Friday, January 16, 2009

Merungkai p'raya kecil Permatang Pauh


K Pragalath Jan 13, 09 12:21pm


Ulasan buku Tanggal Mac 8 2008 adalah tarikh keramat yang melambangkan kebangkitan rakyat Malaysia terhadap keangkuhan parti komponen Barisan Nasional sepertimana yang dinyatakan oleh penganalisa politik Kee Chuan Thye dalam bukunya March 8: The Day Malaysians Woke Up.

Satu lagi tarikh penting dalam tahun 2008 ialah 27 Ogos 2008 - tarikh pilihanraya kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh berikutan peletakan jawatan Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Buku 'Permatang Pauh: Pilihan Raya Kecil Ogos 2008 pula menyingkap semula pilihan raya kecil ini yang telah mengembalikan Anwar Ibrahim ke dalam kancah politik negara.

Satu perbezaan ketara antara penulisan ini dengan karya-karya politik Malaysia yang lain ialah buku ini adalah hasil analisa dan tulisan sekumpulan ahli akademik dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), yang diketuai Dr Zulkanain Abdul Rahman yang bertindak sebagai ketua penyelidik.

Jika Mac 8 merupakan himpunan penulisan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat, Permatang Pauh merupakan analisis yang terperinci mengenai pilihanraya kecil yang mengembalikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke persada politik nasional.

Antara maklumat yang dimuatkan adalah jumlah pengundian untuk calon berdasarkan saluran di semua daerah mengundi dan rekod keputusan pilihan raya kerusi parlimen Permatang Pauh sejak 1982.

Gambaran menyeluruh

Bab pertama memberikan gambaran menyeluruh mengenai latar belakang kawasan parlimen Permatang Pauh, peratusan pengundi mengikut kaum, dan pusat-pusat pengundian.

Umum mengetahui bahawa Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim sejak tahun 1982. Ketika melalui zaman gerhana politik sekalipun, pengundi tetap utuh di belakang kepimpinan isterinya, Dr Wan Azizah.

Bab kedua yang menjurus kepada ketokohan dan strategi calon, persaingan antara Anwar Ibrahim dari PKR dengan Datuk Ariff Shah Omar Shah (BN) yang digambarkan sebagai pertandingan antara kepimpinan karismatik Melayu menentang kepimpinan tradisi Melayu.


Dari sudut kempen, BN/Umno telah menggunakan pengakuan bersumpah Saiful Bukhari Azlan (foto) bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Namun begitu, PKR tidak menggunakan kaedah ‘serangan peribadi' terhadap Arif Shah Omar Shah.

Sebaliknya, mereka menubuhkan Unit Kerohanian yang menangkis dakwaan Saiful sebelum kehadiran Ramlang Porigi - imam Masjid Wilayah Persekutuan yang turut menyaksikan akuan bersumpah Saiful itu. Beliau hadir untuk menjelaskan apa yang sebenar berlaku di majlis akuan bersumpah Saiful itu.

Dari segi strategi, kesimpulan buku itu ialah BN memperlihatkan kelemahan strategi kerana ketiadaan penyelarasan kempen pilihanraya dan bermatlamat untuk mengurangkan majoriti yang boleh dimenangi Anwar. Bertanding untuk mengurangkan majoriti boleh disamakan dengan menerima hakikat bahawa kemenangan adalah suatu yang tidak pasti.

Analisa terpenting

Analisa terpenting yang diketengahkan oleh para penulis menjurus kepada mengapa Anwar berjaya dalam pilihanraya kecil ini. Anwar menang kerana beberapa faktor:

*Kempen yang tidak menjurus kepada ‘serangan peribadi' terhadap calon BN Arif Shah Omar Shah.

*sokongan padu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

*pengisytiharan cuti bagi memudahkan pengundian oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan sokongan padu DAP.

*Persaingan politik dalaman Umno berikutan berlangsungnya pemilihan Umno bahagian.


Kumpulan penulis yang diketuai Zulkanain turut menganalisa penggunaan kain rentang, poster dan risalah yang telah digunakan oleh Umno, PKR dan Angkata Keadilan Insan Malaysia (Akim) dalam pilihanraya kecil ini.

Seterusnya para penulis telah menganalisa sudut keselamatan dalam pilihanraya. Terdapat peningkatan kes yang dilaporkan kepada polis. Tindakan provokatif, kejadian memukul wartawan dan ugutan turut mewarnakan pilihanraya kecil ini. Selain itu, pihak polis turut menyiasat kegiatan sindiket perjudian berkaitan pilihanraya ini.

Tidak banyak yang diperkatakan mengenai calon Akim, Hanafi Mamat dalam tulisan ini. Selain dari faktor calon luar dan ketiadaan jentera, Hanafi sememangnya tidak berjaya menambat hati pengundi. Ini dapat dilihat dari jumlah undi di setiap daerah mengundi yang tidak melebihi empat undi.

Buku terbitan Karisma Publications dengan usahasama Jabatan Sejarah Universiti Malaya ini berharga RM15 dan merupakan bahan rujukan terbaik untuk golongan akademik, para penuntut universiti dan mereka yang meminati perkembangan siasah negara.

http://www1.malaysiakini.com/news/96331

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...