Tuesday, December 16, 2008

Kes Chikungunya


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menerima sejumlah 179 kes Chikungunya dilaporkan berlaku di seluruh negara bagi tempoh 17 hingga 23 Ogos lalu.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata jumlah itu menurun sebanyak 34 kes berbanding minggu sebelumnya iaitu sebanyak 213 kes.

“Sebanyak 36 kes dikesan melalui aktiviti pengesanan kes ke rumah-rumah oleh anggota kementerian, manakala yang selebihnya dilaporkan oleh klinik ataupun hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya kes jangkitan Chikungunya pada minggu itu dilaporkan di enam negeri iaitu Johor (124 kes), Melaka (42 kes), Perak (10 kes) dan masing-masing satu kes di Putrajaya, Pahang dan Selangor.

Beliau berkata sehingga kini, tiada kematian berkaitan penyakit Chikungunya dilaporkan berlaku.

Dr Hasan berkata pada minggu itu, terdapat 16 lokaliti wabak yang masih dipantau termasuk tujuh lokaliti wabak baru.

“Lokaliti wabak yang dipantau itu adalah terkawal dan pada minggu itu juga, sebanyak 11 lokaliti wabak telah diisytihar tamat,” katanya.

Katanya sehingga kini, kumulatif kes sepanjang tahun ini di seluruh negara adalah sebanyak 1,479 kes dengan menyaksikan Johor, negeri tertinggi iaitu sebanyak 897 kes dilaporkan berlaku, diikuti Melaka (363 kes), Perak (98), Negeri Sembilan (89), Selangor (25), Pahang (empat) dan Kuala Lumpur (tiga).

Beliau berkata hanya 207 kes (14 peratus) daripada keseluruhan kes tersebut yang memerlukan rawatan di hospital berbanding majoriti pesakit (86 peratus) yang mendapatkan rawatan pesakit luar.

Katanya kementerian mengambil langkah segera dan berterusan untuk mengawal penularan penyakit tersebut di kawasan yang dilaporkan berlaku.

Dr Hasan berkata penyakit Chikungunya adalah penyakit yang hanya berjangkit daripada gigitan nyamuk Aedes dan didapati kawasan yang terlibat jangkitan Chikungunya mempunyai kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi.

Katanya selain aktiviti penyemburan kabus racun serangga, langkah pemusnahan tempat pembiakan nyamuk terutamanya melalui aktiviti gotong royong adalah amat diperlukan untuk membasmi nyamuk Aedes. — Bernama 29-8-2008

http://eforum2.cari.com.my/viewthread.php?tid=328574&extra=page%3D1&page=2

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...