Saturday, March 28, 2009

Haji gelap mata kerana tiket loteri

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Akibat gelap mata, seorang warga emas bergelar haji sanggup mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji (TH) semata-mata untuk ditukarkan dengan tiket loteri bernilai RM130,000 yang ditawarkan tiga penipu warga Indonesia dan rakyat tempatan.

Mangsa berusia 60 tahun begitu mudah mempercayai kata-kata tiga individu terbabit, seorang daripadanya wanita apabila menemui mereka di Pusat Perdagangan Pontian, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, kecekapan menantunya yang menghubungi polis dan pengurusan TH di Pontian, menyelamatkan mangsa daripada ditipu.

Kejadian bermula apabila mangsa didatangi suspek yang mendakwa memenangi cabutan loteri berjumlah RM130,000.

Ketika itu, wanita warga Indonesia itu menunjukkan tiket loteri terbabit serta keratan akhbar sebagai bukti nombor dibeli menerima ganjaran RM130,000.

Sebaik melihat mangsa termakan helah, penipu terbabit kemudian mendakwa memerlukan wang segera untuk pulang ke negara asal sebelum menawarkan pertukaran tiket berkenaan dengan wang tunai RM10,000.

Ibarat menerima durian runtuh, warga emas itu terus bersetuju lalu meminta mereka menghantarnya pulang ke rumah bagi mengambil buku simpanan TH berkenaan.

Sebaik tiba di rumah, mangsa memberitahu isterinya mengenai tawaran tiket loteri bernilai ratusan ribu ringgit yang bakal diterima daripada tiga suspek berkenaan.

Namun, ia mencetuskan tanda tanya kepada isteri mangsa yang segera menghubungi menantunya di Kluang.

Ini membuatkan menantu mangsa menghubungi pengurusan TH dengan memberitahu bapa mentuanya mungkin ditipu pendatang asing sebelum membuat aduan polis.

Dalam pada itu, mangsa bertegas mahu pergi ke pejabat TH untuk mengeluarkan wang bagi ditukarkan dengan tiket loteri ditawarkan.

Bagaimanapun, mangsa langsung tidak menyedari sampul surat diberikan kakitangan TH sebaik selesai transaksi di kaunter tidak mengandungi wang tunai, sebaliknya hanya buku akaun kosong.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata sebaik polis menerima aduan kes itu, pihaknya menyerbu tempat kejadian berdasarkan maklumat disalurkan pegawai TH.

“Serbuan dilakukan ketika mangsa menyerahkan sampul surat berkenaan kepada suspek dalam kereta mereka di depan pejabat TH, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Suspek cuba melawan dan berlaku pergelutan kecil sebelum dua daripada mereka ditangkap manakala suspek wanita sempat meloloskan diri,”
katanya.

Menurutnya, suspek yang diberkas adalah lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun dari Pulau Batam dan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090328101114/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...