Tuesday, December 16, 2008

Lima lagi hidap Chikungunya

16-12-2008


Oleh Omar Osman

32 mangsa dipindah ke wad khas

SUNGAI PETANI: Lima lagi penduduk Kampung Baru Sungkap Para di sini, dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas disahkan dijangkiti demam Chikungunya menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti penyakit itu sehingga kini 32 orang.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Hasnah Ismail, berkata mangsa terbaru itu adalah tiga lelaki dan dua wanita yang dimasukkan ke HSAH, malam kelmarin selepas pemeriksaan mendapati mereka mengalami tanda demam Chikungunya seperti sakit sendi, bengkak badan dan lemah seluruh anggota badan.

Katanya, semua 32 mangsa berkenaan juga sudah dipindahkan ke wad khas hospital lama Sungai Petani di sini, berhampiran pejabat Jabatan Kesihatan daerah bagi memudahkan pegawai membuat pemantauan dan kajian mengenai penyakit berkenaan.

"Keadaan mereka tidak begitu serius dan cuma memerlukan rawatan lanjut dan sebaik kita berpuas hati dengan tahap kesihatan pesakit, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

" Pegawai dan kakitangan jabatan itu juga akan membuat pemantauan berterusan ke atas penduduk kampung berkenaan dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan, gotong-royong dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi penduduk dijangkiti penyakit itu," katanya.

Katanya, penduduk kampung berkenaan juga diminta membuat pemeriksaan kesihatan sendiri di klinik dan memastikan kawasan persekitaran rumah sentiasa bersih tanpa perlu mengharap bantuan pihak lain.

"Setakat ini, kes penyakit Chikungunya hanya dikesan di Kampung Baru Sungkap Para saja dan kita tidak menerima sebarang aduan atau maklumat yang mengatakan penyakit itu sudah merebak ke kawasan lain.

"Jika ada penduduk kawasan lain yang mengalami demam seperti Chikungunya mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan," katanya.

http://eforum2.cari.com.my/viewthread.php?tid=328574&extra=page%3D1&page=3

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...