Sunday, October 19, 2008

Langkah drastik AS


BUSH berjalan keluar dari podium selepas membuat pengumuman di pekarangan White House, Washington semalam. - REUTERS

--------------------------------------------------------------------------------

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semalam mengumumkan pelan kerajaan berjumlah AS$250 bilion (RM873.54 bilion) untuk membeli saham-saham dalam bank-bank utama.

Menurutnya, langkah drastik yang dilakukan itu tidak bertujuan untuk mengambil alih pasaran bebas tetapi bagi memeliharanya.

Sebanyak sembilan bank utama akan terlibat dalam pelan itu dalam satu langkah yang memberi kesan terhadap indeks di bursa saham Wall Street, New York.

Model pelan itu pada mulanya diadaptasi di Britain pada minggu lalu dan ditiru di seluruh Eropah.

Pelan AS$250 bilion itu adalah merupakan sebahagian daripada pakej menyelamat sebanyak AS$700 bilion (RM2.4 trilion) yang sudah dipersetujui oleh Kongres AS.

“Ini merupakan satu langkah jangka pendek bagi memastikan sistem perbankan AS berdaya maju,” kata Bush dalam ucapan di pekarangan White House, Washington.

Pada awalnya, pelan itu yang dirundingkan oleh Setiausaha Perbendaharaan, Henry Paulson adalan untuk wang bagi kegunaan membeli aset peminjam subprima.

Subprima adalah istilah untuk peminjam-peminjam yang berisiko gagal membayar hutang pinjaman.

Tindakan itu akan menyebabkan AS bakal mengikuti jalan yang sudah dilaksanakan di Eropah dengan gabungan pemilikan negara sembilan bank bersama satu pakej jaminan pinjaman.

Krisis kewangan di AS mula melanda pada bulan lalu apabila Bank Lehman Brothers muflis manakala gergasi insurans, American International Group Inc., (AIG) terpaksa diselamatkan oleh kerajaan.

Sebelum itu, dua buah lagi firma gadai janji turut diselamatkan oleh kerajaan AS bagi mengelak menjadi muflis. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/15102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...