Thursday, December 18, 2008

Meja bulat PPSMI: Gerakan kesal tidak dijemput

Dec 18, 08 4:50pm

Gerakan - sebuah parti komponen BN - kesal kerana tidak menerima jemputan untuk menghadiri sidang meja bulat Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Selasa lalu.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Masyarakat Pengetahuan Gerakan, Dr Hsu Dar Ren berkata, laporan media menyebut kira-kira 200 wakil dari pelbagai parti politik dan NGO turut dijemput.

"Walaupun tidak menerima jemputan rasmi kepada parti Gerakan, tetapi kami rasa ganjil kerana mengikut maklum balas yang diterima dari peserta lain, ada kerusi yang diperuntukkan untuk parti kami," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hsu berkata, pihaknya juga mendapat tahu bahawa beberapa parti komponen BN seperti SUPP juga tidak dijemput walaupun mereka disediakan tempat duduk di sidang meja bulat itu.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas laporan mengenai syor mesyuarat meja bulat kelima anjuran kementerian pelajaran untuk membincangkan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Kami berpendapat, ini akan mewujudkan persepsi negatif kepada parti-parti terbabit. Kami ingin mendesak menteri pelajaran supaya menjalankan siasatan terperinci dan memberi kita satu jawapan berhubung perkara itu.

"Dan kita berharap perkara yang sama tidak berulang pada masa depan,"
tambahnya.

Namun begitu, katanya, Gerakan akan terus menyuarakan pendirian mereka secara terus kepada menteri pelajaran dan juga kepada awam.

Pendirian Gerakan

Mengenai PPSMI, Dr Hsu mengulangi pendirian parti itu bahawa pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah hendaklah diajar dalam bahasa ibunda.

Pada masa yang sama, tegas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pengajaran matapelajaran bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah juga perlu dipertingkatkan.

Bagaimanapun, Dr Hsu berkata, bahasa Inggeris boleh digunakan untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah menengan dan peringkat lebih tinggi.

"Pendirian kita sentiasa konsisten sejak 2002. Kita telah menghantar memorandum mengenai pendirian kita itu pada 2002, dan sekali lagi pada 2005 kepada menteri pelajaran sekarang.

"Memandangkan isu ini amat penting sekali, maka kita akan mengemukakan sekali lagi satu lagi memorandum kita mengenai pendirian kita itu,"
katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hsu berkata, Gerakan - sebagai sebuah parti berorientasi rakyat - sentiasa melihat pendidikan sebagai salah satu elemen paling penting dalam pembinaan negara.

"Dan kita bersedia untuk menyertai sebarang perbincangan mengenai isu-isu pendidikan serta apa juga isu yang membabitkan kepentingan rakyat Malaysia," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/95096

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...