Oleh Shahrul Nizam Mohamad
KUANTAN: Gadis ini baru berusia 20 tahun, tetapi dia sudah menjadi pengamal perubatan tradisional sepenuh masa, termasuk menawarkan rawatan memulihkan penyakit lemah syahwat bagi lelaki.
Malangnya, gadis yang masih bujang itu dikatakan menyalahguna kepercayaan pesakit yang mendapatkan khidmatnya apabila mengambil kesempatan mencuri barang kemas dan wang mereka ketika melakukan rawatan.
Setakat ini, polis menerima aduan tiga bekas pesakit bomoh itu yang mendakwa kerugian wang dan barang kemas bernilai RM11,000 dan mengesyaki ada kaitan dengan gadis dari Beserah, di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata polis menahan reman gadis terbabit selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.
Beliau turut meminta pesakit lain yang kehilangan barangan berharga dan wang tampil membuat laporan.
Katanya, bekas pesakit terbabit menyedari wang dan barang kemas mereka lesap sejurus mendapatkan rawatan daripada gadis itu di rumahnya.
“Polis menerima laporan pada 11 November lalu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan daripada tiga individu yang mendakwa wang dan barangan berharga mereka dicuri gadis terbabit.
“Susulan laporan itu, sepasukan polis membuat serbuan ke rumah gadis itu kira-kira jam 10.30 malam kelmarin (Isnin),” katanya.
Dalam serbuan itu, polis mendapati lebih 20 pesakit lelaki dan wanita sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan daripada gadis terbabit.
Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati mangsa menyedari kehilangan barang kemas dan wang tunai mereka selepas pulang ke rumah masing-masing.
“Menurut aduan mangsa, gadis itu mengarahkan mereka meletakkan beg duit dan barang kemas di bawah kepala ketika berbaring dalam sebuah bilik yang dikhaskan untuk merawat pesakit.
“Mangsa mendakwa seperti dipukau ketika dibaringkan sebelum dia memulakan rawatannya dari hujung kepala hingga hujung kaki,” katanya.
Beliau berkata, mangsa turut mendakwa langsung tidak menyedari bagaimana gadis itu mengambil barang kemas dan wang tunai sedangkan diletak di bawah kepala.
“Semua barang berharga dan wang tunai dikatakan ghaib beberapa saat umpama silap mata,” katanya.
Bagaimanapun, kata Mohd Haris, ibu bapa gadis terbabit ketika disoal siasat mengaku tidak tahu menahu kegiatan anak mereka mencuri wang dan barang kemas pesakit.
Polis mendapati gadis itu menyediakan bilik khas untuk menjalankan rawatan mengurut tubuh pesakit di samping memberi minum sejenis air kononnya sudah dijampi dan mampu menghilang kesakitan yang dialami mereka.
Gadis terbabit turut mengenakan bayaran terhadap pesakit dan setiap bayaran berbeza mengikut kaedah rawatan dan jenis penyakit.
Difahamkan, gadis itu menggunakan keayuan wajah untuk memikat lebih ramai pelanggan, terutama lelaki supaya datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan pelbagai jenis penyakit.
Namun, perkhidmatan memulihkan penyakit lemah syahwat dikatakan paling laris dan kebanyakan pesakit lelaki pertengahan umur.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081218094131/Article/index_html
No comments:
Post a Comment