Tuesday, November 18, 2008

Sulawesi dilanda gempa


ORANG ramai berdiri di luar bangunan selepas Gorontalo dilanda gempa bumi awal pagi semlaam.

--------------------------------------------------------------------------------

JAKARTA - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud menggegarkan timur Indonesia semalam mengakibatkan empat penduduk terbunuh dan beratus-ratus kediaman musnah serta mencetuskan amaran tsunami serantau, kata para pegawai.

Gegaran kuat itu menggegarkan pinggir pantai kepulauan Sulawesi awal pagi semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka, hotel termasuk pesakit hospital.

Sejumlah penduduk menyelamatkan diri sambil memegang tangan anak masing-masing dan barangan berharga.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa gempa berpusat 135 kilometer dari bandar Gorantalo pada kedalaman 26 kilometer di bawah dasar laut.

Sebanyak dua gempa susulan kuat juga tercetus selepas kejadian itu yang masing-masing berukuran 5.5 magnitud dan 5.1 magnitud.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberi amaran bahawa gempa bumi kuat itu berpotensi untuk mencetuskan tsunami dalam lingkungan 1,000 kilometer.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, 77 penduduk cedera manakala sejumlah 800 rumah musnah.

Seorang penduduk, Robert Bano berkata, rumahnya bergegar selama dua minit sehingga menyebabkan bingkai gambar di dinding tercampak.

Menurutnya, dia terus mendukung anaknya yang menangis dan terus menyelamatkan diri dengan berlari ke tempat selamat. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...