Sunday, February 22, 2009

Mengapa kami dibuang?

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat sedang mengesan waris dua bayi perempuan dan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan ibu bapa masing-masing yang kini di bawah jagaannya.

Dua daripada bayi itu yang kini berada dalam keadaan sihat ditinggalkan ibu kandung mereka selepas di lahirkan di dua hospital manakala seorang lagi ditemui ditinggalkan di tempat wuduk wanita dalam keadaan masih bertali pusat.

Kes pertama membabitkan bayi tidak bernama yang dipercayai dilahirkan seorang warga Thailand bernama Hayusah di Hospital Serdang pada 24 November lalu.

Bayi yang diberi nama Puteri Amira itu dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya yang melarikan diri dari hospital selepas empat hari dilahirkan dan sehingga kini usaha mengesan wanita itu masih gagal.

Kes kedua membabitkan bayi lelaki yang dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kajang, juga selepas ibu kandungnya datang ke bahagian kecemasan untuk bersalin pada Julai tahun lalu.

Bayi malang berusia enam bulan itu dinamakan Ahmad di dalam surat kelahirannya setelah usaha pihak hospital serta pejabat kebajikan untuk mengesan ibu kandungnya yang melarikan diri dari hospital sehari selepas dilahirkan gagal.

Kes ketiga membabitkan seorang bayi perempuan yang dijumpai pekerja am sebuah masjid di Bangi dalam keadaan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan.

Bayi malang yang dibuang itu ditemui pada 16 Januari lalu di bahagian tempat wuduk wanita dalam keadaan sihat sebelum dimaklumkan kepada polis pada hari yang sama diberi nama Puteri Balqish dalam sijil kelahirannya.

Pegawai Pelindung Daerah Hulu Langat, Ezaq Ekmal Khalid, berkata sehingga kini usaha mengesan waris kepada ketiga-tiga bayi malang berkenaan masih gagal berikutan maklumat yang terhad.

Sehubungan itu, pihaknya amat berharap agar waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga bayi itu dapat tampil memberikan maklumat berikutan kes bayi berkenaan akan dibicarakan di mahkamah bagi menentukan taraf sebagai anak tidak berwaris sekali gus bakal diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita amat berharap agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa atau waris ketiga-tiga bayi ini dapat tampil memberikan maklumat kepada kami bagi mengesan ibu atau bapa kandung mereka.

“Ini kerana penentuan hak terhadap bayi ini akan dibicarakan di mahkamah dan sehingga tarikh itu ibu bapa atau waris masih mempunyai masa untuk menuntut bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada JKM untuk dijaga sebagai anak tidak berwaris,”
katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat di talian 03-87378007.



Nama: Puteri Balqish

>Tarikh dibuang: 16 Januari lalu

>Tempat ditemui: Tempat wuduk sebuah masjid di Bangi

>Nota: Masih bertali pusat ketika ditemui



Nama: Puteri Amira

>Tarikh dilahir: 24 November lalu

>Tempat ditinggal: Hospital Serdang

>Nota: Ibu disyaki warga Thailand bernama Hayusah


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090221092928/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...