Wednesday, December 24, 2008

Tak jamah nasi tunggu anak


Oleh Mohd Rashidi Yusuf
am@hmetro.com.my


LEPAS RINDU...Norlizawati memeluk erat ibunya, Halimah
sebaik tiba di rumah mereka di Kampung Seterus, Sauk,
kelmarin.


KUALA KANGSAR: “Saya tidak menjamah sebiji nasi pun kerana hati berdebar-debar sementara menanti kepulangan anak kesayangan yang terpisah sudah sekian lama.

“Segala doa dan harapan supaya anak pulang semula ke pangkuan saya akhirnya tercapai,” kata Halimah Abas, 59, selepas bertemu semula dengan anaknya, Norlizawati Mat Nor, 26, yang terpisah lebih tiga tahun lalu.

Norlizawati yang berhijrah ke Indonesia tanpa memberitahu keluarga apabila berkahwin dengan rakyat negara jiran itu sejak 2005, selamat pulang ke rumah keluarganya di Kampung Seterus, Sauk di sini, kelmarin.

Kepulangan Norlizawati diusahakan kakaknya, Hawa, 41, dengan bantuan beberapa pihak selepas berita mengenainya disiar Harian Metro pada 3 Disember lalu.

Halimah berkata, dia sering keluar masuk hospital kerana susah hati disebabkan amat merindui anaknya di samping menghidap penyakit darah tinggi dan sakit jantung.

Katanya, dia tidak pernah berhenti berdoa malam hingga menitiskan air mata supaya hati anaknya dibuka untuk kembali semula ke pangkuan keluarga.

“Akhirnya doa saya tanpa mengenal erti jemu diperkenankan dan hari ini (semalam) kami sekeluarga kembali dipertemukan dengannya (Norzilawati) dan terlalu gembira.

“Saya menangis, Norlizawati pun menangis. Dia memohon ampun dan mengaku silapnya. Walau apapun, dia tetap anak saya.

“Malam ini (kelmarin) kami akan mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda syukur menyambut kepulangannya,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Ibu kepada sembilan anak itu, berkata sebarang tindakan terhadap warga Indonesia terbabit yang didakwa menganiayai Norzilawati akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Norlizawati yang mengakui melakukan kesalahan terhadap keluarganya terutama ibu bapanya, berkata dia seolah-olah mati hidup semula sebaik bertemu semula keluarganya.

“Saya banyak buat dosa dengan keluarga terutama ibu dan bapa dan mengerti keadaan diri tanpa mereka.

“Hari ini (kelmarin) saya rasa hari paling gembira, lebih-lebih lagi apabila seluruh keluarga tetap menerima saya seadanya“
katanya.

Norlizawati berkata, dia bagaimanapun masih bersedih kerana tidak dapat membawa pulang anaknya, Musmaulidul Maulana, tiga tahun enam bulan, hasil perkongsian hidupnya dengan suaminya, Sutiknor Nizam, 29 di Blitar, Jawa Timur.

Katanya, ketiadaan surat kelahiran anak dan sijil nikah menyebabkan anaknya itu tidak dapat dibawa pulang bersama, tetapi berjanji akan menguruskannya tidak lama lagi.

“Saya hidup menderita di negara orang apabila suami hilang tanpa khabar berita selepas setahun kembali ke Malaysia dengan alasan mahu mencari wang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223085945/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...