Saturday, September 20, 2008

Tinggalkan Umno sertai PKR? Ini jawapan Zaid


Zaid akan terus berkhidmat sebagai senator


19 Sep 2008 11:07AM


KL: Datuk Zaid Ibrahim, yang meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia awal minggu ini, menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai rancangan meninggalkan Umno.
Beliau juga menafikan khabar-khabar angin bahawa kononnya beliau akan menyertai parti pembangkang.

Zaid berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai senator Barisan Nasional (BN) dan akan menumpukan usaha merapatkan hubungan antara kaum di Malaysia.

'Hanya kerana saya meninggalkan Kabinet pada 16 September, ada pihak yang mendakwa saya buat begitu untuk menyertai Pakatan Rakyat atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

'Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya berhenti kerana penahanan wartawan, ahli Parlimen dan penulis blog,' katanya kepada akhbar New Straits Times (NST) di sini, kelmarin.

Beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Selasa lalu dengan alasan gagal melaksanakan perubahan selepas enam bulan memegang jawatan.

Zaid berkata keputusannya itu juga bukan disebabkan pembentukan kerajaan baru yang hanya angan-angan kosong pembangkang, sebaliknya beliau tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

'Ia bukan disebabkan faktor lain. Saya tidak merancang perkara ini atau berfikir mengenainya. Bagaimana saya tahu ada orang 'bodoh' akan menahan tiga individu pada 12 September? Apabila saya menyuarakan bantahan saya, sudah ada suara mahu saya dipecat,' katanya lagi.

Beliau juga mengakui rakan-rakannya dalam pembangkang ada meminta supaya beliau menyertai mereka, namun ditolaknya secara baik. / NST, BHM

http://www.klpos.com/news/2008/09/19/5.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...