Thursday, August 7, 2008

Bapa larikan anak ke Pakistan

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my
BILAL yang dilarikan bapanya Nasir sejak 26 Julai lalu.

KUALA LUMPUR - Selepas berakhirnya kisah Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 21, yang terpaksa berulang alik ke Pakistan sebelum dia mendapat semula anaknya, kini timbul pula kisah hampir sama membabitkan Salwanis Ma'az, 31.
Pegawai Penyelidik di Stesen Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu, kini sedang sengsara mengenangkan nasib bayi lelakinya, Muhammad Bilal yang baru berusia tiga bulan hasil perkongsian hidup dengan seorang rakyat Pakistan, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39 (gambar kecil).
Salwanis yang tinggal di Serdang Perdana di sini berkata, beliau mengenali suaminya itu melalui ruangan sembang internet dan telah berkahwin empat bulan kemudian di Kepala Batas, Pulau Pinang, Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, semasa mengandung lapan bulan, suaminya minta mereka tinggal berasingan selepas mendakwa dia (suami) terlalu tertekan dengan masalah perniagaan yang dihadapinya.
Suaminya mempunyai perniagaan sebuah pasar mini tidak jauh dari rumahnya dan juga menjadi pembekal peralatan sukan. Bagaimanapun, katanya, selepas beliau melahirkan anaknya, Nasir selalu datang menziarahi dan kadang kala membawa anaknya keluar.
Cerita Salwanis, pada pukul 7 pagi, 26 Julai lalu, seperti biasa suaminya yang juga jurulatih taekwando datang menjemput anaknya dengan alasan mahu membawa ke rumah sepupunya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.
"Selepas empat jam, Bilal tidak dihantar pulang, saya mula risau selain perlu menyusukan Bilal.
"Saya pergi ke rumah sepupu suami saya yang tidak jauh dari rumah tetapi mendapati rumah tersebut tiada penghuni menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu,'' kata beliau semasa membuat aduan di Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO di Jalan Kampung Attap di sini semalam.
Menurutnya, dalam keadaan panik, beliau pergi pula ke pasar mini suaminya tetapi suaminya juga tidak ada di situ.
Berikutan itu, Salwanis memberitahu, dia telah menghubungi telefon bimbit suaminya dan alangkah terkejutnya apabila suami memaklumkan dia sedang dalam perjalanan ke Dubai bersama Bilal.
Katanya, tanpa membuang masa beliau telah bergegas ke Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di sini yang kemudiannya dimaklumkan suaminya memang ada membuat permohonan pasport dan visa Pakistan buat Bilal.
"Pemeriksaan dengan imigresen juga mengesahkan yang suaminya telah keluar bersama anaknya dari negara ini pada 26 Julai,'' katanya yang mengesyaki anak dan suaminya ada di Pakistan.
Bagaimanapun, kata wanita itu, beliau juga mengesyaki sesuatu selepas suaminya pernah menunjukkan wang RM23,000 kononnya 'hadiah' yang diperolehnya selepas membawa Bilal berjumpa dengan seseorang beberapa minggu lalu.
"Saya takut ada kemungkinan Bilal dijual kepada sindiket sebab itu suami saya dapat wang sebanyak itu,'' katanya.
Oleh itu, ujarnya, beliau kini berharap ada pihak yang dapat membantunya mencari dan mendapatkan kembali anaknya.
Tambahnya, selain khuatir dengan keadaan anaknya, beliau juga tidak tahan menanggung bebanan ansuran bulanan kereta dan sewa premis pasar mini yang kesemuanya berjumlah RM2,100 yang didaftarkan atas namanya.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...