Wednesday, December 24, 2008

Mahu henti 4,749 pekerja

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


KUALA LUMPUR: Sehingga semalam, 102 majikan kebanyakannya dari industri elektronik sudah memaklumkan kepada Kementerian Sumber Manusia, hasrat mereka untuk memberhentikan 4,749 pekerja secara berperingkat mulai Januari hingga Mac depan, berikutan masalah ekonomi global ketika ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam (gambar), berkata daripada jumlah berkenaan, Januari mencatatkan pemberhentian pekerja paling tinggi iaitu seramai 3,111 pekerja, diikuti 1,523 (Februari) dan 115 (Mac).

Beliau berkata, majikan yang berhasrat memberhentikan pekerja dikehendaki membayar faedah penamatan kerja kepada pekerja terbabit tidak kurang daripada yang sudah ditetapkan mengikut Akta Kerja 1955.

“Majikan perlu membayar 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja sudah bekerja kurang dua tahun atau 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja berkhidmat antara dua hingga lina tahun dan 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja sudah berkhidmat lebih lima tahun.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kementerian akan sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana majikan yang gagal,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, majikan yang gagal mematuhi arahan melaporkan pemberhentian pekerja dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum melaksanakan tindakan terbabit kepada Kementerian Sumber Manusia, boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap satu kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223083626/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...