Thursday, January 15, 2009

Nafi cuba bunuh isteri

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my



TERTUDUH...Md Zammri (kiri) dibawa keluar dari
Mahkamah Majistret Kuantan, semalam.


KUANTAN: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap tuduhan cuba membunuh isteri keduanya dengan menolak wanita berkenaan ke dalam sungai, awal Januari lalu.

Tertuduh, Md Zammri Yaakob Musa, 42, dari Kampung Peramu, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Nordiana Abdul Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Zammri didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat menyebabkan kematian mangsa di Jambatan Sungai Bukit Rangin, di sini, jam 12.25 tengah malam, 6 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda.

Nordiana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan dua penjamin selepas Md Zammri merayu jaminan dikurangkan dan menetapkan 2 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam rayuannya, Md Zammri berkata, dia terpaksa menanggung isteri pertama dan dua anak termasuk yang bersekolah dalam tingkatan lima manakala isteri pertamanya juga tidak bekerja.

Nordiana turut mengenakan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dalam sebarang bentuk komunikasi sepanjang tempoh jaminan itu.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Muhammed Zakaria.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai apabila ditolak lelaki terbabit yang juga suaminya di atas Jambatan Bukit Rangin selepas mereka bertengkar.

Dua pemancing yang melihat kejadian itu memaklumkan polis sebelum gerakan mencari mangsa dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat (JBP) serta polis marin.

Mangsa ditemui berpaut pada pokok bakau hampir tiga jam sebelum diselamatkan, kira-kira jam 3.15 pagi dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk menerima rawatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114092350/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...