Sunday, August 10, 2008
Olimpik: Brunei balik awal sebab gagal daftar atlet
Sabtu, 09 Ogos 2008
BEIJING: Brunei disingkirkan daripada Sukan Olimpik selepas gagal mendaftarkan sebarang atlet bertanding dalam mana-mana acara, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam ini.
“Ia sesuatu yang amat memalukan dan menyedihkan kepada atlet kerana tidak dapat bertanding disebabkan pasukan mereka tidak mendaftarkan nama mereka,’’ kata jurucakap IOC, Emmanuelle Moreau dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Moreau, IOC memberi tempoh hingga tengah hari tadi untuk negara itu mendaftarkan nama atlet mereka, namun ia tidak muncul.
Dua atlet yang sebelum ini dijadual membawa cabaran Brunei di Olimpik Beijing adalah perenang 15 tahun, Maria Grace Koh dan atlet lontar peluru, Mohd. Yazid Yatimi Yusof.
Dengan keputusan terbaru ini bermakna hanya 204 buah negara akan mengambil bahagian pada Temasya yang dibuka secara rasmi malam ini, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos.
Sultan Hassanal Bolkiah menjadi salah seorang tetamu diraja yang dijemput menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.
http://klpos.com/
Ya Allah, kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu
Oleh Mohd Asri Zainul Abidin
Ahad, 10 Ogos 2008
MENENTUKAN pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah.
Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya.
Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.
Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).
Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta.
Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan.
Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar.
Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).
Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan.
Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.
Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah.
Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia).
Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).
Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong.
Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul.
Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.
Pengganas
Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas.Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika.
Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika.
Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika.
Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika.
Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata.
Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan. Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak.
Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika.
Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.
Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri.
Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya.
Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta.
Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).
Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya.
Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri.
Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW.
Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.
Kegilaan kuasa
Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”.
Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan.
Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain.
Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.
Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT.
Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan. Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi.
Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. T
anggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat.
Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan.
Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’.
Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.
Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa.
Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya.
Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!
Penulis merupakan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Rencana ini dipetik daripada kolum Pena Mufti Mingguan Malaysia - Pengarang
http://klpos.com/
‘Saya rugi 2 tahun’
SELEPAS dua tahun dibelenggu penggantungan, atlit angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim tampil di Sukan Olimpik Beijing untuk mengukur setakat mana keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi.
Badang berusia 27 tahun itu yang beraksi dalam kategori bawah 56kg akan turun di Gimnasium Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing dalam saingan Kumpulan A pada jam 7 malam ini. Ikuti wawancara dengannya.
“JIKA masa boleh diputar kembali, saya mahukan tempoh dua tahun saya yang hilang kerana penggantungan itu dipulangkan. Tempoh dua tahun itu cukup merugikan dan begitu mengecewakan saya. Sepanjang tempoh itu tidak banyak yang boleh saya lakukan. Saya tidak boleh berlatih secara serius dan tidak boleh mengangkat bebanan yang sepatutnya.
Saya langsung tidak boleh memberi tumpuan 100 peratus sebab tiada kejohanan, apatah lagi kebajikan saya juga diabaikan, mujurlah ada Majlis Negeri Pahang yang prihatin memberi elaun. Saya benar-benar patah hati dibuatnya. Atas sebab itulah, saya rasa lebih baik tumpukan perhatian terhadap perniagaan katering saya ketika itu.
Tapi, sebagai atlit, semangat untuk beraksi di Olimpik tetap membaradi sanubari saya. Itulah saya rasa impian setiap insan yang menjadi ahli sukan - untuk bergelar Olimpian. Atas dasar itulah saya mengetepikan perasaan kecewa itu dan bekerja keras untuk layak walaupun saya boleh dikatakan agak terlambat dan mempunyai masa singkat ke Beijing. Bayangkan saya hanya mula berlatih secara serius pada Mei 2007 dan layak Mei lalu. Bukan mudah tapi itulah hakikatnya, saya layak dalam tempoh setahun. Mungkin saya berada di tempat terakhir 11 keseluruhan peserta yang layak, tapi saya bangga kerana tiada siapa boleh menafikan hakikat yang saya layak berdasarkan merit dan bertanding di bawah Kategori A.(Amirul layak selepas berada di kedudukan ke-11 dunia berdasarkan pencapaiannya di kejohanan kelayakan di Jepun, Mei lalu. Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan itu).Tapi, di Olimpik ini, saya tidak berani berjanji apa-apa. Kebanyakan lawan saya sudah lama bersedia ketika saya terlepas dua tahun. Kelebihan buat mereka dan kekurangan buat saya. Saya sebenarnya berada dalam keadaan baik sebelum penggantungan itu.Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan, saya boleh berada dalam kelas sama dengan pencabar saya jika tidak kerana penggantungan itu kerana sukan angkat berat ini memerlukan latihan dalam tempoh lama secara berterusan.Mengenai pencabar saya di Olimpik, saya rasa kami tidak banyak berbeza. Mungkin ada tiga atau empat atlit lain di atas saya seperti dari Indonesia, Korea Selatan dan tuan rumah, China, tapi saya tidak melihat itu sebagai sesuatu yang menghalang semangat saya. Dalam angkat berat, saingan sentiasa sengit dan apa saja boleh terjadi pada hari pertandingan. Untuk hari ini, jurulatih Xin Hui menyuruh saya mengangkat jumlah maksimum, bermakna saya akan pergi untuk angkatan keseluruhan 262kg melalui angkatan pertama saya.” (Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan kelayakan di Jepun Mei, lalu).
Nelayan jadi lanun diesel subsidi
KUALA LUMPUR - Diesel subsidi yang sepatutnya disediakan untuk golongan nelayan rupa-rupanya telah dijadikan sumber rezeki mudah kepada segelintir nelayan yang menjadi 'lanun' menyeludup bahan api itu.
Kegiatan haram itu terbukti melalui penyamaran wartawan Kosmo! Ahad sebagai nelayan di sebuah jeti nelayan di sebuah daerah di Pantai Timur yang telah sekian lama menjadi pusat perdagangan diesel di kalangan nelayan.
Menariknya, usaha untuk mengesan aktiviti pada hari pertama menemui kegagalan apabila kumpulan tonto yang mengawal kegiatan tersebut telah memaklumkan kepada semua nelayan terbabit tentang kedatangan orang luar.
Mereka memang tidak menduga kedatangan wartawan Kosmo! Ahad tetapi dari apa yang didengari, orang luar yang dimaksudkan ialah pegawai penguat kuasa dari Kuala Lumpur mahu membuat tinjauan di jeti tersebut.
Sejak pukul 3 pagi lagi, wartawan Kosmo! Ahad telah menunggu di jeti tersebut dengan sebuah bot pemancing yang disewa khas hinggalah matahari terbit, tiada apa yang berlaku seperti lazimnya.
Difahamkan, aktiviti penjualan diesel itu berlaku sebelum fajar menyingsing dan melibatkan lebih 20 orang pada satu-satu masa.
Modus operandi mereka bermula awal pagi apabila golongan nelayan laut dalam yang terdiri daripada kategori B, C dan C2, mengambil minyak tersebut di jeti-jeti pengisian minyak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bagaimanapun, selepas mengisi diesel pada tahap yang paling maksimum, mereka menghalakan bot ke tengah laut kononnya ingin keluar menangkap ikan tetapi sebenarnya mereka menuju ke jeti-jeti persendirian dan menuangkan kembali diesel yang diperoleh ke dalam tangki yang disediakan khas untuk tujuan tersebut.
Pada malam kedua, usaha wartawan Kosmo! Ahad berhasil apabila jeti tersebut mula dikunjungi 'peraih' sekitar pukul 1 pagi untuk menukar tong-tong yang telah diisi diesel pada siang sebelumnya dengan tong kosong.
Sebaik sahaja selesai, bot-bot peraih ini akan segera meninggalkan jeti menuju ke destinasi masing-masing.
Hubungan yang terjalin antara nelayan dan peraih minyak subsidi curi memang sedia rapat kerana tiada tawar menawar berlaku.
Peraih-peraih ini akan membawa diesel yang dibeli untuk pasaran negeri tertentu seperti Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran semasa.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, minyak diesel tersebut dijual pada harga RM1.50 seliter sedangkan harga subsidi cuma RM1 sahaja dan 'peraih minyak' pula menjual kepada orang lain pada harga RM2 berbanding harga pada pasaran sebenar iaitu RM2.58 seliter.
"Sejak subsidi diesel diperkenalkan, kegiatan ini semakin serius, kami nelayan yang benar-benar jujur selalu kecewa kerana bekalan diesel kerap habis," kata seorang nelayan yang cuma ingin dikenali sebagai Zamri.
Menurut Zamri, selain di darat, urusan jual beli turut dilakukan di kawasan perairan yang melibatkan nelayan asing seperti Thailand dan Singapura.
http://www.kosmo.com.my/
Racun kecantikan - Produk kosmetik kaki lima nipiskan kulit muka
berita@kosmo.com.my
“TIDAK sampai tiga hari guna krim tersebut, muka saya mula mengelupas dan pedih setiap kali terkena air,” ujar Sarah (bukan nama sebenar) sebak.
Lebih memeritkan apabila tompok-tompok merah sebesar tapak tangan bayi jelas kelihatan di wajahnya hinggakan beliau sentiasa tertekan apabila perlu berjumpa dengan orang ramai.
“Lepas dua bulan, suami saya suruh berhenti menggunakan produk itu bila keadaan wajah saya jadi lebih teruk. Namun walaupun telah berhenti, kesannya masih ada,” luah Sarah yang menjadi mangsa produk kecantikan jalanan.
Bagi Nazlim (bukan nama sebenar) yang turut menjadi mangsa produk jalanan ini, situasinya lebih buruk apabila mukanya membengkak selepas seminggu memakai sejenis krim malam.
“Bahagian mulut dan mata bengkak sampaikan saya tidak boleh bercakap kerana terlalu sakit di bahagian mulut,” katanya.
Sarah, Nazlim malah ratusan lagi mangsa yang tertipu dengan produk kecantikan yang dijual dengan berleluasa di kaki lima mahupun secara langsung, kini berada dalam dilema apabila kecantikan yang diinginkan bertukar sebaliknya.
Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa kaki lima sekitar ibu negara terutama Kota Raya, Chow Kit dan Masjid India memberi gambaran betapa penjualan produk kecantikan ini semakin meningkat.
Di sekitar Kota Raya sahaja, kira-kira 30 peniaga produk kecantikan menjual barangan daripada pelbagai negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia dan juga buatan tempatan.
Produk seperti pembersih muka, krim pemutih, krim jerawat dan jeragat serta krim malam turut dijual pada ‘harga berpatutan’.
Namun meskipun produk ini diragui keberkesanan malah kandungan bahan kimianya, ia terus dijual secara berleluasa dan tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
Wanita-wanita warga asing ini cukup licik. Antara cara melindungi produk mereka daripada dirampas ialah dengan memberi barangan itu tanpa kotak kepada pelanggan.
Kotak itu sebaliknya disimpan di dalam sebuah beg khas dan tidak sekali-kali diberikan kepada pembeli.
Penjual dipercayai cuba menyembunyikan sesuatu dan cara ini mungkin strategi mengurangkan kerugian apabila diserbu oleh pihak berkuasa.
Golongan pembeli yang terdiri daripada warga asing dan tempatan tidak terlepas daripada dipengaruhi mengunakan produk ini.
Menyentuh mengenai harga, barangan penjagaan wajah tersebut dijual kadangkala mencecah sehingga RM100. Di sesetengah tempat pula hanya RM5 bagi satu produk.
Seorang peniaga di situ mendakwa, produk yang dibekalkan dari Indonesia itu digunakan bukan sahaja oleh masyarakat tempatan.
“Orang Melayu, Cina, Bangladesh atau Filipina sekali pun ada yang membeli produk ini dan ia bergantung kepada kepandaian peniaga memujuk,” ujar wanita dari Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Charmine.
Charmine yang telah meniaga di Kota Raya selama lima tahun memberitahu, pada mula dia hanya membantu seorang rakannya. Namun apabila melihat sambutan yang menggalakkan, dia terus menjualnya sendiri.
“Pelanggan tidak kira lelaki atau perempuan namun barangan dari Indonesia memang laris,” katanya.
Pembungkusan diragui
FAHAMI label kandungan sebelum membeli. - Gambar hiasan
KANDUNGAN belum tentu selamat dan cara pemprosesan turut diragui menjadikan produk kosmetik jalanan seumpama bom waktu kepada mereka yang gemar menggunakannya.
Demikian tegas pensyarah Jabatan Farmakognosis/Kimia Farmaseutikal di Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zhari Ismail. Beliau meminta masyarakat menyedari bahaya menggunakan produk itu.
Sebab itulah amat penting bagi pengguna memilih produk yang didaftarkan.”
Keberkesanan dan keselamatan ubatan atau dadah, ujar beliau, terutama yang dipasarkan secara terbuka di luar farmasi haruslah mengikut piawaian dan selamat digunakan.
SEBAHAGIAN besar produk jalanan dijual bebas oleh peniaga warga asing. - Gambar hiasan
Seandainya dibeli di kaki atau pengedar yang tidak diketahui kesahihannya, pelbagai kesan akan timbul malah kadangkala boleh membawa maut.
Di samping itu, pencemaran bahan dan penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap kesihatan walaupun herba atau ubat tersebut telah digunakan turun-temurun.
“Di jalanan, soal pembungkusan waima asal-usul pengeluar produk tidak dapat dikenal pasti malah harga yang ditawarkan belum tentu berbaloi dengan kesan jangka panjang penggunaan produk tersebut,” jelasnya.
Tambah Zhari lagi, secara am, sekiranya maklumat mengenai bahan serta identiti pengeluar tidak disertakan bersama produk, ia menandakan seolah-olah syarikat tersebut cuba ‘menyembunyikan’ sesuatu.
“Bahan seperti asid, raksa atau logam berbahaya seringkali digunakan dan kita tidak mahu pengguna terus tertipu dengan produk jalanan ini,” tegasnya.
Selain raksa, plumbum di dalam produk jalanan, lemak babi pun ada
KOSMETIK didefinisikan sebagai sebarang inti bahan atau persediaan khusus untuk dihubung dengan bahagian luaran tubuh bagi tujuan membersih, mewangi, mengubah atau membetulkan keadaan.
Bahagian terbabit termasuk sistem kulit, rambut, kuku, mulut atau organ kemaluan. Bahan berkenaan juga dihasilkan untuk melindungi atau memastikan badan berada dalam keadaan baik.
Namun keghairahan beberapa pihak dalam mengeluarkan serta memasarkan produk kecantikan mungkin mengundang bencana apabila kandungannya tidak mengikut piawaian pihak berkuasa.
Menurut Pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, bahan kimia yang terdapat di dalam bahan perawatan wajah yang dijual di jalanan sebenarnya amat menakutkan kita.
“Kajian CAP mendapati kandungan raksa di dalam produk tertentu melebihi dua peratus manakala hidrokuinin yang digunakan sebagai agen pemutih wajah melebihi 0.5 peratus daripada bahagian persejuta,” katanya.
Hidrokuinin ialah sejenis peluntur turut berperanan menghakis kulit.
Lebih membimbangkan, ada di antara produk tersebut menggunakan lemak babi.
Justeru, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 terhadap peniaga yang didapati menjual kosmetik palsu serta produk berbahaya tersebut secara terbuka.
Tambah Hatijah, pihak berkuasa sentiasa tegas dalam hal ini kerana penjualan kosmetik tiruan atau barangan palsu lain jelas bertentangan dengan akta tersebut.
“Peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Tambah beliau, pemilik kilang atau syarikat yang didapati bersalah mengeluarkan barang tiruan termasuk kosmetik, boleh didenda sebanyak RM250,000.
PIHAK berkuasa perlu lebih tegas menangani penjualan kosmetik yang diragui tahap keselamatannya. – Gambar hiasan
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan penjualan produk kosmetik tiruan .
Malah modus operandi seperti penggunaan pengintip dan kerap bertukar lokasi perniagaan untuk mengelakkan daripada ditangkap pihak berkuasa tidak lagi berkesan.
“Peningkatan peniaga produk kecantikan tiruan ini mungkin berpunca daripada satu sindiket dan pihak berkuasa tidak akan membiarkannya.
“Rampasan serta serbuan adalah buktinya,” ujar sumber di KPDNHEP ketika dihubungi.
Warisan senjata tajam identiti Sarawak
JAUH di pedalaman, seorang penghuni Rumah Panjang Banyan di Kampung Sungai Sugai, kira-kira 150 kilometer dari Sibu, tidak menduga kemahiran yang dipelajari pada usia muda berguna untuk meneruskan kehidupan.
Kepandaiannya membuat pelbagai jenis parang dengan tangan sendiri sememangnya mengagumkan. Ia pastinya bukan dipelajari dalam tempoh sehari dua.
Namun selepas 30 tahun mengusahakan parang beridentitikan Sarawak, seni tangan Tadong Mit, 53, dicari-cari penggemar parang hiasan.
Terkenal dengan panggilan Pak Tadong, kemahiran membuat parang dipelajari beliau daripada beberapa orang lama yang kini semuanya sudah meninggal dunia.
Beliau merupakan satu-satunya pewaris yang masih pandai membuat parang.
“Saya buat parang dengan kreativiti sendiri dan menggunakan kaedah tradisional. Bahan untuk membuatnya saya peroleh daripada besi terpakai kerana ia lebih jimat,” katanya.
Jenis-jenis parang yang dihasilkan dan terkenal di negeri ini termasuklah parang nyabor, parang ilang, pedang, parang panjang dan parang pendek di samping pisau penoreh getah.
Setiap parang dijual mengikut saiz, jenis dan kehalusan pembuatannya, biasanya antara RM130 hingga RM250. Tempahan banyak diterima sewaktu masyarakat memulakan penanaman padi.
Ini kerana pada waktu itu parang tajam diperlukan untuk merimba hutan atau kawasan pertanian. Ada juga yang menempah parang untuk dijadikan perhiasan rumah.
“Parang yang saya hasilkan mungkin telah dijual di seluruh Sarawak. Ada juga individu dari Semenanjung yang membelinya. Namun tempahan yang paling banyak diterima ialah pisau toreh.
“Ini memandangkan ramai penduduk di sekitar Sibu yang bekerja menoreh getah,” ujarnya. Walaupun pisau itu ada dijual di pekan, namun mereka terus menempah daripada Pak Tadong. Apa tidaknya, parang beliau dibuat mengikut cita rasa penoreh getah dan selesa digunakan.
Pak Tadong juga memiliki sebuah bengkel khusus yang dibina di tanah kebun miliknya.
Untuk ke sana dari kediaman Pak Tadong, mengambil masa 30 minit berjalan kaki, termasuk terpaksa melalui dua batang anak sungai dan sebatang sungai besar serta meredah anak bukit dan belukar.
Tambahnya, jika hujan lebat, dia tidak pergi ke bengkel kerana paras air akan naik manakala arus deras menyukarkan beliau untuk menyeberang.
“Saya ke bengkel setiap hari namun jika hujan lebat, saya tidak ke sana. Sebolehnya, saya ke bengkel seawal pagi untuk melakukan kerja membuat parang.
“Sebelah malam pula banyak dihabiskan untuk menghaluskan parang yang telah siap,” ujar Pak Tadong.
Dalam pada itu, anak lelakinya, Serang Tadong, 28, mahu mewarisi kepandaian bapanya sebagai tukang besi, sekali gus menyambung tradisi keluarga mereka dalam membuat parang yang beridentitikan warisan negeri Sarawak.
“Pada masa ini, saya sedang mempelajari kemahiran ayah dan membantunya menyiapkan tempahan. Walaupun susah, kemahiran itu jika tidak dipelajari akan hilang begitu sahaja,” katanya.
Serang berkata, bapanya tidak pernah jemu untuk menghasilkan senjata itu meskipun menyedari pendapatannya tidak seberapa.
Disebabkan bukan setiap hari bapanya menerima tempahan malah kadang-kadang tiada langsung, mereka sekeluarga turut mengusahakan kebun lada dan getah untuk menambah pendapatan.
“Walaupun pendapatan daripada membuat parang tidak menentu, yang penting kemahiran itu harus dipelajari dan diwarisi oleh generasi muda seperti saya.
“Jika tidak, 10 atau 20 tahun nanti, kita tidak akan dapat melihat jenis-jenis parang beridentitikan negeri ini lagi, walhal kita adalah anak muda yang mampu untuk mempertahankannya,” ujar Serang.
http://www.kosmo.com.my/
Saya bukan berbogel - Charm V.E
Dari corong telefon kedengaran sayup, tegas bersulam nada kurang senang lahir daripada jiwa seorang Charma Adizalilullah Abdul Khalik atau Charm. Anggota grup V.E ini sudah dapat menebak apa yang ingin saya ajukan.
Tapi Charm, 31, tenang, dan sesekali keluh kesahnya menandakan dia sangat kesal dengan pelbagai tohmahan yang hinggap pada dirinya. Seumpama tidak pernah sedikit pun dia membuat kebaikan sebelum ini.
Semuanya gara-gara gambar mesranya bersama seorang gadis yang didakwa sebagai kekasih tersebar luas di Internet. Gadis itu juga dikatakan orang ketiga yang menyebabkan rumah tangga penyanyi ini runtuh.
Bagai menyimbah minyak ke dalam api, sensasi Charm menjadi panas apabila Charm menceraikan isterinya, Kiki Karmila dengan talak tiga sejurus Kiki melahirkan zuriat ketiga mereka.
Gadis yang dipercayai berusia awal 20-an dan dikenali sebagai Farah itu kini didakwa merupakan kekasih baru anggota kumpulan vokal berharmoni yang terkenal dengan lagu Pop Yeh Yeh itu.
Malah Charm kini diuar-uarkan sedang merancang untuk bernikah dengan Farah sekitar April tahun depan.
Charm, petang itu, bercakap dalam nada kesal dan enggan mengulas panjang. Katanya dia keberatan memberi sebarang kenyataan dan mahu membiarkan isu peribadinya ini berlalu pergi.
Peribadi, pada pendapat lelaki ini harus disimpan rapi dan bukannya untuk dikongsi bersama umum. Hanya orang yang tidak bertanggungjawab dan kurang cerdik suka mengambil tahu hal orang.
Bagaimanapun Charm sempat memberi sedikit reaksi mengenai kontroversi yang tercetus dalam perbualan singkat kami kerana sedang menghadiri majlis pernikahan adik lelakinya minggu ini.
Mengenai gambar kamu mesra dengan seorang wanita, yang tentunya bukan isteri kamu. Apa komen kamu?
Siapa yang sebarkan gambar itu sebenarnya kurang cerdik. Tapi saya okey sebab saya bukannya berbogel.
Cuma saya rasa kurang adil bila orang sebarkan gambar kami sahaja sedangkan pada waktu itu kami keluar beramai-ramai. Dia kawan saya.
Memang gambar itu mesra dan dia (wanita itu) juga ada ambil gambar seperti itu dengan kawan-kawannya yang lain. Gambar ini sebenarnya diambil selepas saya bercerai.
Macam mana kamu melihat isu ini?
Biarlah orang nak cakap apa. Saya malas nak komen. Biar Tuhan tentukan, saya serahkan pada Tuhan.
Cerai talak tiga dan baru mendapat cahaya mata. Ramai yang lihat kamu nakal dan agak kejam?
Kalau boleh saya tak nak jawab soalan ini. Saya tak nak burukkan lagi keadaan. Tapi saya sahkan memang saya sudah bercerai. - MALIAH SURIP
Filem Mamat Khalid menang besar
PENERBIT filem Anak Halal, Gayathri Sue Pillay (kiri), Mamat Khalid (Pengarah Terbaik) dan Rosyam Nor (Pelakon Lelaki Terbaik) bersama trofi masing-masing pada FFM 21 di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Karya sutradara tersohor, Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) menang besar pada Festival Filem Malaysia 21 (FFM 21) apabila menggondol beberapa anugerah tertinggi festival termasuk Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, dan Pelakon Lelaki Terbaik.
Kemenangan tersebut menyaksikan filem neor ini membawa pulang RM50,000 beserta trofi.
Dominasi kemenangan KMBM bagaimanapun diberi saingan sengit daripada 1957 Hati Malaya yang membawa pulang anugerah bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki, Lagu Tema Asal, Skor Muzik Asal dan Penyunting Terbaik.
Bagaimanapun, sutradara Osman Ali turut mencipta rekod tersendiri apabila Anak Halal merangkul tiga daripada 12 kategori yang dipertandingkan.
Kemenangan tersebut termasuk bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dinobatkan kepada Maya Karin. Maya bagaimanapun tidak hadir kerana sedang menghitung detik bergelar raja sehari di Itali pada 14 Ogos ini.
Sementara itu, filem Wayang milik Dr. Hatta Azad Khan tidak tercicir daripada pengiktirafan apabila membawa pulang Anugerah Kategori Khas Juri dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Saturday, August 9, 2008
8.8.08 - tarikh keramat buat Pak Aziz

08-08-2008 04:21:07 PM
TARIKH keramat 8.8.08 bukan saja angka kegemaran masyarakat Cina kerana dikatakan membawa tuah kekayaan atau 'ong'.
Insan seni yang bernasib baik menyambut hari ulangtahunnya hari ini ialah Seniman Agung, Datuk Aziz Sattar.
Ketika ditemui lewat malam semalam, Aziz atau lebih mesra dengan panggilan sebagai Pak Aziz tampak riang waktu diucapkan 'Selamat Hari Jadi' pada detik 12 malam.
Bagi Pak Aziz, cukup sekadar kurniaan kesihatan dan doa famili juga sahabat handai.
"Bapak tidak pernah mengharapkan apa-apa hadiah. Kalau minta doa tu banyaklah. Sebenarnya di usia begini, bapak hanya ingin lihat semua famili dan sahabat handai hidup bahagia dan aman dan dimurahkan rezeki hendaknya.
"Tidak ada apa yang lebih bahagia dari dikurniakan kesihatan dan umur yang panjang dapat beramal pada Allah," kata Pak Aziz yang kini berusia 83 tahun.
Bintang lagenda ini dilahirkan pada 8 Ogos, 1925 di Surabaya, Indonesia dan telah lama menetap di Malaysia.
Bila ditanya sambutan hari ulangtahun yang bagaimana akan dilakukan hari ini, Pak Aziz berkata "biasa-biasa saja.".
"Ramai juga kawan-kawan lama ajak keluar makan. Anak-anakpun sibuk nak belanja. Dah tua-tua ni, bapak ikut sajalah. Mereka dah ingat tarikh lahir kitapun dah syukur.
"Bapak tak nak susahkan siapa-siapa. Rezeki yang Allah bagipun dah cukup," kata Pak Aziz yang masih terkilan kesnya bersama Persatuan Karyawan masih belum dapat pembelaan.
Pak Aziz bersama tiga orang lagi temannya telah dipecat dari menjadi ahli Persatuan Karyawan sedikit masa dulu.
"Bapak sendiri susah nak bagi komen. Apa yang dijanjikan oleh pihak-pihak berkenaan lain. Sampai masa jadi lain. Terpulanglah. Yang penting bapak tahu Allah senantiasa menolong umatnya. Tengok sajalah...," katanya lagi.
Difahamkan, Pak Aziz turut ditawarkan untuk menubuh sebuah Persatuan Artis-artis Veteran tapi sampai kini belum ada tanda-tanda persatuan itu akan dihidupkan.
"Bapak dipelawa utnuk menghimpunkan semua artis veteran dari Singapura dan di sini bagi tujuan Persatuan Artis Veteran ini. Semangat hendak menubuhkan persatuan itu ada tapi ianya bukan satu kerja mudah untuk menghasilkannya.
"Tengoklah, kalau bapak tidak ada kesempatan, bapak akan minta bantuan dari artis-artis veteran lain," jelas Pak Aziz yang ditemani isteri tercinta Hashimah ketika temubual dijalankan.
Yang pasti Kak Hashimah sempat berbisik, "bapak tidak tahu kita akan buat 'surprise party' malam nanti."
"Dia suka tengok anak-anak dan kawan-kawan berkumpul dan makan beramai-ramai. Tengoklah nanti, mesti dia akan terkejut...," kata Kak Hashimah yang menghadiahkan beberapa helai T-Shirt berjenama untuk suami tersayang.
http://mstar.com.my/
Eman: Saya perlu berlakon di bawah pengarah yang bagus kerana saya tidak bagus!
Oleh ZIEMAN
PELAKON hebat dan selalu menampilkan penghayatan yang 'intense' dan berkali-kali meraih anugerah, Eman Manan mengakui dia cukup senang berlakon di bawah pengarahan Prof Dr Hatta Azad Khan dalam filem terbarunya, Wayang.
Kehebatan lakonan Eman tidak perlu dipertikaikan lagi kerana seperti sudah menjadi 'air mandinya' apabila setiap kali diserahkan watak padanya, ia akan tampak hebat dan gah. Itulah keistimewaan Eman Manan.
Setelah lama tidak kelihatan di layar perak, Eman kembali dengan 'Wayang' dan kali ini diberi penghormatan memegang watak yang dicipta khas untuknya iaitu Tok Dalang wayang kulit yang bernama Awang.
Ceritanya berkisar tentang Awang, seorang Tok Dalang yang memelihara dua orang anak angkat yang bernama Melor (lakonan pendatang baru bernama Mas Muharni) dan Awi (pelakon teater Zul Huzaimy). Melor yang sengau dan Awi yang buta cukup berminat bermain wayang kulit dan berjaya menyambung warisan bermain wayang kulit dari Awang sedangkan anaknya sendiri, Mamat langsung tidak berminat.
Menurut Eman, ini adalah kali pertama dia bergandingan dengan Dr Hatta dan ternyata ia telah membuah hasil yang cukup membanggakan kerana telah mendapat 11 pencalonan di dalam Festival Filem Malaysia ke 21 yang sedang berlangsung sekarang.
Eman Manan turut dicalonkan di bawah kategori Pelakon Terbaik untuk filem wayang.
Eman Manan (kiri) pertama kali berlakon di bawah arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan. (Foto The Star oleh Ibrahim Mokhtar)
"Saya tidak kenal Dr. Hatta secara peribadi jadi ketika saya mendapat skrip darinya, saya terpaksa membuka 'hijab' antara dia dan saya. Saya cuba menserasikan diri dengannnya.
"Lama-lama proses persahabatan itu menjadi lebih akrab dan cantik terjalin," kata pelakon yang cukup dikenali dengan wajah serius dan sifat 'cerewet'nya yang memilih skrip itu.
Ketika ditanya mengapa beliau menerima tawaran dari Dr Hatta, Eman berkata, "Saya bukanlah seorang pelakon yang bagus. Untuk itu saya perlu berlakon di bawah pengarah yang bagus. Maka saya menerima watak Tok Dalang dalam Wayang."
Jika dilihat sepintas lalu, kelihatannya agak mudah bagi seorang pelakon kelahiran Terengganu untuk membawa watak Tok Dalang kerana loghatnya sudah ada, namun realitinya tidak begitu.
"Nampak saja senang. Sebenarnya tidak begitu senang. Apa saja yang dilakukan adalah susah kerana tidak biasa dan kita perlu belajar," kata pelakon yang pernah merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang ke-17 untuk filem 'Buai Laju-laju' ini.
Jelasnya lagi, "Apa saja watak yang diberikan pada saya, saya anggap susah dan tidak ada titik kepuasan dalam kamus saya. Ianya bukan semudah yang orang fikir.
"Ia banyak menuntut kesabaran dari saya dan saya perlu belajar bermain wayang kulit. Dan bukan setakat bermain wayang kulit saja tapi saya perlu nampak macam saya pakar dalam bermain wayang kulit kerana saya adalah Tok Dalang.
Pratonton filem Wayang di GSC Alamanda, Putrajaya semalam menerima banyak komen positif daripada penonton.
"Saya kena pandai gerakkan Sita Dewi dan Sri Rama, Ramuna. Juga kena pandai menyanyi dan ikut tempo. Semua ini tidak pernah saya buat selama ini dan itu bukan sesuatu yang mudah.
"Dan perlu ingat orang mesti percaya yang saya ini adalah Awang, Tok Dalang kalau tidak saya gagal," jelas hero filem Matinya Seorang Patriot ini.
Agak lama menyepikan diri dari dunia lakonan, bermacam spekulasi timbul bila Eman tiba-tiba 'hilang' dari pandangan.
"Saya tidak hilang. Malah saya sibuk seperti biasa. Cuma saya tidak berlakon filem itu saja," kata pelakon yang terkenal dengan sikap berterus terangnya.
Dalam usia di ambang 40an, Eman masih menjadi tunggak sesebuah filem dan diberi watak utama sebagai hero dan ini tentu membanggakannya walau kadangkala diberi gelaran 'hero tua.'
"Saya faham keadaan kita di sini yang masih sibuk membicarakan soal 'heroism' dan siapa yang paling layak bergelar hero. Selama 22 tahun, saya menjadi hero filem dan saya tidak merasakan kejanggalan apa-apa. Kalau orang masih mahu saya menjadi hero, saya akan teruskan membawa watak tersebut.
"Kalau orang tidak mahu tengok saya sebagai heropun, saya tidak kisah...," kata duda yang masih tampan ini.
Komen Eman tentang Wayang?
"Ini adalah sebuah filem Melayu yang mengangkat martabat seni Melayu itu sendiri. Aspek komsersial dan nilai artistiknya juga cukup tinggi. Bukan kerana saya berlakon di dalam filem ini sebab itu saya memuji. Atau sebab Dr Hatta ada di sebelah saya.
"Walaupun saya tidak berlakon di dalam Wayang, saya tetap akan berkata ini filem hebat!," jelas Eman.
Untuk menonton rakaman temubual bersama Dr. Hatta, Eman Manan dan komen beberapa penonton filem Wayang, sila klik pautan di bawah:
http://thestaronline.tv/default.aspx?vid=1847
GAMIS mahu jadi orang tengah Majlis Peguam-Nik Aziz
PETALING JAYA: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersedia menjadi orang tengah untuk mengaturk rundingan antara Majlis Peguam dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan dengan perundangan Islam dan sivil.
Berhubung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz berkaitan forum "Memeluk Islam", jurucakap GAMIS berkata, "perkara ini perlu diselesaikan dengan perbincangan yang lebih matang melibatkan individu-individu atau institusi yang berautoriti."
Dengan merujuk kepada kenyataan Nik Aziz yang mencadangkan agar dilaksanakan perbincangan bagi menilai logik antara Islam dan Islam, dan dialog itu tidak harus hanya memfokus kepada perundangan Islam semata-mata bahkan melihat Islam dan segenap ruang lingkupnya berbanding dengan agama lain, GAMIS berkata:
"GAMIS merasakan perkara ini perlu diusahakan bagi menjelaskan kedudukan perundangan Islam supaya tidak hanya dilihat di bawah aspek Perlembagaan semata-mata."
"Bahkan aspek berkaitan Islam dan ajarannya itu sendiri perlu lebih utama untuk diambil kira.
"Ini bertujuan supaya hak-hak Islam dan umatnya terbela dan tidak sewenang-wenangnya dibahaskan oleh individu yang tidak berautoriti," kata GAMIS dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
http://mstar.com.my/
Lalitha: 'Niat kami disalah faham'
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan LEE YAN XIU
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Keluarga Majlis Peguam, Lalitha Menon sedih dan kecewa kerana terdapat pihak yang salah sangka dengan tujuan forum yang dianjurkan pagi ini.
Menurut beliau, isu penceraian antara mualaf dan pasangannya yang bukan Islam serta keluarganya telah banyak berlaku dalam negara ini sejak kebelakangan ini dan perkara tersebut memerlukan penyelesaian agak tiada pihak merasakan diri teraniaya.
“Kami rasa isu ini adalah penting. Terdapat banyak kes yang berlaku dan kita perlu mengadakan perbincangan mengenainya untuk membawa kesedaran kepada orang awam bahawa kes-kes itu telah memberi kesan kepada keluarga yang terlibat dalam situasi itu.
“Tujuan kami mengadakan forum ini adalah untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak untuk membincangkan masalah serta mendapatkan cara-cara penyelesaiannya dan bukannya untuk menyentuh tentang isu-isu sensitif orang Melayu ataupun memalukan agama Islam,” kata beliau ketika ditemui selepas itu ditamatkan kira-kira sejam selepas dimulakan.
Menurut beliau, anggota panel yang dijemput terdiri daripada pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan pelbagai sudut.
Mereka terdiri daripada tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Wan Azhar Wan Ahmad dan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar.
Bagaimanapun Dr. Wan Azhar dan Dr. Naim tidak hadir hari ini.
Menurut Lalitha, beliau tidak mengetahui sebab mereka menarik diri untuk menghadir dalam forum ini.
“Mereka (ahli panel) telah mengesahkan kehadiran mereka pagi ini dan kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai dan bukan terhad kepada sesetengah orang sahaja,” katanya.
http://mstar.com.my/
Latheefa, wakil PKR matlamat forum Majlis Peguam
Oleh LEE YAN XIU dan SITI AZIRA ABD AZIZ
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PRK), Latheefa Koya menyokong forum “Memeluk Islam” anjuran Majlis Peguam hari ini dengan menyifatkan semua pihak menyuarakan pandangan tetapi tidak harus menggesa dihentikannya.
Kata beliau, mereka berhak berprotes dengan melaungkan rasa tidak puas hati di luar premis Majlis Peguam tetapi tidak berhak untuk menghentikan forum tersebut.
“Parti Keadilan Rakyat sokong forum pagi ini dijalankan. Kami percaya semua orang berhak untuk bercakap dan berhimpun tetapi jangan melebih batasannya,” kata Latheefa sambil menambah, beliau hanya bercakap untuk pihak PKR, dan tidak melibatkan Pakatan Rakyat.
“Saya bercakap bagi pihak Parti Keadilan Rakyat sahaja, tiada pendirian yang telah dibuat bagi pihak Pakatan Rakyat. Setiap parti mempunyai pandangan yang berbeza terhadap isu yang berbeza,” kata beliau.
PAS turut membantah forum diadakan manakala Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam meminta forum sedemikian diadakan secara terbuka.
Latheefa berkata, polis tidak sepatutnya membawa ataupun membenarkan orang-orang yang datang untuk mengganggu forum masuk ke bangunan tersebut.
http://mstar.com.my/
Bekas Pesuruhjaya Suhakam syor kerajaan pinda undang-undang bela rakyat
Oleh LEE YAN XIU dan SITI AZIRA ABD AZIZ
KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Mehrun Siraj minta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminda undang-undang sivil bagi menyelesaikan pertikaian mualaf dan pasangannya bukan Islam
“Saya mencabar Perdana Menteri untuk pinda undang-undang sivil untuk perkahwinan dan penceraian,” katanya.
Mehrun berkata, cadangan untuk meminda undang-undang berkenaan adalah perlu untuk memberi peluang kepada orang yang memeluk agama Islam untuk menyelesaikan penceraian mereka menerusi undang-undang mahkamah sivil.
“Sebelum ini penceraian antara mualaf dan pasangannya yang bukan Islam perlu dibawa ke Mahkamah Syariah... dengan ini pasangan yang bukan Islam itu akan rasa haknya terjejas,” ujar beliau.
Menurut Mehrun yang menyertai forum pagi ini berkata, ini bukan isu agama tetapi isu undang-undang maka undang-undang boleh dipinda demi kebaikan dan kepentingan semua pihak.
“Dari segi Islam, jika kita terangkan kepada orang yang bukan Islam maka mereka tidak rasa takut ataupun khuatir dan mereka akan faham.
“Akan tetapi tindakan beberapa orang yang datang untuk menghentikan forum tadi dengan cara yang ganas... ini akan menyebabkan orang lain beranggapan itulah sikap dan cara orang Islam,” kata Mehrun yang turut 'bertikam lidah' dengan mereka yang cuba mengganggu dan menghentikan forum daripada diteruskan. “Cara protes, demostrasi, dan menjerit... itu bukan cara Islam,” kata Mehrun lagi.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Alumni Kelab Umno Luar Negara, Nazari Ahmad yang juga salah seorang peserta memberitahu, beliau tidak setuju dengan forum ini diadakan.
"Secara peribadi saya memang bantah forum yang membincangkan soal-soal isu dengan terbuka," kata beliau yang mengakui bahawa hanya datang untuk mendengar apa yang dibincangkan.Mengenai pandangannya selepas beliau mendengar forum selama sejam, Nazari berkata: "Ada kebaikan dan ada keburukannya tetapi saya tetap dengan pendirian saya membantah forum sebegini diadakan."
http://mstar.com.my/
Forum ditamat lebih awal demi elak ketegangan - Syed Hamid
KOTA TINGGI: Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam yang berlangsung di ibu negara hari ini terpaksa ditamatkan lebih awal bagi mengelak timbulnya keadaan tegang dan suasana tidak terkawal, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.Beliau berkata, polis menasihatkan penganjur supaya menamatkan lebih awal forum itu bagi mengelak sebarang ketegangan berikutan jumlah orang ramai yang mengadakan demonstrasi di luar pejabat Majlis Peguam, tempat berlangsungnya forum itu, terus bertambah."Kita tidak mahu perasaan marah itu membawa kesan yang di luar dugaan. Setakat ini saya tidak menerima laporan tentang ancaman keselamatan atau gangguan terhadap ketenteraman awam secara keseluruhan."Pihak polis telah bertindak dengan baik untuk mengawal keadaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kota Tinggi, di sini hari ini.Syed Hamid berkata, sensitiviti orang lain perlu dihormati walaupun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara. Syed Hamid berkata, beliau berharap Majlis Peguam menerima mesej yang mahu disampaikan bahawa "ada perkara yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka, malahan diadakan di tempat persendirian."Beliau berkata, kes yang melibatkan seseorang memeluk agama Islam boleh dirujuk ke mahkamah untuk penyelesaian.Mengenai desakan sesetengah pihak yang mahukan kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Majlis Peguam, beliau berkata, kerajaan tidak mahu menggunakan pendekatan undang-undang pencegahan dengan sewenangnya.Beliau berkata, kerajaan hanya akan bertindak menggunakan akta-akta pencegahan sedia ada, jika selepas siasatan menunjukkan terdapat keperluan untuk menggunakannya."Kita cukup berhati-hati untuk menggunakan akta pencegahan, tetapi di dalam masa yang sama, kita perlu memastikan ketenteraman awam dan kepentingan negara tidak terganggu dan tergugat," katanya.Beliau meminta golongan terpelajar seperti Majlis Peguam agar mengambil pendekatan berhati-hati dalam membincangkan itu tertentu seperti isu agama supaya tiada keperluan bagi kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan ISA bagi membendung keadaan.Syed Hamid turut meminta umat Islam negara ini tidak mengambil langkah berdiam diri, tetapi sebaliknya perlu menyuarakan pendapat tentang sesuatu isu yang menyentuh kepentingan mereka. BERNAMA
http://mstar.com.my/
Forum Majlis Peguam tukar kecoh, dihentikan
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan LEE YAN XIU
(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam yang diadakan di sebalik demonstrasi kira-kira 300 orang termasuk beberapa wakil rakyat di ibu negara pagi ini, bertukar kecoh dan terpaksa dihentikan sejam kemudian.
Ekoran bantahan dan usaha untuk merempuh bangunan Majlis Peguam, forum terpaksa dihentikan kira-kira pukul 10.02 pagi.
Presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga memberitahu forum itu bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada 10 pagi. Forum itu sepatutnya berakhir 1.30 tengah hari.Pada pukul 10 pagi, Ambiga mengumumkan secara rasmi bahawa forum itu ditutup."Kami menghormati pandangan semua pihak. Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup," katanya.
Forum yang berlangsung di tingkat satu bangunan Majlis Peguam dihadiri kira-kira 110 orang,.
Forum terpaksa dihentikan selepas berlaku kekecohan dan situasi jerit-menjerit kira-kira 10 pagi.
Apabila beberapa wakil kumpulan yang membantah tiada apa-apa perubahan menjelang pukul 10, mereka menjerit "hentikan, hentikan".
Bagaimanapun para peserta tidak bersetuju forum dihentikan dan ada yang dirujuk dengan kata-kata kasar dan kesat semasa keluar dewan persidangan.
Ini disusuli dengan arahan "diam" daripada polis, meminta semua orang bertenang.
Ekoran suasana yang agak tegang, Presiden Majlis Peguam terpaksa menghentikan forum berkenaan.
Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Shahril Aziz juga mengumumkan forum "ditutup".
Wartawan mStar Online melaporkan ada pertengkaran dan suasana tegang antara wakil beberapa NGO dan penganjur semasa perundingan diadakan untuk mengakhiri forum berkenaan.
Pasukan FRU juga diletakkan di luar bangunan Majlis Peguam untuk menghalang mana-mana pihak memasuki premis berkenaan.
Forum dimulakan kira-kira pukul 9 pagi di bangunan Majlis Peguam yang terletak di Leboh Pasar Besar di sini.
Kira-kira pukul 9.30 pagi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamed Zulkarnain Abd. Rahman memasuki pejabat Majlis Peguam untuk berunding bagi meminta forum itu dihentikan atas alasan keselamatan.
Beliau disertai tiga wakil NGO kira-kira 15 minit iaitu Shahril, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim dan Ketua Penerangan Alumni Kelab Umno Luar Negara, Nazari Ahmad.
Polis telah meminta penganjur menamatkan forum menjelang pukul 10 pagi.
Tiada kecederaan dan tangkapan dibuat, kata polis.
Bagaimanapun menurut Mohamed Zulkarnain pihaknya ada menemui dua botol yang mulanya disyaki sebagai Molotov cocktails.
Tetapi tidak dapat mengesahkan itu bahan letupan dan diserahkan kepada unit pemusnah bom yang turut dipanggil ke tempat kejadian, kata beliau.
"Mereka (pihak penganjur) telah bersetuju untuk menghenti dan membatalkan forum perdana itu.
"Pihak polis mempunyai kuasa untuk menasihat Majlis Peguam dan menghentikan forum ini setelah mendapat ancaman semakin meningkat," katanya.
Kata Mohamed Zulkarnain, rundingan telah diadakan dengan dua wakil Majlis Peguam termasuk Naib Presidennya Ragunath Kesavan.
Turut menyertai demonstrasi bantahan hari ini ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan Salahuddin Ayub, wakil rakyat Kubang Kerian Dalam pada itu, Zulkifli pula berkata, pihaknya telah berjaya menghentikan forum itu tanpa unsur politik.
"Kita telah memberi amaran yang jelas kepada mereka dan tidak mahu forum seperti ini diadakan lagi.
"Kita telah bertindak secara aman dan bertamadun," katanya kepada pemberita di luar bangunan Majlis Peguam.
Mereka yang membantah forum itu turut merempuh bangunan Majlis Peguam ketika beberapa wakil NGO dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengadakan perundingan dengan penganjur meminta forum dihentikan pada pukul 10 pagi.
Terdahulu kira-kira pukul 7.50 pagi, Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan meneruskan forum berkenaan.
"Ini hak kami dan kami mengalu-alukan sesiapa untuk menyertai forum," kata beliau kepada pemberita.
Kumpulan yang membantah forum berkenaan, bertambah hingga kira-kira 500 orang menjelang pukul 9.30 pagi.
Demonstrasi diiringi laungan "hentikan forum" disertai ahli dan penyokong 29 pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Angkatan Antara Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (Mapan).
Antaranya ialah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), GPMS, Persatuan Rakyat Islam Muslim Malaysia (IRIM), Pekida, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Alumni Kelab Umno Luar Negara.
Yang lain Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Jawatankuasa Penyelaras Perikatan NGO Islam (ACCIN), Persatuan Al-Hidayah, Belia Perkim, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Al-Hunafa dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.
Turut sama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Yayasan Kerjaya Malaysia, Kelab Cinta Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan.
Pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat juga menyertai bantahan itu.
PKR diwakili oleh dua ahli Majlis Tertingginya iaitu Badrul Amin Baharum dan Latheefa Koya.
Salahuddin yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, forum itu tidak seharusnya mempertikaikan Fasal 121 (1A).
Semalam, Ragunath berkata, forum itu tidak akan mempertikaikan Fasal 121 (1A) atau mempersoalkan agama Islam dan statusnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kebimbangan pihak tertentu termasuk beberapa menteri Kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan PAS diberi perhatian," katanya.
Ragunath berkata, objektif Majlis Peguam ialah untuk menyelesaikan isu mengenai konflik undang-undang yang dihadapi keluarga yang terperangkap antara pemisahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah Syariah.
Panel penceramah hari ini terdiri daripada tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Sementara dua orang penceramah yang sepatutnya turut serta telah menarik diri iaitu Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr Haji Naim Haji Mokhtar dan Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Wan Azhar Wan Ahmad.
http://mstar.com.my/
Gambar demonstrasi bantahan forum "Memeluk Islam"
oleh Victor K. K. NG
Hak isteri
Beliau berkata, kementerian akan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kemungkinan sistem itu dilaksanakan di negara ini.
Katanya, dasar itu dilaksanakan di India sejak 2005 dan kemudian oleh Pakistan, yang mewajibkan wanita miskin di negara itu memiliki rumah.Menteri Perumahan dan Pembasmian Kemiskinan Bandar India, Kumari Selja, berkata kira-kira 1.5 juta unit rumah kos rendah diperuntukkan untuk wanita miskin sehingga 2012.Anggota Parlimen Pakistan, Kashmala Tariq, berkata dasar itu bukan sahaja melindungi hak wanita tetapi juga mengiktiraf peranan mereka dalam masyarakat.Tariq, yang juga Pengerusi CWP, berkata Pakistan memperuntukkan kira-kira 5 juta unit rumah untuk wanita miskin.Bengkel itu diadakan sempena Persidangan Ke-54 Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini. - Bernama
http://www.hmetro.com.my/
Bertatu dilarang
idris@hmetro.com.my
JIKA ditinjau dari aspek sejarah, masyarakat Melayu dahulu sangat menyanjungi adat resam, malah pada satu tahap menjadikannya sumber hukum dan kerana itu tidak hairanlah ada peribahasa 'biar mati anak jangan mati adat.'Bagaimanapun, mutakhir ini adat resam semakin dilupakan, dek terkesan dengan gelombang modenisasi dan pengaruh budaya Barat. Cuma yang masih ketara di kalangan masyarakat hingga kini ialah dalam aspek kelahiran dan perkahwinan.
Bagi bakal pengantin, adat berinai masih diamalkan, sekali gus menunjukkan ia boleh bertahan dan meneruskan kelangsungan warisan adat resam Melayu, walaupun ada sesetengah pihak mengamalkannya secara sederhana.Penceramah agama, Mohd Rani Awang Besar, berkata umumnya adat resam yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam boleh diamalkan.Malah, menurutnya, adat yang baik mencerminkan identiti dan warisan bangsa sesuai dengan agama wajar dipertahan serta diamalkan."Berinai pada dasarnya adalah harus dan tidak menjadi kesalahan selagi ia tidak menggunakan bahan dilarang agama dan tidak menyerupai kaum bukan Islam."Tidak mengapa setakat berinai pada jari, asalkan jangan berlebih-lebihan membawa kepada bahagian lain, seperti tapak tangan sehingga menyerupai kaum bukan Islam," katanya.Beliau menegaskan, Rasulullah s.a.w melarang umatnya menyerupai kaum bukan Islam dalam amalan kehidupan, sebagaimana dijelaskan dalam satu hadis bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka ia tergolong dalam kumpulan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)Kata bidalan ada berbunyi 'hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah.' Ini menunjukkan orang Melayu turut menekankan prinsip agama dalam mengamalkan adat resam.Mohd Rani berkata, adat yang tidak ada percanggahan dengan hukum agama boleh diteruskan, tetapi dilarang sama sekali meniru pengaruh budaya asing secara melulu tanpa memikirkan akibatnya.Jika berinai itu satu adat resam Melayu dan hukumya boleh dilakukan selagi tidak terkeluar daripada lunas Islam, apakah hukumnya perbuatan membuat ukiran pada tangan, lengan dan anggota badan yang lain atau lebih tepat bertatu?"Berinai itu dibolehkan kerana tidak menyerupai kaum bukan Islam dan selagi ia menggunakan bahan dibenarkan agama, manakala membuat ukiran atau tatu itu haram hukumnya, kerana ia meniru budaya agama lain," katanya.Dalam hadis riwayat Thabrani, Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuatkan tatu, mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.Tatu ialah tanda ukiran pada tangan, muka atau bahagian lain pada badan dan ia bukan adat resam Melayu. Ia adalah pengaruh budaya asing, sesetengahnya baik lelaki mahupun wanita membuat tatu pada bahagian badan mereka.Bagi mendapatkan tatu, kulit badan biasanya dicucuk dengan jarum atau seumpamanya sehingga keluar darah, kemudian ditabur di atas badan yang dicucuk jarum itu dengan nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi biru atau seumpamanya. Tujuan bertatu biasanya kerana suka-suka untuk tujuan perhiasan, malah tidak kurang yang melakukannya kerana amalan budaya dalam suku kaum mereka dan melambangkan persembahan agama seperti orang Kristian mengukir lambang salib pada bahagian badan mereka.Perbuatan itu termasuk juga mengubah ciptaan Allah dan ia adalah haram. Banyak hadis menerangkan Allah dan Rasul-Nya melaknat orang yang melakukan tatu."Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaharuddin Abd Rahman, dalam tulisannya menegaskan, perbuatan yang buruk itu menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusuk jarum pada badan orang yang ditatu itu."Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatu atau orang yang minta ditatu," katanya. Fatwa dikeluarkan kerajaan Brunei menjelaskan, bagi golongan terbabit (yang melakukan tatu) wajib menghilangkan kesan tatu itu jika diperoleh cara yang selamat dan tidak memudaratkannya. "Jika tidak dapat dihilangkannya dengan apa juga cara, tidaklah mengapa yang tinggal (dari kesan tatu itu), bolehlah dia melakukan ibadat seperti sembahyang sebagaimana orang Islam yang lain bersembahyang."Perkara ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 286, bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan diusahakannya dan ia menanggung dosa kejahatan diusahakannya.."
http://www.hmetro.com.my
Kebijaksanaan Luqman tersohor
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulanglah kepada dirinya dan sesiapa yang ingkar dan tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Luqman:12)Al-Quran menceritakan secara umum personaliti Luqman seperti juga tokoh lain daripada kalangan nabi dan orang beriman. Justeru, timbul sedikit perselisihan di kalangan ulama dan pengkaji mengenai latar belakang, kehidupan dan ketu runannya.Malah, nama Luqman itu sendiri dikatakan adalah nama orang Ajam (orang asing), bukannya nama orang Arab.Ibnu Kathir ada menyatakan dalam kitab sejarahnya: ‘Beliau ialah Luqman bin Unqaa’ bin Sadam.’Tetapi, ada cerita dari as-Suhaili, dari Ibnu Jarir dan al-Qutaibi: ‘Beliau ialah Luqman bin Tharan.’ Gelarannya Abu An’am.Al-Allamah al-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat me ngatakan beliau hidup di zaman Nabi Daud a.s.” Katanya lagi: “Orang juga berselisih pendapat apakah beliau seorang yang merdeka atau hamba? Kebanyakan pihak mengatakan beliau adalah seorang hamba Habsyi.”Ibnu Qutaibah berkata: “Luqman adalah seorang hamba Habsyi kepada seorang lelaki daripada kalangan Bani Israil. Kemudian beliau dibebaskan dan diberikan harta.”Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Adakah engkau semua tahu siapakah dia Luqman? Mereka pun menjawab: Allah dan Rasul-Nya saja yang lebih tahu. Baginda bersabda: Dia adalah seorang Habsyi.”Pendapat yang mengatakan dia adalah seorang Habsyi adalah dari Ibnu Abbas dan Mujahid. Al-Hassan al-Basri berkata: “Luqman membina sebuah singgahsana di Ramlah, Syam. Pada masa itu tempat terbabit masih lagi belum dibangunkan. Beliau berada di sana se hinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”Ibrahim bin Adham berkata: “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara Masjid Ar-Ramlah dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di tempat terbabit terdapat 70 kubur nabi .”Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim, dari Abdullah bin Az-Zubair katanya: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu semua mengenai keadaan diri Luqman? Jabir menjawab: Dia adalah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari keturunan Naubah.”Menurut Ibnu Kathir, Luqman adalah seorang lelaki yang soleh, kuat beribadat dan suka memberikan nasihat serta mempunyai kebijaksanaan yang amat tinggi.Katanya lagi, Luqman adalah seorang hamba yang banyak berfikir dan mempunyai imaginasi yang baik, malah me ngasihi Allah sehingga Allah mengasihinya. “Beliau juga dianugerahkan dengan kebijaksanaan iaitu lidahnya menuturkan kata-kata yang hak, hatinya berfikir perkara baik sementara badannya bergerak dengan baik. “Sekiranya beliau berbicara, bicaranya penuh bijaksana dan sekiranya beliau berfikir, pemikirannya penuh bijaksana dan sekiranya beliau bergerak, pergerakannya penuh bijaksana,” katanya.Luqman adalah orang pertama yang dipengaruhi dengan hikmah serta beramal dengannya. Oleh kerana itu beliau sentiasa berfikir.Beliau adalah seorang yang bijaksana, bersifat zuhud di dunia, tidak mengendahkannya dan tidak memandang ke padanya.Dikatakan, sesungguhnya rumah Luqman adalah sebu ruk-buruk rumah dan lebih daif dari sarang labah-labah. Suatu ketika beliau pernah ditanyakan mengenai keadaan terbabit lalu katanya: “Ini sudah cukup banyak bagi orang yang akan mati.”Luqman melalui pelbagai peristiwa dalam kehidupannya, antaranya seperti diceritakan, suatu hari beliau masuk ber temu Nabi Daud a.s yang sedang membakar baju besi, lalu beliau ingin bertanya kepadanya namun Nabi Daud men diamkan diri. Apabila Nabi Daud menyelesaikan baju besi terbabit dan siap untuk dipakainya, baginda berkata: “Engkaulah pemakai baju perang yang paling baik.”Luqman pun berkata: “Berdiam diri itu adalah hikmah (kebijaksanaan), tetapi amat sedikit orang yang melaku kannya.”Beliau suka duduk lama bersendirian. Pada suatu hari tuannya lalu di hadapannya lalu berkata: “Wahai Luqman, sesungguhnya engkau ini sering kali duduk lama bersen dirian. Sekiranya engkau duduk dengan manusia ternyata ia lebih baik buatmu.”Dijawab Luqman: “Bahawa duduk bersendirian itu aku dapat memahami bagaimana untuk berfikir. Sementara lama berfikir penunjuk jalan ke syurga.”Ibnu Kathir menegaskan ulama salaf berselisih pendapat mengenai diri Luqman, sama ada dia seorang nabi atau seorang hamba yang soleh tanpa taraf kenabian? Antara dua pendapat ini kebanyakan mereka berpegang dengan pendapat kedua.Dipetik dari Ibnu Abbas katanya: “Luqman bukanlah se orang nabi mahu pun raja, tetapi beliau seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Allah memerdekakannya dan sesungguhnya Dia reda dengan segala kata-kata dan wasiat Luqman...”Mengenai sifat hikmahnya, Luqman al-Hakim pernah di tanya, lalu beliau menjawab: “Aku tidak meminta sesuatu yang sudah aku cukupi (ada) dan aku tidak melampau-lam pau dalam sesuatu yang tidak berkenaan dengan diriku.”Beiau juga pernah ditanya, dari siapa mempelajari kata-kata hikmah itu, lalu katanya: “Dari orang yang jahil dan bodoh. Setiap kali aku melihat suatu keaiban di kalangan mereka, aku berusaha keras untuk menjauhinya.”Dalam satu dialog dengan anaknya, beliau ditanya: “Wahai bapaku sifat manakah yang ada dalam diri manusia yang paling baik?”Luqman menjawab: Agama.Anaknya bertanya: Sekiranya ada dua?Luqman: Agama dan harta.Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada tiga?Luqman: Agama, harta dan sifat malu.Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada empat?Luqman: Agama, harta, sifat malu dan akhlak yang baik.Anak bertanya lagi: Sekiranya ada lima?Luqman: Agama, harta, sifat malu, akhlak yang baik dan sifat pemurah.Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada enam?Luqman: Wahai anakku, sekiranya lima sifat ini terkumpul dalam diri manusia, dialah seorang yang bersih lagi bertakwa. Dia hanya bertuankan kepada Allah dan menjauhkan diri dari syaitan.
http://www.hmetro.com.my/