Sunday, February 22, 2009

Anggap Iran ancaman selepas sah jadi PM


NETANYAHU (kiri) bercakap kepada wartawan manakala Peres memerhatikannya di Pejabat Presiden Israel di Baitulmaqdis semalam.


BAITULMAQDIS - Pemimpin Parti Likud, Benjamin Netanyahu semalam menamakan Iran sebagai ancaman utama terhadap keselamatan Israel.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Presiden Israel, Shimon Peres semalam meminta Netanyahu membentuk sebuah kerajaan baru.

Peres turut menyerahkan sepucuk surat yang meminta Netanyahu membentuk kerajaan baru.

Netanyahu kemudian menerima tawaran Peres dengan menandatangani persetujuan bertulis dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Presiden.

Beliau berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan kuat daripada Parti Yisrael Beiteinu sekali gus membolehkan memperoleh sokongan 65 Anggota Parlimen daripada 120 kerusi di Parlimen.

"Keinginan Iran untuk memiliki senjata nuklear sekali gus menjadikan ancaman paling besar terhadap negara Israel.

"Kegiatan pengganas yang mendapat sokongan Iran mengancam kita dari utara.

"Sejak berpuluh-puluh tahun Israel tidak berhadapan situasi mencabar tetapi ia kini sudah berubah," kata bakal Perdana Menteri itu yang merujuk kepada Lebanon dan Syria.

Israel sering mendakwa Teheran membekalkan senjata api kepada kumpulan Hezbollah dan Hamas.

"Tugas kita ialah untuk menjadikan negara ini aman, selamat dan bersatu padu," katanya.

Netanyahu dalam satu majlis di kediaman rasmi Presiden Shimon Peres bagaimanapun tidak menyatakan mengenai perbincangan damai Israel-Palestin yang kini tertangguh. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...