Wednesday, September 29, 2010

Ghaib sebulan sebelum bernikah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

2010/09/29

PENDANG: “Anak saya sepatutnya bernikah awal bulan depan dan segala persiapan termasuk pakaian sudah ditempah tetapi dia pula hilang sampai sekarang tidak dapat dikesan,” kata Salmah Hasan.

Salmah, 49, berkata anak perempuannya, Siti Rohani Abidin, 21, dipercayai hilang sejak 20 September lalu di rumah mereka di Kampung Keda Tanjung Setul, Bukit Jenundi sini, dipercayai mengikut dua lelaki.

Katanya, anak ketiga daripada enam beradik itu bertunang dengan lelaki pilihannya pada Aidilfitri pertama lalu.


“Saya syak dua lelaki yang datang ke rumah kami pada hari raya lalu, melarikan Siti Rohani kerana sebelum ini mereka menasihatkan dia berulang kali supaya jangan berkahwin muda.


“Kami bercadang melangsungkan perkahwinan Siti Rohani dengan tunangnya awal bulan depan dan sudah membeli sebahagian kelengkapan untuk majlis itu,”
katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Salmah berkata, anak perempuannya itu bekerja di sebuah kilang bersama tunangnya di Prai, Pulau Pinang, dan menyewa sebuah rumah di Sungai Petani.


Katanya, Siti Rohani pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri serta melangsungkan pertunangannya dan dijangka pulang ke rumah sewanya beberapa hari kemudian.


“Sebelum kehilangannya, anak saya pernah memberitahu dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun itu menghalang kereta dipandu tunangnya di tengah jalan ketika dia dan tunangnya keluar makan di Pendang.


“Dia mendakwa dua lelaki itu turut mengugutnya dengan pelbagai ugutan sebelum membenarkan mereka pergi. Anak saya juga mendakwa seorang daripada mereka turut menghantar SMS berbaur ugutan tetapi dia sudah memadamnya,” katanya.


Salmah berkata, pada malam kejadian, anaknya mendakwa tidak boleh tidur dan kerap mundar-mandir seorang diri di dalam rumah manakala dua kakak dan tiga adiknya yang lain tidur di ruang tamu.


Bagaimanapun, dia hanya menyedari anaknya hilang kira-kira jam 5 pagi ketika terjaga dari tidur dan mendapati baju dalam almari anaknya sudah tiada manakala tilamnya berselerak.

“Saya mengesyaki mungkin anak saya dipaksa dua lelaki itu mengikut mereka dengan ugutan atau dipukau.


“Kami sudah puas mencarinya tetapi gagal mengesannya dan mengesyaki dia disembunyikan,”
katanya.


Berikutan itu, Salmah dan suaminya, Abidin Othman, 56, membuat laporan kehilangan Siti Rohani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.


Salmah berharap mereka yang menemui atau mengetahui di mana anaknya berada supaya menghubunginya di talian 04-4721897.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ghaibsebulansebelumbernikah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...