Friday, January 16, 2009

Boleh kurang lagi

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


KAWAL...Shahrir menunjukkan ikan bawal putih antara barang
terkawal sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.


PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel hanya akan diturunkan lagi jika harga purata minyak mentah dunia dalam tempoh dua minggu berada di bawah paras AS$40 (RM140) setong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata penurunan itu boleh dipertimbangkan kerajaan jika harga bahan api itu berada di paras AS$39.59 (RM138.56) setong.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga purata minyak mentah dunia dari 1 hingga 13 Januari lalu, berada pada paras AS$43 (RM150.50) setong.

Sebaliknya, Shahrir berkata, harga bahan api itu hanya akan dinaikkan jika harga minyak mentah dunia mencapai paras harga AS$78.73 (RM275.55) setong.

“Saya rasa jika ada sebarang penurunan pada paras AS$39.59 setong, mungkin kita boleh lihat sebarang penurunan.

“Ini bermakna harga purata mesti berada di bawah AS$40 (RM140) setong tetapi setakat ini ia belum mencecah paras berkenaan,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mengumumkan penetapan harga maksimum borong dan runcit barang harga terkawal Skim Kawalan Harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2009.

Shahrir berkata, bermula awal bulan ini, harga minyak mentah dunia berada pada paras AS$46 (RM161) setong, kemudian menurun kepada AS$41 (RM143.50) dan AS$40 (RM140) setong, sebelum menurun lagi kepada AS$37.59 (RM131.56) setong pada 12 Januari dan AS$37.78 (RM132.23) setong sehari kemudian.

“Sebenarnya jika dilihat harga petrol dan diesel belum habis tempoh dua minggu.

“Mengikut mekanisme yang digunakan, kita akan lihat harga purata sepanjang tempoh dua minggu baru kita tetapkan harganya

“Saya tidak boleh tahu harga purata sebenar kerana kita belum sampai 15 Januari ketika ini,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115091508/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...