Thursday, January 15, 2009

4 pos kastam dibom di Golok


Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


GOLOK (Selatan Thailand) - Orang ramai yang berurusan di pintu sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Jambatan Muhibah, Sungai Golok di sini dikejutkan dengan letupan dua butir bom di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Thailand yang sedang dalam pembinaan semalam.

Letupan pertama pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan (7.30 pagi waktu Malaysia) itu merosakkan empat pos pemeriksaan kastam di CIQ baru berharga RM16 juta yang terletak kira-kira 100 meter dari bangunan CIQ lama negara jiran itu. Kedudukan CIQ Malaysia dengan lokasi letupan pula kira-kira 200 meter.

Dalam masa kira-kira 10 minit, pos pemeriksaan itu digegarkan dengan letupan kedua.

Kedua-dua letupan itu menyebabkan laluan untuk memasuki atau keluar dari kedua-dua negara terpaksa ditutup selama dua jam.

Bagaimanapun, tiada mangsa cedera kerana pekerja di Kompleks CIQ yang dalam pembinaan itu belum sampai untuk bekerja.

Kompleks tersebut dijangka siap dalam tempoh lima bulan lagi.

Tinjauan Kosmo! mendapati anggota polis dan tentera mengetatkan kawalan dan pemeriksaan di tempat kejadian selepas letupan itu.

Jambatan Muhibah dibuka untuk laluan bermula pada pukul 6 pagi dan ditutup pada 10 malam setiap hari.

Timbalan Konsul Besar Thailand di Malaysia, Niran Boonjit berkata, pihak keselamatan Thailand belum mengenal pasti kumpulan yang memasang dan meletupkan bangunan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...