Thursday, January 15, 2009

Amuk kejar ayah


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



PEKAN: Seorang peneroka warga emas terpaksa lari lintang-pukang menyelamatkan diri dari rumahnya di Felda Chini Satu, di sini, untuk meminta bantuan selepas dikejar anak lelakinya yang juga bekas banduan mengejarnya dengan spanar selepas enggan memberikan wang untuk membeli dadah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 27 tahun yang baru dua minggu dibebaskan dari Penjara Penor kerana kesalahan dadah, pada mulanya menghampiri bapanya berusia 53 tahun untuk meminta wang.

Bagaimanapun, mangsa yang mengetahui wang itu akan digunakan untuk membeli dadah enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua beranak berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata suspek yang dipercayai ketagihan dikatakan terus naik minyak dan mengambil spanar di luar rumah sebelum mengacukan kepada bapanya sambil mengugut mahu memukul mangsa menggunakan alat itu jika kemahuannya tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa tetap enggan menyerahkan wang menyebabkan suspek bertindak ganas apabila membaling spanar ke arah bapanya.

“Namun, mangsa sempat mengelak sebelum melarikan diri dari rumah untuk mendapatkan bantuan jiran yang menghubungi Balai Polis Chini,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan dan menahan suspek di rumah berkenaan.

“Suspek mulanya cuba melarikan diri tetapi gagal apabila dikepung sebelum ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menemui spanar yang digunakan suspek untuk mengugut bapanya,”
katanya.

Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114092724/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...