Saturday, March 28, 2009

Tak sempat belanja wang tebusan RM200,000

BUKIT MERTAJAM: Empat lelaki yang menculik seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Taman Gemilang, dekat sini, tidak sempat ‘makan besar’ apabila mereka ditahan sebelum sempat membelanjakan wang tebusan berjumlah RM200,000 yang dituntut daripada keluarga mangsa. 

Difahamkan, remaja berkenaan yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Jit Sin di sini, diculik empat lelaki terbabit ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah kira-kira jam 6.30 pagi, Rabu lalu. 

Semua suspek yang menculik pelajar itu berjaya ditahan sejam selepas menerima wang RM200,000 yang diserahkan bapa mangsa yang juga seorang ahli perniagaan. 

Sumber berkata, ketika menunggu bas, mangsa ditarik masuk ke dalam kereta Proton Gen 2 sebelum suspek menghubungi bapa mangsa menuntut bayaran RM200,000 bagi pembebasan anaknya. 

Bagaimanapun, bapa mangsa memaklumkan kepada polis berhubung kejadian itu sekali gus membolehkan polis merancang usaha bagi membebaskan remaja berkenaan.

“Suspek membebaskan remaja berkenaan selepas bapa mangsa membayar wang seperti diminta,” katanya.

Mangsa kemudian dibebaskan di Lorong Binjai 5, Taman Sri Rambai, selepas bapanya membayar wang kepada suspek. Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan bagaimanapun dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Seberang Prai Tengah yang mendapat maklumat lebih awal merancang strategi dan berjaya menahan keempat-empat suspek sejam selepas menerima wang daripada bapa mangsa.

Bagaimanapun, hanya sebahagian wang yang dibayar kepada suspek ditemui semula dan suspek direman hari ini untuk siasatan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090328094525/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...