Tuesday, December 16, 2008

60 penduduk Felda hidap penyakit misteri


KULAI JAYA: Kira-kira 60 penduduk Felda Bukit Permai di sini, menghidap penyakit misteri yang menunjukkan simptom demam denggi dan chikungunya.

Penduduk mendakwa penyakit yang mula merebak di kampung berkenaan pada pertengahan bulan lalu menyebabkan penghidapnya sakit kepala yang teruk, ruam dan gatal pada bahagian badan mereka.

Mereka mendakwa sudah mendapat rawatan di Hospital Kulai dan ada sebahagiannya dimasukkan ke wad selama seminggu, tetapi pihak hospital enggan memberitahu penyakit mereka.

Sehubungan itu, penduduk beralih mendapat rawatan di klinik swasta berdekatan tempat tinggal mereka dan diberitahu mereka mengidap penyakit chikungunya.

Tukang kebun, Zainuddin Darman, 39, berkata sehingga ke hari ini jumlah penghidap penyakit itu meningkat dan belum ada lagi tindakan daripada Jabatan Kesihatan daerah atau negeri.

"Ahli keluarga saya dan sebilangan penduduk tidak dapat bekerja selepas diserang penyakit ini.

Saya pernah membuat aduan di pusat kesihatan dan hospital kerajaan, namun tiada maklum balas positif diberikan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Operator kilang, Mazlan Esmir, 46, berkata beliau sudah dijangkiti penyakit itu selama dua hari menyebabkannya tidak dapat bekerja.
Katanya, keseimbangan badannya hilang selain rasa bisa pada sendi dan badannya dinaiki ruam.

Suri rumah, Yatimah Marzuki, 67, berkata beliau menghidapi penyakit itu selama tujuh hari sebelum mendapatkan rawatan di klinik.

"Saya hanya dibekalkan ubat tahan bisa, ubat demam serta krim bagi ruam dan gatal-gatal,” katanya.

http://eforum2.cari.com.my/viewthread.php?tid=328574&extra=page%3D1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...