Tuesday, November 18, 2008

Jepun umum terjebak kemelesetan ekonomi

TOKYO - Kerajaan Jepun mengumumkan bahawa ekonomi negara itu terjerumus ke dalam kemelesetan untuk pertama kalinya sejak 2001 akibat krisis kewangan global.

Para pegawai kerajaan dan pakar ekonomi memberi amaran bahawa ekonomi Jepun yang merupakan kedua terbesar di dunia itu mungkin terjejas lebih teruk lagi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ekonomi Jepun menguncup secara purata pada kadar tahunan 0.4 peratus untuk tempoh Julai hingga September selepas menguncup 3.7 peratus dalam suku tahun kedua.

Ini bermakna Jepun kini menyertai 15 negara zon euro di Eropah yang secara teknikalnya terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi.

Sesebuah negara secara teknikal terjerumus ke dalam kegawatan ekonomi apabila mencatatkan perkembangan negatif untuk dua suku tahun berturut-turut.

Pakar ekonomi Asia, Glen Maguire berkata, pengurangan permintaan dari dalam negara mula menjejaskan ekonomi Jepun.

"Pada masa akan datang terdapat petunjuk bahawa keadaan itu akan berterusan," katanya. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...