Saturday, September 20, 2008

Menu minoriti Muslim Paris

Sepanjang Ramadan, sebuah dapur sup dibuka di luar Cite Edmond Michelet, Paris untuk menyediakan juadah berbuka kepada imigran miskin atau penganggur.


BAGI imigran miskin, di sinilah tempat untuk mereka mengisi perut selepas sehari berpuasa.

-------------------------------------------------------------


MATAHARI sudah terbenam di kota Paris. Kelihatan ramai umat Islam yang berpuasa mula menikmati hidangan masing-masing sejurus azan dilaungkan menandakan masuknya waktu berbuka.

Di tempat lain di dunia, azan dilaungkan dari menara masjid, tetapi di khemah yang disediakan di utara kota Paris, ia datang dari pembesar suara sebuah radio kecil.

Sepanjang Ramadan, sebuah dapur sup telah dibuka di luar Cite Edmond Michelet, sebuah projek perumahan awam di daerah ke-19 kota romantis itu. Menunya pula terdiri daripada makan malam tradisional bermula dengan yogurt dan kurma.

"Ramai orang tidak mampu memenuhi keperluan mereka hari ini, tetapi mereka tidak pernah memberitahu anda," kata Ali Hasni, 45, sukarelawan untuk badan amal Une Chorba Pour Tous yang bermaksud Sup Untuk Semua Orang.

Perancis merupakan rumah kepada minoriti Muslim yang terbesar di Eropah. Blok menara yang mengelilingi khemah tersebut adalah pandangan biasa landskap urban Perancis.

Bangunan usang itu menjadi tempat perlindungan kepada ramai imigran Muslim yang datang ke sini untuk bekerja di dalam sektor pembinaan pada tahun 1960 hingga 1970-an.

Kebanyakan blok menara itu merupakan unit terpenting pada tahun 2005 apabila ramai imigran muda merusuh di seluruh Perancis selepas dua remaja terbunuh dalam renjatan elektrik dalam sub-stesen kuasa ketika melarikan diri daripada polis. Sejak itu, keganasan berlaku dengan meluas di kawasan kejiranan.

Kawasan tersebut mendahului statistik jenayah keganasan kota Paris dan kadar pengangguran yang meluas. Tetapi, penganjur kedai sup tidak bimbang dengan reputasi tersebut.

"Kami menerima di mana saja Datuk Bandar benarkan kami membuka kedai, sama ada kawasan kejiranan berbahaya atau tidak. Tetapi, kami benar-benar suka satu alamat tetap sejak permintaan meningkat setiap tahun," kata Farid Adjadj, 34, seorang pekerja tetap yang menjadi sukarelawan sejak tahun 1994.


PEKERJA sukarelawan menghidangkan sup untuk menu berbuka.

---------------------------------------------------------------


Ketika pergaduhan antara kumpulan Muslim Arab dan golongan muda Yahudi Ortodoks menjadikan tajuk-tajuk utama akhbar tempatan, sebahagian penduduk mengatakan ketegangan masih terkawal.

"Ini merupakan salah satu bahagian paling popular di Paris dan kami telah bersama dengan baik. Saya cuma berharap agar perkara ini berlaku di Timur Tengah," kata David Siksik, seorang sukarelawan berbangsa Yahudi.

Khemah yang dikenali sebagai big top itu, dipasang merentangi beberapa buah gelanggang bola keranjang. Terdapat banyak meja panjang yang ditutupi dengan pengalas meja plastik.

Menu utamanya ialah stu berempah yang dimakan di pelbagai buah negara merentasi Afrika Utara, Timur Tengah, Selatan Eropah, Turki dan India. Di sini ia dipanggil chorba iaitu bahasa Perancis yang diterjemahkan daripada perkataan Arab untuk sup.

Une Chorba Pour Tous, yang mensasarkan kepada golongan Muslim yang miskin, telah beroperasi sejak tahun 1992. Ia memperuntukkan bajet tahunan sebanyak 150,000 euro (RM736,455) daripada sumbangan syarikat swasta dan orang ramai bagi membolehkan mereka menyediakan hampir 700 menu setiap hari sepanjang tahun.

Tetapi, waktu paling sibuk adalah sepanjang Ramadan apabila mereka menghidangkan purata 2,000 hidangan setiap malam.

"Kebajikan amat penting bagi masyarakat Muslim terutamanya pada bulan Ramadan. Kebanyakan sukarelawan kami terdiri daripada penganut yang beragama Islam. Tetapi, kami tidak menghalang sesiapa yang memerlukan bantuan atau mahu membantu," kata Fanny Ait-Kaci, 56, salah seorang pengasas pertubuhan tersebut.

Harga makanan di Perancis meningkat sehingga 6.4 peratus sejak Julai lalu dan mereka memahami ramai penduduk miskin sukar untuk mendapatkan makanan sewaktu berbuka.


SEORANG lelaki duduk sendirian sambil menunggu waktu berbuka.

---------------------------------------------------------------


Sukarelawan dapur sup berkata, kebanyakan orang datang ke khemah mereka bukan tidak mempunyai rumah, tetapi pekerja imigran yang miskin atau mereka yang menganggur.

"Tiada semangat Ramadan di kawasan kejiranan saya yang terletak di barat Paris, tetapi di sini, itulah saja yang kami perlukan," kata Salima Hajjaj, seorang pendandan rambut yang datang bersama suami yang tidak bekerja dan tiga anaknya. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...