Wednesday, September 29, 2010

Peniaga kalah judi tipu isteri diculik along

2010/09/29

BATU PAHAT: Angkara ketagih judi, seorang peniaga berusia 37 tahun yang asyik bertaruh di sebuah kasino di Pahang sanggup memperdaya isteri kononnya dia ditangkap ceti haram atau along dan meminta wang RM25,000 untuk membayar hutang sebelum dibebaskan.

Permintaan itu dibuat melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isterinya, kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu.

Bimbang dengan SMS diterimanya, isteri lelaki itu yang juga pekerja kilang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari sama.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu sebenarnya cuba menipu bagi mendapatkan wang dipercayai selepas kalah berjudi di kasino itu.


“SMS itu berbunyi: ‘Saya sudah kena tangkap dengan along, tolong masukkan RM25,000 ke dalam akaun saya cepat’.


“Selepas SMS pertama itu, lelaki terbabit berkali-kali menghantar SMS meminta wang dimasukkan segera ke dalam akaunnya menyebabkan wanita berkenaan bimbangkan keselamatan suaminya,” katanya, semalam.


Menurut Ibrahim, hasil siasatan sepasukan anggota dari IPD Batu Pahat bergegas ke kasino di sebuah pusat peranginan itu pada jam 1 pagi Ahad lalu, sebelum menemui lelaki terbabit sedang bertaruh di meja judi dan ditahan untuk membantu siasatan.


Katanya, siasatan masih dilakukan dan sebaik kertas siasatan lengkap, polis akan mengajukannya kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mencadangkan lelaki terbabit dikenakan tindakan kerana melakukan pemerasan.


“Kami memandang serius kes ini kerana setiap laporan polis akan disiasat secara profesional dan tindakannya cuba memperdaya isteri kononnya dia berada di dalam genggaman individu tertentu salah di sisi undang-undang,” katanya.


“Berikutan laporan itu, polis perlu menjalankan siasatan dan menggunakan banyak masa serta tenaga sedangkan ia bukanlah kes sebenar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peniagakalahjuditipuisteridiculikalong/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...