Thursday, May 14, 2009

Kuarantin 3 hari lagi

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad 
mriduwan@hmetro.com.my


MELAKA: Tempoh kuarantin pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tiang Dua, dekat sini, dilanjutkan sehingga Ahad ini bagi memberi masa mencukupi kepada Makmal Mikrobiologi di Sungai Buloh, Selangor mengenal pasti serta menentukan ciri sebenar bakteria Gram Negative Diplococci yang menyebabkan serangan bakteria meningitis.

Tempoh kuarantin ditetapkan kementerian sebelum ini iaitu tujuh hari bermula 7 Mei lalu sepatutnya berakhir hari ini.

Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Chua Kheng Hwa, berkata keputusan itu terpaksa dilakukan untuk mencegah sebarang komplikasi baru kepada pelatih akademi yang kini dikuarantin serta orang yang berjumpa dengan mereka.

“Sehingga kini, saya dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai Makmal Mikrobiologi belum dapat mengenal pasti jenis bakteria sebenar menyebabkan serangan bakteria meningitis.

“Sebagai langkah pencegahan, kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) bersetuju melanjutkan tempoh kuarantin selama tiga hari lagi.

“Kami mencapai persetujuan pelatih hanya akan dibenarkan keluar dari bilik kuarantin sehingga menerima keputusan ujian makmal itu yang dijangka diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tiang Dua berhubung perkembangan terkini serangan bakteria meningitis di akademi itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mat Sirat Abu dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ghazali Othman.

Sesi dialog diadakan selepas PIBG sekolah terbabit mengambil inisiatif mengarahkan guru dan murid memakai topeng kerana bimbang serangan bakteria meningitis itu.

Bagaimanapun, semalam, Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan agar 12 guru dan 160 murid sekolah kira-kira dua kilometer dari akademi itu supaya tidak memakai topeng susulan jaminan Kementerian Kesihatan bakteria meningitis tidak berjangkit melalui udara.

Arahan itu juga menyatakan pemakaian topeng hanya akan menimbulkan suasana panik kalangan penduduk di Tiang Dua selain mengganggu kelancaran proses mengajar dan pembelajaran.

Namun, difahamkan berikutan arahan terbabit menimbulkan kemarahan ibu bapa yang bimbang kesihatan anak, sekali gus menyaksikan 35 murid sekolah itu tidak hadir, semalam.

“Pihak kami juga mencapai persetujuan murid dan guru boleh terus memakai topeng kerana itu hak asasi mereka.

“Terpulang kepada keluarga dan guru menentukan jika murid perlu memakai topeng kerana kami memberi penerangan mencukupi mengenai perkembangan terbaru bakteria meningitis,”
katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut melawat sekolah serta memberi jaminan kepada guru dan pelajar serangan bakteria itu terkawal dan mereka tidak perlu panik.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090514080454/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...