Saturday, August 9, 2008

Forum ditamat lebih awal demi elak ketegangan - Syed Hamid

09-08-2008 02:38:57 PM

KOTA TINGGI: Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam yang berlangsung di ibu negara hari ini terpaksa ditamatkan lebih awal bagi mengelak timbulnya keadaan tegang dan suasana tidak terkawal, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.Beliau berkata, polis menasihatkan penganjur supaya menamatkan lebih awal forum itu bagi mengelak sebarang ketegangan berikutan jumlah orang ramai yang mengadakan demonstrasi di luar pejabat Majlis Peguam, tempat berlangsungnya forum itu, terus bertambah."Kita tidak mahu perasaan marah itu membawa kesan yang di luar dugaan. Setakat ini saya tidak menerima laporan tentang ancaman keselamatan atau gangguan terhadap ketenteraman awam secara keseluruhan."Pihak polis telah bertindak dengan baik untuk mengawal keadaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kota Tinggi, di sini hari ini.Syed Hamid berkata, sensitiviti orang lain perlu dihormati walaupun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara. Syed Hamid berkata, beliau berharap Majlis Peguam menerima mesej yang mahu disampaikan bahawa "ada perkara yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka, malahan diadakan di tempat persendirian."Beliau berkata, kes yang melibatkan seseorang memeluk agama Islam boleh dirujuk ke mahkamah untuk penyelesaian.Mengenai desakan sesetengah pihak yang mahukan kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Majlis Peguam, beliau berkata, kerajaan tidak mahu menggunakan pendekatan undang-undang pencegahan dengan sewenangnya.Beliau berkata, kerajaan hanya akan bertindak menggunakan akta-akta pencegahan sedia ada, jika selepas siasatan menunjukkan terdapat keperluan untuk menggunakannya."Kita cukup berhati-hati untuk menggunakan akta pencegahan, tetapi di dalam masa yang sama, kita perlu memastikan ketenteraman awam dan kepentingan negara tidak terganggu dan tergugat," katanya.Beliau meminta golongan terpelajar seperti Majlis Peguam agar mengambil pendekatan berhati-hati dalam membincangkan itu tertentu seperti isu agama supaya tiada keperluan bagi kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan ISA bagi membendung keadaan.Syed Hamid turut meminta umat Islam negara ini tidak mengambil langkah berdiam diri, tetapi sebaliknya perlu menyuarakan pendapat tentang sesuatu isu yang menyentuh kepentingan mereka. BERNAMA

http://mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...