Saturday, August 9, 2008

8.8.08 - tarikh keramat buat Pak Aziz



08-08-2008 04:21:07 PM

TARIKH keramat 8.8.08 bukan saja angka kegemaran masyarakat Cina kerana dikatakan membawa tuah kekayaan atau 'ong'.
Insan seni yang bernasib baik menyambut hari ulangtahunnya hari ini ialah Seniman Agung, Datuk Aziz Sattar.
Ketika ditemui lewat malam semalam, Aziz atau lebih mesra dengan panggilan sebagai Pak Aziz tampak riang waktu diucapkan 'Selamat Hari Jadi' pada detik 12 malam.
Bagi Pak Aziz, cukup sekadar kurniaan kesihatan dan doa famili juga sahabat handai.
"Bapak tidak pernah mengharapkan apa-apa hadiah. Kalau minta doa tu banyaklah. Sebenarnya di usia begini, bapak hanya ingin lihat semua famili dan sahabat handai hidup bahagia dan aman dan dimurahkan rezeki hendaknya.
"Tidak ada apa yang lebih bahagia dari dikurniakan kesihatan dan umur yang panjang dapat beramal pada Allah," kata Pak Aziz yang kini berusia 83 tahun.
Bintang lagenda ini dilahirkan pada 8 Ogos, 1925 di Surabaya, Indonesia dan telah lama menetap di Malaysia.
Bila ditanya sambutan hari ulangtahun yang bagaimana akan dilakukan hari ini, Pak Aziz berkata "biasa-biasa saja.".
"Ramai juga kawan-kawan lama ajak keluar makan. Anak-anakpun sibuk nak belanja. Dah tua-tua ni, bapak ikut sajalah. Mereka dah ingat tarikh lahir kitapun dah syukur.
"Bapak tak nak susahkan siapa-siapa. Rezeki yang Allah bagipun dah cukup," kata Pak Aziz yang masih terkilan kesnya bersama Persatuan Karyawan masih belum dapat pembelaan.
Pak Aziz bersama tiga orang lagi temannya telah dipecat dari menjadi ahli Persatuan Karyawan sedikit masa dulu.
"Bapak sendiri susah nak bagi komen. Apa yang dijanjikan oleh pihak-pihak berkenaan lain. Sampai masa jadi lain. Terpulanglah. Yang penting bapak tahu Allah senantiasa menolong umatnya. Tengok sajalah...," katanya lagi.
Difahamkan, Pak Aziz turut ditawarkan untuk menubuh sebuah Persatuan Artis-artis Veteran tapi sampai kini belum ada tanda-tanda persatuan itu akan dihidupkan.
"Bapak dipelawa utnuk menghimpunkan semua artis veteran dari Singapura dan di sini bagi tujuan Persatuan Artis Veteran ini. Semangat hendak menubuhkan persatuan itu ada tapi ianya bukan satu kerja mudah untuk menghasilkannya.
"Tengoklah, kalau bapak tidak ada kesempatan, bapak akan minta bantuan dari artis-artis veteran lain," jelas Pak Aziz yang ditemani isteri tercinta Hashimah ketika temubual dijalankan.
Yang pasti Kak Hashimah sempat berbisik, "bapak tidak tahu kita akan buat 'surprise party' malam nanti."
"Dia suka tengok anak-anak dan kawan-kawan berkumpul dan makan beramai-ramai. Tengoklah nanti, mesti dia akan terkejut...," kata Kak Hashimah yang menghadiahkan beberapa helai T-Shirt berjenama untuk suami tersayang.

http://mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...