Saturday, March 28, 2009

Hamil angkara ‘ustaz temberang’

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud 
asnawi@hmetro.com.my


SEREMBAN: Seorang ustaz temberang yang tidak bertauliah diberkas polis selepas disyaki merogol anak muridnya hingga mengandung tiga bulan di sebuah rumah di Nilai, dekat sini.

Tembelang lelaki warga Indonesia berusia lewat 30-an itu terbongkar selepas pemeriksaan mendapati mangsa yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah mengandung.

Difahamkan, perbuatan itu terbongkar Jumaat minggu lalu apabila mangsa yang mengadu tidak sihat dibawa ke klinik untuk menjalani pemeriksaan sebelum disahkan hamil.

Gadis berkenaan mendedahkan dia dirogol ustaz terbabit selepas belajar agama di rumah lelaki itu kira-kira jam 6 petang, 9 Disember lalu.

Berikutan itu, satu laporan polis kemudian dibuat terhadap suspek terbabit.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata bertindak atas laporan terbabit, polis menahan suspek di rumahnya beberapa jam selepas itu.

“Mangsa mendakwa dia diajak ustaz terbabit yang mengajarnya untuk ke pasar malam bagi membeli makanan selepas belajar agama.

“Selepas ke pasar malam, ‘ustaz’ dan mangsa balik ke rumah dan menikmati makanan yang dibeli sebelum gadis itu dirogol,”
katanya ketika ditemui selepas majlis Perasmian Penutup Minggu Jenayah Sifar Peringkat Daerah Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mendedahkan perbuatan ‘ustaz’ terbabit kepada pengetahuan sesiapa termasuk keluarganya.

Menurutnya, perbuatan itu terbongkar apabila gadis terbabit disahkan mengandung selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Siasatan polis juga mendapati lelaki warga Indonesia itu mempunyai taraf penduduk tetap (PR) dan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan polis percaya kes rogol membabitkan pelajar itu selesai,”
katanya memaklumkan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Harian Metro difahamkan, ustaz terbabit mempunyai dua pembantu untuk mengajar agama.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090328094410/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...