Tuesday, November 18, 2008

Amah palsu jaja cerita sedih sebelum kebas RM10,000

KUALA LUMPUR: Perumpamaan ‘susu dibalas tuba’ sesuai bagi menggambarkan tindakan seorang remaja perempuan warga asing yang mencuri barang kemas dan wang tunai lebih RM3,000 selepas dia dibenarkan menumpang di sebuah rumah sepasang suami isteri.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu menemui remaja terbabit di sebuah restoran di Batu 11, Cheras sebelum membawa suspek pulang ke rumah mereka di Taman Maluri, Cheras.

Remaja itu ‘menjual’ cerita sedih kepada pasangan terbabit dengan mendakwa dia pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan melarikan diri selepas majikannya menderanya dengan teruk.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai Din, 30-an, dia dan isterinya tidak pernah menyangka remaja terbabit yang berusia 18 tahun itu akan mencuri wang milik mereka selepas mereka membantunya.

“Ketika itu kami sedang makan, dan dia (suspek) secara tiba-tiba datang ke meja kami dengan keadaan rupanya yang kusut masai dan bajunya yang kotor.

“Dia memberitahu dia didera dengan teruk oleh majikannya ketika bekerja sebagai pembantu rumah sebelum melarikan diri,”
katanya.

Katanya, disebabkan kasihan dia dan isterinya membawa remaja terbabit pulang ke rumah kira-kira dua minggu lalu.

Dia yang memperkenalkan dirinya sebagai Marlin dilihat rajin membantu melakukan tugasan rumah.

“Tapi, saya ada berasa pelik apabila dia tidak mahu mengambil gambar serta terlalu berahsia apabila kami menyoal lanjut mengenai keluarganya,”
katanya.

Kebaikan Din dan isterinya bagaimanapun, dibalas dengan tuba apabila Marlin melarikan diri dan mencuri barangan berharga miliknya ketika dia keluar bekerja pada pagi Sabtu lalu.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati pintu pagar, rumah dan bilik terbuka serta bilik tidur dalam keadaan berselerak apabila pulang ke rumah,” katanya.

Selepas diperiksa, katanya, didapati barang kemas dan wang tunai lesap serta kerugian lebih RM10,000.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092508/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...