Wednesday, November 19, 2008

Harga lantai petrol, diesel

Oleh Efindi Badarudin
efindi@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Harga lantai bagi petrol dan diesel akan diperkenalkan kerajaan bertujuan menetapkan had minumum harga bahan bakar itu berikutan penurunan harga pasaran minyak mentah global.

Bagaimanapun harga lantai itu dijangka lebih murah dan kadarnya di bawah paras harga sebelum penstrukturan semula bahan api pada Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad (gambar), berkata bagaimanapun kerajaan masih mempunyai dua pilihan sama ada mahu menetapkan harga lantai atau melakukan pelarasan harga bahan api itu seperti dilaksanakan pada masa ini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan melakukan penstrukturan semula harga bahan api itu pada Jun lalu dengan menetapkan harga siling untuk bahan berkenaan.


“Pada masa ini harganya sudah turun jadi kita perlu untuk menetapkan harga lantai supaya semua pihak termasuk syarikat pengeluar, pengusaha dan orang ramai mendapat keuntungan,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, semalam.


Shahrir berkata, sehubungan itu Majlis Ekonomi Negara yang dijangka bermesyuarat tidak lama lagi akan membincangkan mengenai perkara itu.

“Perbincangan itu perlu kerana ia mengambil kira pelbagai aspek untuk menentukan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, penetapan harga lantai perlu kerana ia membabitkan impilikasi kewangan pendapatan negara bagi memastikan jumlah subsidi dapat dikurangkan untuk disalurkan kepada perbelanjaan lain bagi kemudahan awam.

“Tahun ini kerajaan sudah belanja kira-kira RM15.5 bilion untuk tampung subsidi petroleum yang dibayar kepada syarikat minyak supaya rakyat tidak menghadapi kesusahan ketika kenaikan harga berkenaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081119092236/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...