Tuesday, December 16, 2008

Chikungunya mudah tersebar

Oleh Hafizah Iszahanid

Syarikat farmaseutikal besar tak minat hasil vaksin penyakit di Asia, Afrika

KUALA LUMPUR: Seperti demam denggi, penyakit chikungunya juga tiada vaksin tetapi cepat menular kerana kecanggihan sistem pengangkutan negara yang memudahkan penghidapnya bergerak dan menjangkitkan kepada orang lain.

Chikungunya berpotensi berlaku sepanjang tahun di Malaysia kerana iklim negara ini yang panas.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata musim hujan ketika ini menyebabkan populasi nyamuk Aedes bertambah dan antara sebab kes penyakit itu kebelakangan ini.

" Pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat lain semakin mudah dengan sistem pengangkutan yang moden. Jadi, lebih mudah penyakit menular. Tidak kiralah sama ada ia dibawa pendatang atau pelancong asing," katanya.

Justeru, walaupun Malaysia pernah dianggap negara yang bebas chikungunya tetapi kerana kedudukannya dalam benua Asia, ia masih terdedah kepada ancaman penyakit itu.

"Chikungunya adalah penyakit negara Afrika dan Asia. Selain faktor cuaca, tahap kebersihan di sesetengah negara di benua berkenaan yang tidak memuaskan menjadi pemangkin kepada wabak," katanya.

Dr Hasan berkata, kes chikungunya ketika ini bagaimanapun terkawal dengan 657 kes dicatatkan hingga Khamis lalu. Semua kes tertumpu di 21 lokaliti yang sama di sekitar Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Perak.

"Chikugunya adalah penyakit berkait rapat dengan kebersihan kerana vektornya adalah nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus yang juga membawa virus denggi,"

"Ia hanya boleh ditangani sepenuhnya dengan penjagaan kebersihan seperti menghapuskan nyamuk kerana chikungunya tiada ubat. Setakat ini rawatan chikungunya adalah menentang simptom," katanya.

Ketiadaan vaksin menentang chikungunya dikaitkan dengan faktor lokasi tumpuan penyakit itu. Disebabkan ia hanya berlaku di negara sebelah Afrika dan Asia dan jarang berlaku di Eropah, syarikat farmaseutikal besar tidak berminat untuk membiayai penyelidikan untuk membangunkan vaksin.

Walaupun chikungunya penyakit yang dikaitkan dengan virus, ia tidak akan menjadi mutasi atau berubah-ubah seperti virus influenza. Justeru pembinaan vaksin akan membantu pesakit selain serangan chikungunya pertama kali akan membina antibodi.

Di Malaysia, chikungunya bukanlah penyakit yang boleh membawa maut walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ada melaporkan kematian membabitkan chikungunya di negara Afrika.

Chikungunya diambil daripada bahasa Swahili bermaksud "yang boleh dibengkok' merujuk kepada kedudukan badan yang bengkok kerana serangan sakit sendi (seakan-akan arthritis).

Berbanding kanak-kanak, golongan tua yang diserang chikungunya lebih lambat untuk sembuh sepenuhnya. Ia mungkin memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Masa pengeramannya boleh menjangkau dari tiga kepada 12 hari.

http://eforum2.cari.com.my/viewthread.php?tid=328574&extra=page%3D1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...