Thursday, May 21, 2009

2 akta lindungi diri

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Wanita yang terus menjadi mangsa penderaan suami boleh menggunakan peruntukan undang-undang bagi menghalang tindakan tidak berperikemanusiaan itu daripada terus berlaku.

Presiden Persatuan Syarie Malaysia, Mohd Isa Abdul Ralip, berkata ada dua peruntukan undang-undang yang digubal bagi melindungi wanita atau isteri yang didera sama ada dari segi fizikal atau mental.

Beliau berkata, isteri yang menghadapi masalah itu boleh mendapatkan injunksi dari mahkamah tinggi syariah bagi menghalang suami meneruskan tindakan ganas berkenaan.

“Sebagai contoh, Seksyen 107 Enakmen Keluarga Islam Selangor, iaitu peruntukan yang menghalang suami daripada melakukan kekasaran terhadap isteri dengan apa cara sekali pun.

Permohonan injunksi ini boleh dimohon walaupun kes isteri berkenaan masih dibicarakan di mahkamah dan ia lebih bertujuan bagi menghalang suami daripada terus mengganggu kehidupan isteri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Selain itu, katanya, isteri boleh membuat permohonan di mahkamah majistret bagi mendapatkan perintah perlindungan sementara atau Interim Protection Order (IPO) yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga.

Bagaimanapun, katanya, permohonan itu perlu disertakan laporan polis dan perubatan berkaitan kesan kecederaan yang dilakukan suami.

“Jika ini boleh dilakukan, ada peruntukan yang boleh melarang suami daripada mendekati isteri dalam jarak tertentu dan jika suami ingkar dengan arahan itu, polis akan bertindak terhadap lelaki terbabit,” katanya.

Mohd Isa berkata, wanita boleh menggunakan peruntukan yang disediakan di mahkamah syariah dan mahkamah magistret bagi menyelamatkan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090520073102/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...