Sunday, February 22, 2009

Mengapa kami dibuang?

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat sedang mengesan waris dua bayi perempuan dan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan ibu bapa masing-masing yang kini di bawah jagaannya.

Dua daripada bayi itu yang kini berada dalam keadaan sihat ditinggalkan ibu kandung mereka selepas di lahirkan di dua hospital manakala seorang lagi ditemui ditinggalkan di tempat wuduk wanita dalam keadaan masih bertali pusat.

Kes pertama membabitkan bayi tidak bernama yang dipercayai dilahirkan seorang warga Thailand bernama Hayusah di Hospital Serdang pada 24 November lalu.

Bayi yang diberi nama Puteri Amira itu dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya yang melarikan diri dari hospital selepas empat hari dilahirkan dan sehingga kini usaha mengesan wanita itu masih gagal.

Kes kedua membabitkan bayi lelaki yang dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kajang, juga selepas ibu kandungnya datang ke bahagian kecemasan untuk bersalin pada Julai tahun lalu.

Bayi malang berusia enam bulan itu dinamakan Ahmad di dalam surat kelahirannya setelah usaha pihak hospital serta pejabat kebajikan untuk mengesan ibu kandungnya yang melarikan diri dari hospital sehari selepas dilahirkan gagal.

Kes ketiga membabitkan seorang bayi perempuan yang dijumpai pekerja am sebuah masjid di Bangi dalam keadaan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan.

Bayi malang yang dibuang itu ditemui pada 16 Januari lalu di bahagian tempat wuduk wanita dalam keadaan sihat sebelum dimaklumkan kepada polis pada hari yang sama diberi nama Puteri Balqish dalam sijil kelahirannya.

Pegawai Pelindung Daerah Hulu Langat, Ezaq Ekmal Khalid, berkata sehingga kini usaha mengesan waris kepada ketiga-tiga bayi malang berkenaan masih gagal berikutan maklumat yang terhad.

Sehubungan itu, pihaknya amat berharap agar waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga bayi itu dapat tampil memberikan maklumat berikutan kes bayi berkenaan akan dibicarakan di mahkamah bagi menentukan taraf sebagai anak tidak berwaris sekali gus bakal diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita amat berharap agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa atau waris ketiga-tiga bayi ini dapat tampil memberikan maklumat kepada kami bagi mengesan ibu atau bapa kandung mereka.

“Ini kerana penentuan hak terhadap bayi ini akan dibicarakan di mahkamah dan sehingga tarikh itu ibu bapa atau waris masih mempunyai masa untuk menuntut bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada JKM untuk dijaga sebagai anak tidak berwaris,”
katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat di talian 03-87378007.



Nama: Puteri Balqish

>Tarikh dibuang: 16 Januari lalu

>Tempat ditemui: Tempat wuduk sebuah masjid di Bangi

>Nota: Masih bertali pusat ketika ditemui



Nama: Puteri Amira

>Tarikh dilahir: 24 November lalu

>Tempat ditinggal: Hospital Serdang

>Nota: Ibu disyaki warga Thailand bernama Hayusah


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090221092928/Article/index_html

Pakej ubat kuat


Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SUBANG JAYA: Sekali pandang, ia seperti iklan haram biasa yang kerap ditampal di bawah jejantas, papan tanda jalan dan dinding kedai. 

Namun selepas diselidiki, iklan terbabit bukan sekadar menawarkan ubat kuat lelaki, tetapi turut menawarkan pakej dua dalam satu - pelacur! 

Itulah taktik terbaru sindiket pelacuran dengan menawarkan ubat rangsangan seks melalui iklan haram di kaki lima untuk memerangkap lelaki.

Taktik yang digunakan itu bukan saja menawarkan ubat kuat yang dikatakan mampu merangsang tenaga lelaki hingga dapat bertahan selama 24 jam, malah meminta pelanggan menguji kemujarabannya dengan melanggani ‘ayam import’.

Dipercayai, taktik serampang dua mata itu menjadi pilihan sindiket berkenaan berikutan lebih mudah menjerat lelaki yang gemar mencari ubat paling berkesan beraksi di ranjang, sekali gus memberi keuntungan berlipat ganda selain melariskan perkhidmatan pelacur yang disediakan.

Siasatan wartawan Harian Metro mendapati sindiket itu bersedia menemui pelanggan selepas persetujuan dicapai menerusi telefon, namun mengikut kawasan berikutan terdapat sindiket lain menguasai daerah tertentu.

Dalam perbualan menerusi telefon, wartawan yang menyamar sebagai pelanggan berbual dengan seorang lelaki bernama Jay, ejen yang menawarkan ubat kuat kepada pelanggan.

Menurut Jay, ubat kuat berkenaan membabitkan dua jenis iaitu berbentuk pil dan jenis sapu dibawa masuk secara haram dari Taiwan melalui orang tengah.

Katanya, pelanggan boleh memilih satu daripadanya dengan harga serendah RM30 bagi jenis sapu manakala RM60 bagi pil.

Dia menyatakan jenis pil paling popular di kalangan pelanggan dan dijual 10 biji bagi setiap peket.

Pelanggan akan diberi diskaun jika turut melanggan pelacur yang diimport dari negara luar bagi menguji keberkesanan ubat berkenaan dengan bayaran RM160.

“Lu jangan risau, ubat ni tiada kesan sampingan. Itu saya boleh gerenti sebab pil ini memang popular di Taiwan dan sudah lima tahun saya jual.

“Kalau tak percaya nanti masa jumpa, saya boleh kasi cuba mana-mana perempuan awak suka. Awak boleh tengok ubat ini betul kuat atau tidak.

“Harga jangan risau, kalau ambil ubat sama amoi, kami kasi harga special. Kami boleh kurang harga kalau awak ambil dua-dua,”
katanya.

Wartawan turut diberitahu, pelanggan boleh memilih pelacur ketika urusan pembelian ubat kuat, namun mengikut harga berbeza bergantung kepada jenis ‘ayam’ kerana mendakwa ada yang baru tiba di negara ini.

Pelanggan boleh menguji keberkesanan ubat itu sama ada di tempat disediakan, bilik hotel atau rumah dalam tempoh dua jam.

Mereka perlu membayar tambahan RM50 bagi setiap setengah jam tambahan jika berminat melanjutkan tempoh berasmara. 

Melalui perbualan selama 15 minit itu, wartawan bersetuju berjumpa Jay di sebuah rumah kedai di sini.

Ketika tiba, dua lelaki berusia awal 30-an serta 40-an sedia menanti bersama seorang wanita berpakaian seksi dipercayai pelacur.

Dalam pertemuan itu, seorang lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai wakil Jay tanpa memberitahu namanya.

Lelaki itu meminta wartawan menunggu seketika berikutan sedang berurusan dengan seorang lagi pelanggan.

Apabila menemui wartawan semula, lelaki itu yang bercakap pelat Cina bercampur Indonesia mendakwa kedua-dua jenis ubat itu mampu membesarkan zakar lelaki bagi tempoh tertentu. Namun, dia mendakwa ubat kuat jenis pil mampu membuatkan pelanggan melakukan aksi ranjang berulang kali dalam tempoh 24 jam tanpa penat.

Wartawan turut ditawarkan wanita yang ditemui sebentar tadi untuk ditiduri. Berdasarkan pengamatan, wanita berusia awal 20-an itu dipercayai warga asing berdasarkan loghat percakapannya dan hanya mengikut kata lelaki berkenaan.

“Ini amoi kalau awak ambil mesti best punya. Awak boleh suruh dia buat apa saja apa awak mau. Tapi kalau mau bawa pergi mana-mana mesti jaga elok-elok. Nanti sudah puas, bagitau kita datang angkat,” katanya. 

Selepas hampir 30 minit berbual, wartawan menolak tawaran berkenaan dengan alasan tidak mempunyai wang mencukupi, tetapi berjanji datang semula selepas melakukan pengeluaran wang.


http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20090221084325/Article

Wajah Rihanna dibelasah disiar

Wajah Rihanna dibelasah disiar


Wajah Rihanna sebelum dibelasah.



GAMBAR menunjukkan wajah Rihanna yang bengkak.



BROWN


LOS ANGELES - Laman web hiburan TMZ kelmarin menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan kecederaan yang dialami oleh penyanyi Rihanna akibat dibelasah teman lelakinya, Chris Brown.

Imej tersebut menunjukkan kesan lebam pada kening Rihanna, kesan calar pada dagu, bahagian bibir dan mukanya yang bengkak.

Laman web itu tidak menyatakan bagaimana ia memperoleh gambar, tarikh ia dirakam atau pengirimnya.

Beberapa jam selepas foto itu disiarkan, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) melancarkan siasatan dalaman dan meminta bantuan orang awam untuk mengesan dalang penyebaran foto tersebut.

Satu siaran akhbar polis menyatakan imej itu dipercayai dirakam ketika siasatan keganasan rumah tangga pasangan itu dilakukan.

Menurut siaran itu, penyebaran foto tersebut sebagai satu kesalahan tatatertib yang serius.

Seorang pegawai polis LAPD, Jason Lee ketika mengulas isu itu berkata, pihaknya tidak menyiarkan gambar yang dijadikan bukti.

Sementara itu, seorang jurucakap pejabat pendakwa raya berkata, semua bukti terhadap kes tersebut masih berada dalam pentadbiran pihak polis.

Brown ditahan pada 8 Februari lalu sebelum dibebaskan dengan ikat jamin kerana mengeluarkan ancaman berunsur jenayah terhadap seorang wanita. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Bos hukum pekerja makan burger untuk pengajaran

Bos hukum pekerja makan burger untuk pengajaran


Damon Buffini


LONDON - Seorang jutawan di firma ekuiti, Damon Buffini, 46, telah bertindak mengajar pekerjanya yang bermasalah dengan menempah 100 burger McDonald's dengan menjamu mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Beliau kemudiannya menyimpan burger tersebut selama dua hari sebelum memanggil semua pekerjanya dalam satu mesyuarat tengah hari di pejabatnya di London.

Sejurus mesyuarat diadakan beliau memberitahu kekecewaannya terhadap sikap pekerjanya yang teruk dan mengatakan bahawa mereka bernasib kerana masih mempunyai pekerjaan.

Pada akhir mesyuarat itu, pekerjanya diberitahu bahawa jamuan tengah hari tidak akan diadakan di restoran mewah.

Buffini mengarahkan pekerjanya memakan burger yang telah disimpan selama dua hari itu dan membayangkan betapa bertuah nasib pekerjanya itu yang masih mempunyai pekerjaan ketika ini.

Menurut sumber, tindakan tersebut dilakukan Buffini setelah kecewa dengan sikap pekerjanya yang malas sekali gus memberi pengajaran kepada orang bawahannya itu.

"Insiden terbabit berlaku sebelum Krismas dan membabitkan 100 orang pekerja di pejabat beliau di London. Burger itu dipanaskan semula sebelum dimakan," kata sumber. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Iran mampu buat bom nuklear


LONDON - Iran kini dipercayai mempunyai sejumlah bahan nuklear yang mencukupi untuk membina sebutir bom atom dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, lapor sebuah akhbar semalam.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan bahwa Iran sudah memperlahankan pengembangan program pengkayaan uranium sejak 18 bulan lalu bagaimanapun Teheran meningkatkan simpanan uranium mentah.

Iran dipercayai mempunyai 1,010 kilogram (kg) berbanding 630kg pada November dan 480kg pada Ogos lalu.

Para penganalisis menjangkakan 1,000 hingga 1,700 kg diperlukan untuk pertukaran menjadi uranium tulen sebelum ia boleh dijadikan bom.

Teheran dijangka mencapai jumlah simpanan itu dalam tempoh beberapa bulan.Namun pengarah IAEA, Mohamed ElBaradei berkata, Iran mungkin mengambil tempoh lebih lama untuk membuat senjata nuklear.

Laporan tersebut menyatakan Iran masih enggan bekerjasama dengan pemeriksa IAEA.

Amerika Syarikat (AS) mendesak Iran untuk menghentikan program pengayaan uranium atau berhadapan dengan padah.

Iran sebelum ini menyatakan program nuklearnya adalah untuk kegunaan awam bagi menjana tenaga elektrik. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Akhbar New York Post minta maaf kerana kartun


KARTUN ini menyebabkan akhbar New York Post meminta maaf secara terbuka.


NEW YORK - Sebuah akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat (AS),New York Post semalam memohon maaf kepada para pembacanya berikutan penyiaran kartun seekor monyet yang dianggap sebagai berunsur perkauman dan merujuk kepada Presiden AS, Barack Obama.

Penyiaran kartun politik kontroversi kelmarin menimbulkan kemarahan kumpulan-kumpulan hak asasi sehingga mencetuskan protes di luar ibu pejabat News Corp.

Kartun itu menunjukkan seorang anggota polis menembak seekor monyet yang merujuk kepada satu kejadian di Connecticut Isnin lalu di mana seorang pegawai menembak mati seekor cimpanzi yang menyerang seorang wanita.

Dalam lukisan itu, seorang anggota polis memberi komen: "Mereka perlu mencari orang lain untuk menulis rang undang-undang rangsangan ekonomi."

Sebelum ini, Obama menandatangani pakej rangsangan ekonomi dengan menjadikannya undang-undang.

Pada muka rencana pengarang, New York Post menyatakan kartun itu memberi gambaran bahawa rang undang-undang rangsangan ekonomi persekutuan tidak ditulis dengan baik.

"Namun ia tidak disalah erti sebagai menggambarkan Presiden Barack Obama. Ia sudah tentu bukan niatnya. Kepada semua pihak yang terguris perasaan, kami memohon maaf," kata akhbar itu.

Beratus-ratus penunjuk perasaan hak asasi kulit hitam menjerit dan mendesak New York Post ditutup berhubung penyiaran kartun itu.

Pemimpinnya, Al Sharpton menganggap kartun itu menyindir Obama yang mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pertama berkulit hitam pada 20 Januari lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Obama buat kejutan di Ottawa


OBAMA berjabat dengan seorang peminat ketika beliau memasuki sebuah kedai cenderamata di Ottawa, Kanada kelmarin.


OTTAWA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin mengambil peluang untuk membeli biskut untuk dua anak perempuannya dengan memasuki sebuah kedai secara mengejut di Ottawa, Kanada.

Kenderaan rasmi dan pengiring Obama singgah di By Ward Market yang terkenal sebagai pasar petani di Ottawa.

Ketibaan Obama yang dalam lawatan rasmi ke Kanada menyebabkan orang ramai terkejut manakala sekumpulan pengunjung mengelilingi beliau untuk bersalam serta bergambar.

Obama berjalan di hadapan kedai menjual kraftangan, mi China dan makanan dari India.

Beliau turut membeli seutas rantai kunci dan mencari glob salji.

Namun, tujuan utama Obama ialah untuk mencari kedai kek Perancis bagi membeli sejumlah biskut untuk kedua-dua anak perempuannya iaitu Malia dan Sasha.

Pemilik kedai berkenaan enggan menerima wang Obama sambil menyatakan ia adalah hadiah untuk anak-anaknya.

Sejurus sebelum Obama beredar, seorang wanita memberinya makanan kegemaran tempatan yang dikenali sebagai Beaver Tail.

Mereka berdua berbual mengenai biskut goreng itu sambil menyatakan ia sangat enak.

Katanya, di Chicago rakyat AS mempunyai makanan yang akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Anggap Iran ancaman selepas sah jadi PM


NETANYAHU (kiri) bercakap kepada wartawan manakala Peres memerhatikannya di Pejabat Presiden Israel di Baitulmaqdis semalam.


BAITULMAQDIS - Pemimpin Parti Likud, Benjamin Netanyahu semalam menamakan Iran sebagai ancaman utama terhadap keselamatan Israel.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Presiden Israel, Shimon Peres semalam meminta Netanyahu membentuk sebuah kerajaan baru.

Peres turut menyerahkan sepucuk surat yang meminta Netanyahu membentuk kerajaan baru.

Netanyahu kemudian menerima tawaran Peres dengan menandatangani persetujuan bertulis dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Presiden.

Beliau berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan kuat daripada Parti Yisrael Beiteinu sekali gus membolehkan memperoleh sokongan 65 Anggota Parlimen daripada 120 kerusi di Parlimen.

"Keinginan Iran untuk memiliki senjata nuklear sekali gus menjadikan ancaman paling besar terhadap negara Israel.

"Kegiatan pengganas yang mendapat sokongan Iran mengancam kita dari utara.

"Sejak berpuluh-puluh tahun Israel tidak berhadapan situasi mencabar tetapi ia kini sudah berubah," kata bakal Perdana Menteri itu yang merujuk kepada Lebanon dan Syria.

Israel sering mendakwa Teheran membekalkan senjata api kepada kumpulan Hezbollah dan Hamas.

"Tugas kita ialah untuk menjadikan negara ini aman, selamat dan bersatu padu," katanya.

Netanyahu dalam satu majlis di kediaman rasmi Presiden Shimon Peres bagaimanapun tidak menyatakan mengenai perbincangan damai Israel-Palestin yang kini tertangguh. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Bukan niat hina isteri




SETELAH turun naik mahkamah hampir dua tahun dek pergolakan rumah tangganya dengan pengasas produk kecantikan terkenal Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, air mata jantannya berderai jua.

Vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, dilihat tidak mampu menahan sebak sebaik mendengar keputusan yang dibuat Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad, di Mahkamah Tinggi Shah Alam , Khamis lalu.

Mahkamah telah membenarkan Nash menggunakan wang dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) dan hartanah yang bernilai sebanyak RM880,000 yang didaftarkan di atas namanya, setelah mereka disahkan masih lagi pasangan suami isteri pada 12 November lalu.

Keputusan itu secara automatik telah membatalkan perintah injunksi yang diperoleh secara ex-parte (sebelah pihak) oleh isterinya yang sebelum ini menghalang Nash daripada melakukan sebarang transaksi dan pindah milik semua harta di atas.

Pelbagai persoalan yang timbul sepanjang kes rumah tangga pasangan ini berlangsung. Sungguhpun, Nash telah memperoleh pembatalan injunksi, tetapi khabarnya hubungannya dengan isteri belum ada kesudahan. Hubungan mereka semakin memburuk seolah-olah tidak mampu diselamatkan lagi ekoran pelbagai insiden yang terjadi akhir-akhir ini.

Malah, pada 2 Januari lalu isterinya telah memfailkan permohonan cerai secara taklik dan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur telah menetapkan tarikh 8 April depan untuk mendengar perbicaraan kes tersebut.

Kosmo! cuba membongkar apa yang tersembunyi di sebalik hati Nash berhubung dengan keputusan mahkamah, kelmarin. Ketika ditemubual, Nash tidak banyak bercakap malah sering menjawab dengan kata-kata 'no comment' kepada beberapa soalan. Barangkali berdiam diri itu lebih baik kepada penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu. Ikuti temu bual antara Kosmo! dan Nash semalam iaitu sehari selepas keputusan itu diumumkan.

Apa perasaan Nash sekarang setelah mahkamah membatalkan injunksi tersebut?

Saya bersyukur dengan apa yang terjadi. Bermacam dugaan yang Allah berikan pada saya dan saya amat menghargainya. Saya juga berharap semuanya akan berjalan dengan baik selepas ini.

Apa maksud Nash 'semuanya akan berjalan dengan baik'? Apakah hubungan kalian akan diselamatkan?

Maksud saya, saya berharap tidak ada lagi hal-hal yang seperti ini. Saya harap benda ini tidak akan diperbesarkan lagi.


BAHAGIA hanya seketika meskipun perkahwinan mereka berlandaskan cinta.


Saya simpati bila ada pendapat ramai mengatakan Nash berkahwin atas dasar harta semata-mata, komen Nash sendiri bagaimana?

Allah Maha Besar. Mulut orang saya tidak boleh tutup. Biarlah!

Selepas ini bagaimana hubungan kalian?

Kalau boleh saya tidak mahu komen.

Apakah ini bermakna masalah dengan isteri akan diselesaikan?

Hubungan saya dengannya macam biasa, tidak ada apa-apa masalah. Kami masih lagi sah sebagai suami isteri.

Tetapi Watie telah membuat permohonan untuk cerai taklik?

Bab cerai itu kita sama-sama tunggu di mahkamah. Cuma saya harap, doakan yang terbaik buat saya.

Adakah kes pergolakan rumah tangga ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidup Nash sebagai seorang selebriti?

Kesannya memang banyak kerana perkara ini saya telah menimba banyak pengalaman dan bersyukur. Ia membuatkan saya lebih matang dan berhati-hati dengan apa saja yang mendatang. Sebenarnya ia satu pengajaran dalam kehidupan dan saya amat bersyukur.

Dalam keluaran Kosmo! semalam, Nash ada menyebut supaya Watie menjadi seorang isteri yang beriman dan solehah. Boleh huraikan?

Sebenarnya apa yang saya katakan bukan menuding kepada sesiapa atau kepada dia. Saya katakan pada semua wanita bergelar isteri supaya jadilah isteri yang solehah. Sebab itu saya tidak menyebut nama sesiapa ketika membuat kenyataan tersebut. Saya tidak menghina sesiapa.

Sekali lagi, agak-agaknya ke mana arah hubungan rumah tangga Nash dan dia selepas ini?

Saya tidak boleh berkata banyak. Apa yang boleh saya cakap saya harap kita sama-sama doa yang terbaik.


NASH tidak mahu bercakap banyak tentang isu rumah tangganya yang kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’.


Saya tak kalah – Watie

DALAM pada itu, Kosmo! mendapatkan pula kenyataan isteri Nash, Sosilawati Lawiya supaya isu perihal rumah tangga mereka ini dibaca secara lebih seimbang. Watie ketika ditemubual kedengaran cukup pasrah dengan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu.

Nash menitiskan air mata di mahkamah selepas dia menang kes, apa perasaan Watie melihat suami menangis?

Ini bukan hukuman gantung, saya tidak faham kenapa dia perlu menangis. Keputusan mahkamah Khamis lalu bukannya bermakna saya kalah atau dia menang. Perintah injunksi yang dibuat semasa kes pengesahan lafaz terbatal dengan sendirinya, kerana kami masih lagi sah sebagai suami isteri.

Selepas menang kes, Nash ada menasihatkan supaya Watie menjadi isteri solehah, bersediakah?

Memang saya berkahwin dengan dia pun sebab nak cari suami soleh dan beriman, yang boleh membimbing saya menjadi seorang isteri yang solehah. Tetapi nampaknya dia yang selalu ceritakan keburukan saya. Ini maknanya dia juga telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri sebab tak dapat mendidik isteri dia menjadi solehah. Mana ada perempuan yang tak hendak jadi wanita solehah, tetapi suami pun perlu fikir untuk jadi suami yang soleh juga.

Apa tindakan Watie seterusnya?

Saya sudah memohon cerai taklik dan dalam minggu depan saya membuat permohonan perintah injunksi yang baru dan kali ini nilainya telah bertambah.


BAGI Watie, masih ada ruang untuk Nash membaiki kecelaruan rumah tangga mereka.


Berapa?

Duit ASB RM200,000, ASW RM200,000, rumah RM480,000 dan Public Mutual RM500,000.

Atas dasar apa Watie mahu membuat permohonan terbaru ini?

Itu duit hasil perniagaan saya, dia kenalah pulangkan balik kerana saya ada semua bukti. Salah ke saya nak menuntut hak saya kembali?

Nash tidak banyak komen bila ditanya mengenai hubungan kalian, bagi Watie sendiri, masihkah ada harapan?

Hubungan kami sudah tidak ada apa-apa lagi. Kami bukan macam suami isteri lain. Dia pun tidak cari saya dan tidak ajak saya balik ke rumahnya.

Kata Nash juga, sebagai isteri Watie yang sepatutnya pulang ke rumah dia,bukan suami yang kena ikut isteri. Kenapa tak buat macam itu?

Saya pernah cakap hendak datang ke rumah dia sebelum kes dibawa ke mahkamah. Tetapi dia jawab, kalau saya datang dia akan keluar dari rumah. Dia pun tak pernah 'memujuk' saya untuk balik ke rumah dia. Mana tempat yang dia sediakan untuk saya sebagai isteri? Jadi saya nak buat macam mana lagi sebab dia sendiri tidak pernah berusaha untuk jernihkan semula hubungan kami.

Apa perasaan Watie apabila kisah rumah tangga mendapat liputan meluas media?

Malu! Saya malu sangat terutamanya dengan anak-anak. Kasihan mereka kerana suami selalu cakap yang buruk tentang saya di media. Saya tidak pernah pun mengaibkan dia kerana saya masih hormat sebagai suami. Sepatutnya dia pun kenalah jaga maruah saya sebagai isterinya. Sabar setiap orang ada hadnya. Kalau saya seorang yang angkuh dan sombong, saya tak akan bantu dan percaya dengan mudah kepada dia.

Ada pihak yang mengatakan Watie berkahwin kerana ingin tumpang populariti Nash supaya melariskan lagi perniagaan, betul ke?

Saya ikhlas berkahwin dengannya. Memang saya cintakan dia masa tu sebab nampak dia lelaki beriman dan boleh bimbing hidup saya. Tentang tumpang populariti rasanya tak timbul sebab sebelum kahwin, produk dan perniagaan saya juga sudah stabil. Saya terima dia sebagai jodoh tetapi tidak sangka jadi begini pula.

Orang keliru, kenapa Watie memohon cerai taklik, tiada ada jalan yang lebih baikkah?

Sebagai isteri, kalau suami tidak pulang ke rumah selama tiga bulan, dan mengeluarkan semua duit hasil titik peluh saya, haruskah saya berdiam? Saya berhak untuk menuntut cerai apabila rasa perkahwinan ini tidak bahagia. Selama ini pun dia tidak memberi kasih sayang, masa dan perhatian terhadap saya. Lagipun sepanjang kes kami berlangsung, dia memburukkan saya. Kalau saya ini buruk sangat pada pandangannya kenapa tidak dilepaskan saja, kenapa mengantung saya tidak bertali?

Ditakdirkan jika Nash mahu kembali, bagaimana?

Saya masih isterinya, cerai di tangannya. Kalau dia minta saya kembali, saya terima dengan hati yang terbuka. Tetapi kalau saya ini bukan lagi isteri pilihannya, lebih baik kami berpisah. Dan saya juga berharap dia bertemu dengan jodoh yang diidamkan.

Menyesal atau tidak bergelar isteri kepada orang popular macam Nash?

Saya tidak pernah menyesal, saya anggap dia jodoh saya. Cuma hingga sekarang saya tidak tahu apa yang dia hendak? Ikhlaskah dia berkahwin dengan saya?

Adakah kes ini menjejaskan reputasi Watie sebagai ahli perniagaan dan seorang ibu?

Kalau perniagaan tidak ada apa-apa masalah, semuanya berjalan seperti biasa. Cuma anak-anak yang turut menanggung malu. Saya harap kami masih boleh berbincang secara baik. Saya sedia memberikan dia ruang dan peluang.

Mungkin Watie ada nasihat untuk wanita di luar sana?

Saya ingin menasihatkan supaya wanita memilih suami bukan dari luaran saja tetapi nilai dari segi hati, kejujuran, keikhlasan. Kalau sayang macam mana pun, perlu beringat dan berhati-hati. Mungkin saya salah sebab meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada orang lain.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Jamal tetap dibicara ugut isteri melalui SMS


JAMAL bersama isterinya, Fatimatuzahra (kanan) hadir di Mahkamah Seksyen Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Penyanyi Jamal Abdillah akan tetap dibicarakan atas tuduhan mengugut isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dua tahun lalu meskipun dua representasi agar tuduhan itu ditarik balik telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Kedua-dua representasi dikemukakan Fatimatuzahra, 26, sendiri dan peguam Datuk Taqiyuddin Yahya yang mewakili Jamal pada tahun lalu.

Ketika prosiding, Penolong Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim berkata, pendakwaan ke atas Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali, 48, akan diteruskan selepas kedua-kedua representasi yang dikemukakan isteri dan peguam penyanyi itu ditolak.

Bagaimanapun, Taqiyuddin memohon budi bicara mahkamah untuk memanggil pengadu iaitu Fatimatuzahra bagi bertanyakan sendiri sama ada dia bersedia menarik balik laporan ugutan tersebut atau tidak.

"Walaupun Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah beri kuasa kepada pendakwaan tetapi jika pengadu sendiri tidak bersedia untuk teruskan kes, mahkamah haruslah bertindak sebagai pengadil dengan bertanyakan kepada pengadu," katanya.

Siti Syakimah kemudiannya bangkit dan berkata: "Arahan adalah untuk teruskan perbicaraan dan mohon ditetapkan tarikh bicara."

Sehubungan itu, Majistret Norkamilah Aziz menetapkan 20 April ini sebagai tarikh bicara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Meninggal dunia tiga hari selepas dibedah


KERATAN Kosmo! 9 Februari.


BUTTERWORTH - Warga emas, Che Mas Mahmud, 79, yang menderita akibat sebatang jarum yang tertinggal dalam perut selepas menjalani pembedahan empat tahun lalu akhirnya menghembus nafas terakhir petang semalam.

Anak Che Mas, Salleh Mohamad, 35, ketika dihubungi semalam berkata, ibunya meninggal dunia pukul 6.55 petang selepas tiga hari arwah menjalani pembedahan membuang jarum di Hospital Taiping (HT), Perak.

Menurutnya, pada Isnin lalu ibunya dibawa untuk menjalani pemeriksaan di HT bagi mengesan tahap kesihatannya sebelum melakukan pembedahan sehari selepas itu.

"Selepas menjalani pembedahan, keadaan ibu semakin teruk berbanding sebelum ini.

"Kami sekeluarga ada bercadang untuk memindahkan ibu ke Hospital Parit Buntar (HPB) yang lebih hampir dengan rumah kami tetapi tidak sempat kerana ibu pergi dulu," katanya.

Katanya, jenazah ibunya akan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Aping, Serdang, Kulim, Kedah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kampung berkenaan pada pukul 11 pagi ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Tampil bersih diri jika tak bersalah


KERATAN Kosmo! 19 Februari.





KUALA LUMPUR - Polis semalam mengesahkan hanya seorang individu dicari bagi membantu siasatan berhubung kes penyebaran gambar bogel Elizabeth Wong.

Individu tersebut merupakan bekas teman lelaki kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan yang namanya bermula dengan huruf 'H'. Dia berumur 33 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman (gambar) berkata, bekas teman lelaki ahli politik itu yang merupakan bekas pembantu seorang Ahli Parlimen kini merupakan orang yang dicari bagi menyelesaikan kontroversi kes tersebut.

"Sehingga kini bekas teman lelaki Elizabeth yang dipercayai masih berada di luar negara belum dapat dihubungi," katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurut beliau, pihaknya memberi peluang kepada lelaki itu untuk tampil membantu siasatan sekali gus membersihkan namanya jika dia benar-benar tidak terbabit dengan kejadian tersebut.

"Tiada tempoh masa diberikan tetapi jika dia masih tidak tampil, baru kita cari dia,'' katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...