Wednesday, November 19, 2008

Perjelas status perkahwinan

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Sesuatu perkahwinan perlu dipastikan ia mengikut peraturan yang telah ditetapkan Islam dan individu terbabit tidak harus bersikap sambil lewa dalam hal berkaitan kerana ia melibatkan hukum-hakam agama.



PERKAHWINAN yang dilakukan di luar negara dan tanpa pengetahuan keluarga boleh mengundang masalah berpanjangan. - Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------

KES seorang wanita yang didakwa bersuami dua, Shanum Shaari, 35, menarik perhatian umum apabila Mahkamah Tinggi Syariah Alor Star, Kedah baru-baru ini memerintahkan supaya dia dipisahkan daripada suami keduanya, Syarif Jasin, 48.

Perintah itu dijalankan selepas mahkamah membenarkan rayuan suami pertama wanita itu, Amir Affandy Zakaria, 39, yang memohon agar Shanum yang bernikah dengan Syarif di Yala, Thailand pada 12 Disember 2005 dipisahkan atau dimufarraqahkan.

Amir mendakwa pernikahan Shanum dengan Syarif tidak sah. Ini kerana ketika berlakunya pernikahan itu, wanita tersebut masih lagi isterinya menurut keterangan Surat Rujuk bertarikh 24 Oktober 1997 yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Baling dan mahkamah memutuskan daftar rujuk itu adalah sah.

Isu ini secara tidak langsung membangkitkan kesedaran ramai bahawa sesuatu perkahwinan perlu dipastikan bahawa ia mengikut peraturan yang telah ditetapkan Islam dan individu terbabit tidak harus bersikap sambil lewa dalam hal berkaitan kerana ia melibatkan hukum-hakam agama.

Menurut Pegawai Agama Daerah Baling, Sheikh Shukri Mohamed, 35, kejadian seperti itu berlaku apabila kedua-dua pasangan suami isteri merasakan mereka telah berpisah dan mengambil sikap acuh tidak acuh dalam memastikan status perkahwinan.

Beliau yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran nikah, cerai dan rujuk daerah itu menegaskan bahawa sikap sedemikianlah yang menyebabkan sesebuah perkahwinan yang dibina boleh menjadi tidak sah akibat kejahilan diri sendiri.

"Boleh dikatakan golongan ini sengaja melakukan perkara tersebut walaupun mengetahui risiko dan kesan-kesan buruk yang bakal diterima kelak. Mana mungkin dalam negara yang serba maju dan moden, rakyatnya tidak mengetahui maklumat atau perkara yang membolehkan sesuatu perkahwinan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Mereka sepatutnya boleh bertanya pada orang sekeliling atau pihak yang berwajib mengenai status diri atau apa-apa yang berkaitan untuk melangsungkan perkahwinan. Namun, apabila nafsu telah menguasai diri, semua perkara ditolak tepi asalkan dapat memenuhi kehendak peribadi.


ZAIDI MOHD ZAIN

--------------------------------------------------------------------------------

"Begitu juga dengan kes wanita yang berkahwin secara senyap dan keluarga tidak mengetahuinya. Apabila ada orang yang sesuai datang meminang, sudah pasti ibu bapa akan menerimanya tanpa mengetahui bahawa anak mereka sudah bergelar isteri orang. Dalam situasi ini, keadaan pasti rumit dan bagi mengelakkan malu, si anak tersebut sanggup berkahwin dengan pilihan keluarga daripada membuka rahsia sebenar. Apabila ini terjadi, maka yang menjadi mangsa ialah pejabat agama yang didakwa tidak prihatin atau membuat keputusan berat sebelah.

"Dalam kes ini, saya tidak mahu menuding jari pada si isteri atau si suami, tetapi kedua-duanya mempunyai salah sendiri yang perlu direnung secara mendalam. Jika ada persefahaman antara mereka, sudah tentu hal ini dapat diselesaikan dengan baik. Tetapi berbalik pada apa yang saya katakan tadi, apabila nafsu diletakkan di depan, maka inilah jadinya," kata Ustaz Shukri panjang lebar ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Shukri tidak menafikan ada sesetengah individu yang mungkin iri hati apabila melihat bekas pasangannya hidup bahagia bersama orang lain, lantas bertindak untuk 'mengenakan' mereka.

"Biasanya sikap cemburu atau tidak puas hati di antara pasangan suami isteri amat berbeza. Mereka sanggup melakukan apa sahaja yang boleh mengaibkan atau memusnahkan bekas atau pasangan sendiri. Ini semua gara-gara hasutan syaitan.

"Justeru, ingin saya tekankan di sini untuk pasangan yang bakal berkahwin, mereka perlu betul-betul memahami maksud sesebuah perkahwinan kerana ia begitu telus dan tiada titik noktah. Bagi mereka yang telah berkahwin pula, carilah pengertian perkahwinan sebenar kerana tiada rumah tangga yang tidak pernah dilanda badai.

"Namun, sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran oleh Allah s.w.t, gunakanlah ia sebaik mungkin dan jangan terlalu mengikut hawa nafsu dan emosi. Kenali pasangan anda sedalam-dalamnya kerana pengertian perkahwinan ada pada mereka," nasihat Ustaz Shukri yang telah berpengalaman selama 10 tahun dalam mengurus pasangan yang berhadapan dengan masalah rumah tangga.


SETIAP pasangan harus memahami erti sebenar sebuah perkahwinan. - Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------

Sementara itu, peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain berkata, dalam kes tertentu si suami boleh memohon farak nikah untuk memisahkan isteri yang telah berkahwin jika jelas pernikahannya itu tidak sah.

"Apabila si isteri berjaya dipisahkan dengan suami keduanya dan dalam masa yang sama, suami bertindak mengabaikan tanggungjawab terhadap isterinya itu, maka itu satu tindakan yang kurang wajar kerana berlaku zalim.

"Maka, dalam hal ini, isteri dibenarkan memohon tuntutan fasakh untuk bercerai dengan suaminya yang menghukumnya sedemikian rupa. Bagaimanapun, prosedur ini mungkin mengambil masa yang lama jika berlakunya perbicaraan.

"Oleh itu, apa yang penting bagi pasangan suami isteri ialah memahami akan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam membina perkahwinan yang bahagia. Selain itu, jangan sesekali masalah yang ada dipendam begitu sahaja kerana jika sudah menjadi 'barah', sukar untuk mengubatinya," ujar Zaidi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...