemudian.

Dia kemudian menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Zolhalmi supaya menghulurkan beg makanan yang dibawanya melalui tingkap dan memasukkan bayi itu ke dalamnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahbuangbayi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...