Tuesday, September 23, 2008

Dua bank pelaburan AS tamat era gemilang


DUA orang berjalan dekat ibu pejabat Bank Morgan Stanley di New York pada Khamis lalu.

----------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Satu era berakhir di Wall Street, New York apabila Rizab Persekutuan membenarkan dua bank pelaburan gergasi, Goldman Sachs dan Morgan Stanley menjadi bank biasa bagi meneruskan operasi berikutan krisis kewangan di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Bank Morgan Stanley yang ditubuhkan pada 1935 beroperasi di 33 buah negara dan mempunyai 45,000 pekerja manakala asetnya sehingga 2007 adalah dianggarkan bernilai AS$779 bilion (RM2.66 trilion).

Rizab Persekutuan mengumumkan kelmarin bahawa ia meluluskan permohonan kedua-dua bank itu untuk menukar status kepada bank komersial.

Bank Goldman Sachs pada mulanya ditubuhkan pada 1869 tetapi sehingga 2007, asetnya dianggarkan bernilai AS$1.11 trilon (RM3.83 trilion).

Penukaran status daripada bank pelaburan kepada bank komersial itu membolehkan Bank Goldman Sachs dan Bank Morgan Stanley mengambil deposit sekali gus meningkatkan sumber kewangan.

Peralihan status tersebut juga akan membolehkan kedua-dua gergasi kewangan itu membeli sebuah bank komersial, bergabung dengan sebuah lagi bank atau mewujudkan anak syarikat bank.

Kedua-dua bank itu juga bolah menawarkan perkhidmatan akaun simpanan kepada orang awam sama seperti yang dilakukan oleh Citibank dan JPMorgan Chase.

Bank Goldman Sachs dan Bank Morgan Stanley itu juga boleh memperoleh pinjaman jangka pendek daripada Rizab Persekutuan.

Kedua-dua bank itu sebelum ini menghadapi tekanan selepas Bank Merrill Lynch dijual kepada Bank of America manakala bank pelaburan keempat terbesar AS, Lehman Brothers muflis pada minggu lalu.


BEBERAPA buah kereta melepasi bangunan ibu pejabat Lehman Brothers di New York semalam.

-------------------------------------------------------------------


Rizab Persekutuan turut terpaksa campur tangan dengan memberikan pinjaman sebanyak AS$85 bilion (RM293.66 bilion) bagi menyelamatkan firma gergasi insurans, American International Group Inc. (AIG) yang juga penaja kelab bola sepak Manchester United (MU) daripada menerima nasib sama seperti Bank Lehman Brothers.

Sebelum ini pelabur-pelabur bimbang bank-bank pelaburan yang masih terselamat akibat krisis kewangan di AS tidak lagi mampu bertahan.

Terdapat spekulasi bahawa kedua-dua itu tidak mampu untuk bertahan berdasarkan kedudukan kewangan terkini kerana dana Bank Goldman Sachs dan Bank Morgan Stanley yang disimpan di Bank Lehman Brothers sudah dibekukan kerana muflis.

Sebelum ini Rizab Persekutuan turut bertindak dengan menyelamatkan dua firma gergasi gadai janji iaitu Fannie Mae dan Freddie Mac.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...