Thursday, May 21, 2009

Bekas banduan gagal lolos diri

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Tidak serik menyandang gelaran bekas banduan, dia memilih jenayah ragut sebagai kerjaya sampingan untuk menyara hidup sebagai penagih dadah sehingga kegiatan haramnya meragut nyawa ibu hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 31, awal bulan lalu.

Lelaki berusia 26 tahun yang disyaki meragut beg tangan Jamilah itu ditangkap pasukan khas ditubuhkan polis bagi menyelesaikan kes wanita malang itu yang turut mendapat perhatian dan simpati rakyat Malaysia.

Turut dicekup seorang lelaki berusia 23 tahun yang memiliki telefon bimbit milik Jamilah yang hilang bersama beg tangan mangsa sejak kejadian ragut itu.

Hari ini, nasib bekas banduan itu akan ditentukan Timbalan Pendakwa Raya sama ada dia akan dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan berkenaan atau dilepaskan berikutan tempoh tahanan reman ke atasnya berakhir.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata bekas banduan terbabit mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan curi, ragut dan pencerobohan jenayah sekitar 2003 hingga 2006.

Menurutnya, lelaki itu ditahan selepas polis menerima maklumat orang awam melihat lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika tangkapan, suspek di bawah pengaruh Eramin 5 cuba meloloskan diri dan bertindak agresif melawan anggota polis.

“Bagaimanapun, suspek mula memberi kerjasama pada 15 Mei lalu dengan menunjukkan lokasi barangan milik mangsa yang dibuang di dalam semak, berdekatan ladang sawit di Parit Raja, Batu Pahat,”
katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, sebaik ke kawasan ditunjukkan, pihaknya menemui satu beg tangan hitam milik Jamilah, mengandungi kad pengenalan mangsa, Mykid tertera nama Muhammad Khairi Ridhwan, tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) dan dua kad keahlian pasar raya.

“Dalam siasatan kes sama, kita turut menahan tujuh lagi suspek termasuk seorang lelaki berusia 23 tahun kerana memiliki telefon bimbit jenis Motorola milik mangsa.

“Dua suspek sudah dibebaskan manakala tiga yang lain masih diperlukan untuk siasatan lanjut berhubung beberapa kes ragut sekitar Johor,”
katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semua barang ditemui termasuk telefon bimbit disahkan milik Jamilah oleh suaminya, Razali Ahmad.

“Kita sudah menyerahkan kertas siasatan lengkap kedua-dua kes (peragut dan lelaki miliki telefon bimbit mangsa) kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan reman kedua-dua suspek akan tamat esok (hari ini),” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...