Saturday, September 20, 2008

Suara Keadilan belum jawab


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum menerima jawapan daripada Suara Keadilan, akhbar Parti Keadilan Rakyat berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya Jumaat lalu.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, dua akhbar lain yang turut diberikan surat tunjuk sebab itu, Sin Chew Daily dan The Sun telah pun memberikan jawapan. KDN memberi tempoh seminggu kepada akhbar-akhbar berkenaan untuk menjawab.

"Sehingga tengah hari ini (semalam), kami masih belum terima surat tunjuk sebab daripada Suara Keadilan, tetapi mungkin ia akan dihantar nanti. Tetapi jika mereka gagal kemukakan surat itu, maka kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya ketika ditanya pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan amal kepada kakitangan kementerian itu di sini semalam.

Sumbangan kepada 289 anggota kementerian yang berpendapatan rendah itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab kerana laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan lumpuh setelah menjalani pembedahan pintasan jantung.

http://www.kosmo.com.my/


Suara Keadilan sudah jawab surat tunjuk sebab KDN

Sep 20, 08 2:56pm

Suara Keadilan - akhbar rasmi Parti Pakatan Rakyat (PKR) - telah menjawab surat tunjuk sebab Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam waktu yang telah ditetapkan, kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

"Dalam surat itu juga disertakan salinan naskah terbaru Suara Keadilan yang memuatkan pembetulan dan penarikan balik berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara, (Tan Sri) Musa Hassan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab kerana laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Musa lumpuh setelah menjalani pembedahan pintasan jantung.

Menurut Tian, surat itu telah diserahkan dengan tangan ke pejabat Ketua Setiausaha KDN, Bahagian Kawalan Pernerbitan & Teks Al-Quran di Putrajaya semalam (19 September), sebelum berakhir tempoh tujuh hari yang diberi oleh kementerian tersebut.

"Cop akuan penerimaan pada tarikh itu telah pun diperolehi dari pejabat KDN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, salinan surat itu juga dihantar dalam bentuk faks ke pejabat KDN pada tarikh yang sama.

Semalam, Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sehingga tengahari semalam, KDN belum menerima jawapan daripada Suara Keadilan.

Selain Suara Keadilan, KDN juga menghantar surat tunjuk sebab kepada akhbar The Sun yang didakwa memanipulasi dan memainkan banyak isu sensitif, manakala Sin Chew Daily pula dikatakan melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan bekas ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Mengikut undang-undang, menteri dalam negeri mempunyai budi bicara untuk menggantung atau membatalkan permit penerbitan jika akhbar-akhbar itu gagal memberi penjelasan memuaskan.

http://www1.malaysiakini.com/news/90105

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...