Saturday, August 9, 2008

Lalitha: 'Niat kami disalah faham'

09-08-2008 04:57:13 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan LEE YAN XIU

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Keluarga Majlis Peguam, Lalitha Menon sedih dan kecewa kerana terdapat pihak yang salah sangka dengan tujuan forum yang dianjurkan pagi ini.
Menurut beliau, isu penceraian antara mualaf dan pasangannya yang bukan Islam serta keluarganya telah banyak berlaku dalam negara ini sejak kebelakangan ini dan perkara tersebut memerlukan penyelesaian agak tiada pihak merasakan diri teraniaya.
“Kami rasa isu ini adalah penting. Terdapat banyak kes yang berlaku dan kita perlu mengadakan perbincangan mengenainya untuk membawa kesedaran kepada orang awam bahawa kes-kes itu telah memberi kesan kepada keluarga yang terlibat dalam situasi itu.
“Tujuan kami mengadakan forum ini adalah untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak untuk membincangkan masalah serta mendapatkan cara-cara penyelesaiannya dan bukannya untuk menyentuh tentang isu-isu sensitif orang Melayu ataupun memalukan agama Islam,” kata beliau ketika ditemui selepas itu ditamatkan kira-kira sejam selepas dimulakan.
Menurut beliau, anggota panel yang dijemput terdiri daripada pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan pelbagai sudut.
Mereka terdiri daripada tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Wan Azhar Wan Ahmad dan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar.
Bagaimanapun Dr. Wan Azhar dan Dr. Naim tidak hadir hari ini.
Menurut Lalitha, beliau tidak mengetahui sebab mereka menarik diri untuk menghadir dalam forum ini.
“Mereka (ahli panel) telah mengesahkan kehadiran mereka pagi ini dan kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai dan bukan terhad kepada sesetengah orang sahaja,” katanya.

http://mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...