Tuesday, September 23, 2008

Cari ibu kandung sah taraf penduduk

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
berita@kosmo.com.my


Zulaini (kiri) memohon ibu kandungnya, Suzi tampil bagi
menyelesaikan masalah taraf kewarganegaraannya di Biro Pengaduan Awam MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


--------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Rupa paras tak ubah gadis India, tetapi ibu bapa merupakan keluarga keturunan Melayu.

Itu semua bukan menjadi masalah kepada Zulaini Abdullah, 22, kerana masalah sebenar kepadanya ialah status kerakyatannya yang sekadar diiktiraf sebagai pemastautin tetap (PR).

Cerita Zulaini, dia sebenarnya merupakan anak kepada sebuah keluarga berketurunan India, tetapi telah dijadikan anak angkat oleh keluarganya yang berketurunan Melayu sejak berusia enam bulan.

"Sejak itu saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang mengikut budaya Melayu,'' katanya ketika ditemui di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini semalam.

Menurut gadis itu, semasa berusia 12 tahun, dia diberi kad pengenalan yang tercatat berstatus PR disebabkan keluarga angkatnya tidak dapat mengemukakan sijil kelahiran asalnya.

"Pada usia 17 tahun baru saya ketahui yang saya merupakan anak angkat selepas dimaklumkan seorang kakak saya.

"Saya redha dengan kedudukan saya, tetapi terkilan kerana saya dimaklumkan ibu bapa sebenar saya merupakan rakyat Malaysia, tetapi saya pula diberi status PR,'' katanya.

Malah ceritanya, disebabkan status PR itu juga, dia yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mendakwa tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Turut memberi kesan sebab status itu, saya sukar membuat pinjaman kereta, pinjaman rumah dan sebagainya,'' katanya yang bekerja sebagai jurubahasa di sebuah mahkamah di sini.

Oleh itu, Zulaini berkata, dia mahu berjumpa ibu kandungnya yang dikenali sebagai Suzi, 50-an bagi mendapat taraf warganegara di sini.

Menurutnya, maklumat terakhir yang diketahuinya, ibunya berada di Klang, Selangor, tetapi hingga sekarang dia belum menemuinya.

Ekoran itu, dia merayu jika ada waris dari keluarga sebelah ibu atau bapanya yang langsung tidak diketahuinya diminta mereka tampil membantunya menyelesaikan kemelut status kerakyatannya.

Tambahnya, mengikut ibu angkatnya, ibu kandungnya ada menyimpan sijil kelahirannya, tetapi tanpa diketahui sebabnya ia tidak diberikan kepada keluarga angkatnya.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...