Wednesday, November 19, 2008

Pelajar IPTA turut terjebak

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



DIAN membaca muka depan Kosmo Ahad! mengenai 'Ajaran MLM' pada pertemuan di Kajang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KAJANG - Selain tokoh korporat, golongan politik, artis, rupa-rupanya keahlian 'Ajaran MLM' turut menular di kalangan siswazah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.

Sekali pandang, penglibatan siswazah IPTA seakan-akan memperluaskan rantaian perniagaan jualan langsung (MLM), tetapi ada 'udang di sebalik batu'.

Jika artis dijadikan daya penarik meyakinkan penyertaan orang awam menganut ajaran sesat itu, pembabitan siswazah IPTA pula sebagai formula menarik lebih ramai generasi muda di negara ini selain sebagai pelapis ajaran itu.

Bekas pengikut yang dikenali sebagai Dian Milyan, 20-an, ketika ditemui semalam mendakwa, sejak penglibatannya kira-kira beberapa tahun lalu, dianggarkan ribuan siswazah IPTA sepertinya terjebak.

Katanya, masing-masing terdiri mereka yang masih tercari-cari arah hidup dan yang 'kehausan' dalam bidang agama.

Selain pelajar IPTA, kata Dian, dakyah itu juga melibatkan pegawai- pegawai yang menjawat jawatan tinggi dan pegawai di IPTA dan ia memudahkan operasi berkembang di institusi pengajian tinggi.

"Malah sudah ada pegawai yang sudah dilantik ke jawatan besar. Ia bukan rekaan, ia kebenaran... ia berbeza dengan method (kaedah) dakwah yang diikuti Norah yang bertiga semasa dalam kelas tilawah, kami dalam satu kelas mempunyai kira- kira 40 ahli.

"Jadi, bila berkenalan antara satu sama lain, rupa-rupanya ramai yang masih menuntut di IPTA," katanya sambil menambah ahli yang tertua mencapai umur 50-an dibenarkan membawa anak untuk mengikuti pengajaran yang diadakan dua kali seminggu itu.

Ditanya modus operandi pertubuhan ini berjaya 'menakluk' pelajar IPTA, kata Dian: "Mereka bukan berdakwah secara terbuka, tetapi ahli lama (kebanyakan pelajar yang mempunyai pertalian saudara dengan pengikut) akan membisikkan kebesaran ajaran itu kepada rakan baik mereka, kemudian diseru mencari rangkaian yang lain."

Bagi diri Dian pula, dia didakwa 'diperangkap' oleh rakan baiknya sendiri.

"Ketika itu, pegangan iman saya begitu longgar ditambah dengan kekusutan memikirkan soal keluarga dan pelajaran, tiba-tiba datang rakan menceritakan kehebatan ajaran itu yang menjanjikan saya menemui 'bahagia'.

"Saya dibenar pilih nama kesukaan saya kerana kata 'ketua pentilawah', saya diberi autoriti berbuat demikian kerana semasa saya kecil saya tak berupaya meminta, dan dengan nama baru ia dianggap sebagai 'kelahiran semula,"
katanya.

Mengenai caj keahlian, Dian berkata, untuk kumpulan pelajar, bayaran yang dikenakan lebih murah iaitu RM300 sebagai yuran pendahuluan, 'infaq' bulanan hanya RM150 dan pelaksanaan 'hijrah' sekitar RM3,000 saja.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...