Sunday, October 19, 2008

Budak dilari bersama Avanza

JOHOR BAHRU - Seorang budak perempuan berusia tiga tahun terpaksa mengharungi tempoh 40 minit ketakutan apabila dia dibawa 'bersiar-siar' oleh pencuri kenderaan ibunya di Nusa Perintis 5, Gelang Patah di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.20 petang, ibu mangsa sebelum itu dikatakan sedang menjemput anak lelakinya di sebuah pusat tuisyen di sini sebelum meletakkan kenderaan kira-kira lima meter dari pusat tuisyen tersebut.

Satu sumber berkata, selain mangsa turut berada di dalam kenderaan Toyota Avanza ialah kakaknya yang berusia tujuh tahun.

Katanya, seorang lelaki yang memakai topi keledar dikatakan telah memasuki kenderaan tersebut yang enjin masih hidup.

"Sebelum kenderaan sempat bergerak, kakak mangsa sempat melompat keluar dari kereta,'' katanya.

Sumber itu memberitahu, mangsa ditemui semula ditinggal di Taman Perling iaitu kira-kira 20 kilometer dari tempat dia dilarikan bersama kenderaan yang disamun.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Abdul Aziz Ahmad semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut beliau, mangsa tidak diapa-apakan oleh penjenayah terbabit.

"Kami sedang memburu suspek termasuk menjejaki kenderaan yang hilang," katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak, lelaki itu terlibat dalam kes mencuri kereta lain sebelum ini.

http://www.kosmo.com.my/13102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...