Thursday, May 21, 2009

Sah bebas penularan virus


KAKITANGAN MAS mengedarkan borang deklarasi kesihatan kepada para penumpang pesawat yang baru mendarat di KLIA semalam.


PUTRAJAYA – Malaysia disahkan bebas daripada penularan tempatan bagi virus influenza A (H1N1) berikutan tiada sesiapa pun daripada orang yang ditemui dalam dua kes yang disahkan pada 15 dan 16 Mei lepas turut menerima jangkitan sehingga tamat tempoh inkubasi virus itu semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, tempoh inkubasi virus itu adalah tujuh hari daripada pendedahan yang dikira dari 13 Mei lepas, iaitu tarikh kedua-dua pesakit tersebut masuk ke negara ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, kesemua 222 orang yang dikuarantin di rumah kerana terdedah kepada dua pesakit itu sebelum ini akan turut dibebaskan jika tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

Jumlah yang dikuarantin itu termasuk anggota keluarga pesakit, penumpang dan krew penerbangan MH091 dan AK5358, iaitu pesawat yang turut dinaiki kedua-dua pesakit itu serta anggota perubatan yang memeriksa kedua-dua mereka sebelum ini, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, seramai 39 penumpang dari kedua-dua pesawat itu masih tidak dapat dikesan, dan walaupun tempoh kuarantin telah berakhir mereka perlu bertanggungjawab dan melaporkan diri agar status mereka diketahui.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...