Thursday, December 18, 2008

Pasangan penjenayah langgar, larikan kereta

SUBANG JAYA: Pasangan penjenayah. Itulah gelaran layak diberikan kepada pasangan yang melanggar belakang kereta mangsa sebelum melarikan kenderaan di SS13 di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, pasangan terbabit melanggar belakang sebuah Toyota Wish dipandu seorang lelaki.

Sumber berkata, mangsa kemudian memberhentikan keretanya untuk melihat kerosakan.

“Lelaki berusia 20-an itu turun dari kenderaan untuk melihat kerosakan kesan pelanggaran itu.

“Tiba-tiba seorang lelaki yang berada di dalam Perodua MyVi dipandu pasangannya meluru masuk ke dalam kenderaan mangsa lalu melarikannya,”
katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, wanita yang memandu Perodua MyVi itu turut memecut laju melarikan diri.

Menurutnya, mangsa gagal menghalang suspek daripada melarikan kenderaannya kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Lelaki malang itu membuat laporan polis sejurus kejadian terbabit.

“Siasatan awal polis percaya penjenayah sengaja mencipta kemalangan kecil bagi membolehkan mereka melarikan kenderaan,”
katanya.

Sumber itu berkata, berikutan itu, mangsa kerugian lebih RM100,000 selepas kenderaannya dilarikan penjenayah.

Katanya, mangsa tidak cedera dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Kami tidak menolak kemungkinan suspek pernah terbabit dalam beberapa kes sama sebelum ini,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89481421 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081218094242/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...