Saturday, March 28, 2009

Budak parah digigit anjing

Oleh Zaitie Satibi dan Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my


JERANTUT: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun bukan saja cedera di kepala hingga terpaksa menerima 17 jahitan, malah dimasukkan di wad Hospital Jerantut (HJ) selama tiga hari akibat digigit anjing peliharaan jiran datuknya, Selasa lalu. 

Kejadian berlaku di Taman Muhibah, di sini, kira-kira jam 3 petang, ketika mangsa, Wan Hazrul Haizam Wan Abdul Rahman dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran rumah datuknya untuk membeli makanan ringan apabila tiba-tiba diterkam haiwan terbabit.

Bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Rosli, 31, berkata ketika kejadian dia berada di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HSAS), Temerloh, kerana menemani isteri, Rozita Ahmad, 25, yang menjalani pembedahan dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan adiknya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke HJ untuk melihat keadaan anak sulung daripada empat beradik itu sebelum mendapati anaknya menerima 17 jahitan akibat luka teruk pada kepala.

Menceritakan semula detik kejadian itu, pemandu lori itu, berkata anaknya yang ditumpangkan di rumah bapanya, Wan Rosli Wan Stapa, 61, sehari sebelum kejadian itu ke kedai runcit berkenaan bersendirian dengan membawa wang RM1.

“Ketika dalam perjalanan, wang kertas itu tercicir akibat melayang ditiup angin dan cuba mengambilnya semula sebelum tiba-tiba datang seekor anjing hitam menerkam ke arahnya dan menggigit bahagian kepala serta tidak mahu melepaskan walaupun anak saya meronta.

“Beberapa jiran yang terdengar jeritan anak saya kemudian datang membantu tetapi haiwan itu tetap tidak mahu melepaskan gigitan menyebabkan jiran terpaksa memukul haiwan itu sebelum ia melepaskan gigitan,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, anaknya dibenarkan pulang dari HJ kelmarin selepas tiga hari menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil selain perlu menjalani pemeriksaan susulan bagi memastikan bebas daripada penyakit anjing gila.

“Saya kesal dengan sikap pemilik anjing terbabit yang tidak ambil kisah mengenai keselamatan dan tanggungjawab terhadap penghuni sekitar kawasan perumahan itu dengan melepaskan haiwan peliharaannya bebas berkeliaran dan mengganggu penduduk,” katanya.

Difahamkan, anjing terbabit kini dikuarantin di Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah selama 10 hari bermula kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090328094555/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...