Friday, January 16, 2009

EPU kaji harga gas untuk turun tarif elektrik


Jan 15, 09 1:04pm

Unit Perancang Ekonomi akan diminta mengkaji semula harga gas bagi sektor tenaga bagi membolehkan tarif elektrik diturunkan, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, langkah tersebut dialu-alukan oleh MCA yang menurut parti itu, menunjukkan kerajaan sensitif terhadap kehendak rakyat.

Jurucakapnya, Lee Wei Kiat berkata, penurunan tarif elektrik secara automatik akan mengurangkan kos pengeluaran dan seterusnya menurunkan harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan penyayang yang sentiasa berusaha untuk mengurangkan beban rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata, penurunan tarif elektrik adalah wajar apabila permintaan di peringkat global telah menurun dengan banyaknya ekoran krisis ekonomi Amerika sekarang.

Menurutnya, kadar tarif elektrik yang tinggi menjejaskan margin keuntungan, yang akan menyebabkan kerugian dan operasi syarikat dikurangkan.

Lee juga menasihatkan peruncit dan penyedia perkhidmatan supaya mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan mereka apabila tarif elektrik diturunkan.

Parti itu juga mencadangkan supaya kerajaan menyediakan satu mekanisme apungan automatik untuk dilaksanakan ke atas pengeluar tenaga di mana harga tenaga mesti mengikut kadar permintaan pasaran global.

"Pendirian parti kita ialah meliberalisasi sektor ekonomi dan harga tenaga mesti disesuaikan mengikut keadaan global," tambahnya

Lee berkata, mekanisme apungan automaik harga tenaga itu akan mengoptimakan harga bagi pengeluar, peruncit, penyedia barangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, isirumah pastinya mendapat faedah dari bil elektrik yang rendah kerana ia akan mengurangkan perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama, meningkatkan daya pembelian mereka.

Pendirian parti itu, tegasnya ialah memberi keutamaan kepada kumpulan pendapatan rendah dan sederhana.

"Manakala kerajaan pula boleh memantau mekanisme tersebut secara terbuka dan telus," tambahnya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96480

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...